Langsir di selak. Mata melilau menerokai keluar tingkap. Cuba mencari sesuatu yang menarik untuk di lihat di remang senja yang hampir berlabuh. Yang kelihatan hanya ada bumbung besar dan juga satu tingkap kecil di sebarang sana. Tiba-tiba mata segera menangkap bayang-bayang yang dapat dilihat menembusi tingkap yang tidak berlangsir itu. Ianya tingkap yang hanya di lindungi oleh cermin tebal, seperti bilik stor atau tempat penyimpanan barang lagaknya. Terlihat bayang-bayang bergerak. Terusik emosi oleh minda yang membayangkan yang bukan-bukan, dan sepantas kilat langsir segera ditutup serapat-rapatnya tanpa ada satu ruang cahaya pun bisa menembusi.
Saya baring melepaskan lelah. Cuba menghalau perasaan yang kurang enak. Selimut di angkat ke paras dada. Terasa sejuk walaupun tanpa aircond. Kesejukan masih tidak kalah oleh heater pemanas yang baru sahaja di buka. Saya merenung ke arah lampu yang saya kira berasal dari zaman ketika ‘The Treaty of Waitangi’ baru di tandatangani oleh British dengan ketua-ketua puak Maori. Mata mula meneliti corak yang menghiasi di siling. Pasti tiada lagi corak seperti itu di zaman kini. Begitu juga dengan bingkai tingkap. Ianya sama seperti bangunan-bangunan lama di New Zealand. Preserved. Tapi yang ini agak usang.
Terdengar derap-derap tapak kaki menghampiri pintu yang akhirnya di buka. Ibu masuk dan mengeluh sejuk.
Saya segera bangun keluar dari bilik dan berjalan malas-malas ke tandas. Nasib baik tandas agak dekat dengan bilik yang sedang di diami, jika tidak pasti kemalasan tahap satu yang melanda.
Kesejukan mencengkam perlahan-lahan menjalar daripada kaki mengusai seluruh badan apabila kaki memijak lantai tandas yang bogel.
Tidak seperti di apartment tempat tinggal saya di Auckland yang tandasnya sentiasa di lapik dengan karpet dan di pastikan kering. Semuanya untuk memastikan lantai tandas tidak terlalu sejuk.
Air paip sinki di buka. ‘Ouchhh’ Air panas mendidih yang keluar. Terkejut seluruh saraf tangan yang sebelum ini terketar sejuk.
Kepala paip di pulas ke tengah-tengah antara hot dan cold. Tiada warm di situ. Kali ini berhati-hati menyentuh air yang keluar. Huh masih lagi panas seperti tadi. Nampaknya paip ini perlu di perbaiki.
Kepala paip di tukar ke arah cold. Nasiblah. Lebih baik terketar menahan sejuk daripada kulit terbakar dek air panas yang mendidih.
Pintu tandas ini tidak ada tombol yang boleh di kunci daripada dalam, yang ada hanya rantai kunci yang disangkut, menyebabkan pintu masih boleh dibuka daripada luar. Apabila di buka baru orang luar tahu yang ada seseorang sedang menggunakan tandas. Cepat-cepat saya menyelesaikan wuduk apabila terfikirkan itu. Tandas ini nampak bersih tetapi keadaannya membuatkan saya tidak betah berlama-lama.
Malam itu saya dan ibu tidur sekatil walaupun terdapat dua katil super single di bilik kami. Mungkin kerana terlalu letih banyak berjalan di siang tadi, sebaik selesai solat kami sudah berada di alam mimpi walaupun sebelum itu asyik terdengar bunyi kriuk-kriuk apabila ada seseorang berjalan di luar bilik atau apabila seseorang membuka pintu bilik. Setiap pergerakan di luar pasti menghasilkan bunyi.
Ianya tidur tanpa mimpi selepas membaca Al Fatihah, Ayat Qursi, 3 Qul dan beberapa surah serta zikir yang hanya terhenti sejurus tidur.
Nota: (Ini adalah personal review saya mengenai Halswell Lodge, Wellington yang berharga NZD 43 per pax satu malam)