Commercial Break

Showing posts with label Egypt. Show all posts
Showing posts with label Egypt. Show all posts

Wednesday, September 23, 2015

Itinerary dan Perancangan Percutian ke Mesir


Kali ini saya akan berkongsi tentang perancangan yang telah di buat untuk menjayakan percutian di Mesir serta kos-kos terlibat.


PENGANGKUTAN / TRANSPORTATION

KUL-CAI-KUL = RM 1,710 PER PAX

Perkara pertama yang perlu ada ialah tiket penerbangan daripada KL ke salah satu negara, samada Mesir atau Turki. Untuk yang pernah mengikuti entri percutian Mesir dari awal, pasti telah sedia maklum bahawa saya telah menggabungkan percutian Mesir dan Turki. Setelah membandingkan beberapa airlines seperti Egypt Air, Etihad, Emirates dan lain-lain dan mengambil kira faktor transit, akhirnya kami memilih tiket return KUL-CAI-KUL melalui Saudi Arabian Airlines kerana ia merupakan tiket yang PALING MURAH dan masa transit yang PALING SINGKAT. 

Untuk membandingkan harga tiket Saudi Airlines, kami ke website Saudi Airlines dan membandingkan harga yang ada kerana ianya tidak muncul di Sky Scanner, Kayak atau sebagainya. Bagaimanapun, kami tidak dapat menempah tiket di website tersebut kerana hanya pembayaran melalui Kredit Kad Bank-Bank Saudi sahaja dibenarkan! Jadi, kami hanya menempah tiket tersebut dengan menghubungi talian penempahan Saudi Arabian Airlines di Malaysia (03-21667778) dan membuat pembayaran secara tunai di pejabat Saudi Arabian Airlines Malaysia – Kuala Lumpur di Megan Phileo Avenue, Jalan Yap Kwan Seng. Kami telah membeli tiket ini seawal Disember 2014 lagi. 

Apa yang sangat memuaskan, had bagasi yang dibenarkan amat banyak iaitu 46 kg dan hand-carry 7 kg bagi seorang.

Pengalaman penuh menaiki Saudi Airlines juga sangat-sangat memuaskan hati.

Sila klik yang berikut untuk entri penuh mengenai pengalaman bersama Saudi Arabian Airlines.


PENGANGKUTAN DALAM MESIR

Kami telah menggunakan khidmat pelajar Mesir merangkap tour guide dan pemandu untuk Return Airport Transfer, tour di Kaherah (hari pertama sahaja), tour ke Sinai, Dahab, Sharm El Sheikh dan Faiyum .

Cara pemanduan ala ‘terbang’ arab Mesir tidak selamat untuk memandu sendiri.

Harga Return Airport Transfer ialah 320 EP manakala harga untuk lain-lain tour ialah 2600 EP (harga bagi 3 orang).

Ramai di kalangan pelajar Mesir menyediakan perkhidmatan tour seperti ini. Semasa membandingkan harga, kenal pasti pakej yang di sediakan samada sudah termasuk makanan, penginapan, harga tiket masuk (entrance fees) ataupun hanya perkhidmatan tour guide dan pengangkutan sahaja. Selepas itu baru buat keputusan yang terbaik.

Manakala untuk ke Muzium Egypt, Khan Al-Khalili dan Masjid Al Azhar Universiti Al Azhar pada hari lain di Kaherah kami telah menaiki Metro dan Tremco kerana ianya terletak betul-betul berdekatan dengan perhentian Metro.

Di Alexandria pula, kami menggunakan sepenuhnya PENGANGKUTAN AWAM (tremco, tut-tut, teksi, train ayam dan bas).

Harga pengangkutan awam rakyat marhein adalah tersangat murah di Egypt iaitu serendah 1 EP (bas.) Hanya komunikasi yang menjadi masalah kerana kebanyakan mereka hanya pandai berbahasa Arab. Dan mungkin juga harus berhati-hati agar tidak di tipu. Namun, dengan kepandaian berbahasa arab dan sedikit pengetahuan mengenai tambang pengangkutan awam pasti amat mampu membantu survival di Egypt.

Perjalanan pergi dan balik Cairo-Alex-Cairo pula ialah dengan menggunakan tremco dengan harga 35 EP seorang satu hala.



PENGINAPAN / ACCOMODATION

Di Kaherah kami menginap di rumah anak negeri iaitu Rumah Perlis dan Rumah Penang. Harganya masing-masing ialah 200 EP dan 220 EP satu malam. Rumah anak negeri di booking melalui whatsapp dengan pihak berkenaan. Sila klik yang berikut untuk keterangan mengenai Rumah Perlis dan Rumah Penang.

Di Alexandria kami menginap di Homestay yang di kendalikan oleh pelajar Al Azhar di Mandarah. Harganya ialah 180 EP satu malam.

Manakala di tempat-tempat lain, harga penginapan untuk satu malam adalah seperti berikut:

Sinai (Bedouin Guest House) : 150 EP

Dahab (Octopus Hotel): 150 EP

Kedua-dua penginapan ini di booking melalui cara walk-in sahaja.



TIKET MASUK / ENTRANCE FEES

Rata-rata harga tiket masuk yang di tetapkan di kebanyakan tempat pelancongan di Mesir adalah agak mahal bagi pelancong, separuh harga bagi pelajar(warganegara atau tidak) dan tersangat murah bagi warganegara Mesir. Ianya hanya menjadi murah bagi pelancong setelah kita convert Egyptian Pound ke MYR.

Sebagai contoh, harga tiket masuk ke Piramid di Giza ialah seperti berikut:

Adult: 80 EP (MYR 40)

Students:40 EP (MYR 20)

Warganegara Mesir: 2 EP (sahaja!!)

Untuk rujukan, saya telah masukkan harga tiket masuk di setiap entri mengenai kunjungan ke satu-satu tempat.

Rumusan kos pelancongan ke Mesir di atas dapat di simpulkan seperti di dalam rajah di bawah.

JUMLAH KOS PER PAX IALAH RM 2,882 setelah di campurkan jumlah tiket penerbangan, perbelanjaan hotel, pengangkutan dan tour.

Jumlah ini ialah untuk 10 hari di Mesir. 

Harga makanan saya tidak masukkan sekali di dalam rajah tersebut kerana saya rasa makan bergantung kepada selera masing-masing. Namun yang pasti kami 100% makan di luar (tidak masak atau bawa makanan dari Malaysia) dan kami tidak berkira tentang makan asalkan dapat rasai sesuatu yang berbeza iaitu keenakan masakan penduduk tempatan. Adakalanya kami makan di restoran mahal dan adakalanya kami makan makanan yang di beli di tepi-tepi jalan sahaja. Mendapatkan makanan halal di Mesir pastinya sangat mudah. Ada setengah makanan di Mesir sangat enak hinggakan saya mengidam teringat-ingat apabila telah berada di Malaysia!

Jika ikut cara kami, saya rasa RM 30 untuk kos makan satu hari seorang sudah sangat cukup banyak dan mewah.

Jangan lupa untuk memperuntukkan sedikit bajet untuk lain-lain perbelanjaan seperti souvenir, simkad dan sebagainya.


NAK JIMAT LAGI?

Sebenarnya ada lagi cara untuk menjimatkan kos percutian di Mesir. 

Satu daripadanya ialah dengan menjual lebihan kilo kepada pelajar Al Azhar yang sedang menuntut di Mesir.

Sebagai contoh, oleh kerana kami mendapat had bagasi yang cukup banyak (46 kg seorang dan handcarry 7 kg), maka kami punya banyak lebihan kg yang tidak di gunakan. Oleh sebab itu, lebih kurang sebulan sebelum berangkat ke Mesir, saya telah menjual lebihan kilogram yang kami tidak gunakan kepada pelajar-pelajar Al Azhar yang sedang belajar di Mesir. Jualan ini mendapat sambutan yang hangat kerana ramai pelajar Mesir yang terdesak memerlukan barang daripada Malaysia dengan kadar segera contohnya barang makanan, pakaian dan lain-lain keperluan. Keperluan ini diserahkan oleh kaum keluarga mereka kepada saya beberapa hari sebelum penerbangan ke Mesir.  Kilogram ini biasanya di jual dengan harga lebih kurang RM 30 / 60 EP per kilo. Saya telah menjual beberapa kilo dan berjaya mendapatkan lebih kurang 2800 EP (RM 1400) yang di gunakan untuk percutian kami. Maka jumlah keseluruhan seperti yang di lampirkan di atas telah berkurang secara automotik.

Namun demikian, cara ini ada kelemahannya iaitu kita perlu tetapkan satu masa untuk barang-barang ini dikutip oleh pelajar-pelajar di satu tempat yang di tetapkan di Mesir. Untuk memudahkan urusan, mungkin mereka boleh datang ke tempat kita menginap untuk kutipan barang. Dan lagi, perlu mengangkut sejumlah barang yang agak banyak dari Malaysia lagi. Namun, kos yang dapat di kurangkan dengan cara ini agak berbaloi.

Ringkasnya, kos percutian di Mesir boleh di kurangkan dan dijimatkan dengan perancangan awal dan teliti. 


Tuesday, September 15, 2015

Tips Makan di Mesir

Pernah sebelum ke Mesir ada yang berpesan kepada saya agar berhati-hati apabila makan di Mesir dan mengadu akan cara penyediaan makanannya yang agak kotor.

Mereka berkata begitu mungkin setelah melihat roti-roti yang di letak di atas meja tanpa alas, dan di biarkan terdedah.

Ya, kalau kat Malaysia macam tu, uii geli kot nak makan.



Namun, kalau pandai cari, banyak makanan di Mesir sedap, lazat, menggamit selera dan rasanya unik. Yang pasti, ianya bersih.

InsyaAllah, jangan risau. Selama beberapa hari di Mesir saya tidak pernah sakit perut walau macam-macam makanan telah saya rasa.


Antara makanan yang wajib rasa apabila berada di Mesir: 

1) Jus buah-buahan

Bagi saya, jus buah-buahan di Mesir yang datang dari lembah di Sungai Nil mempunyai rasa super lazat no 1 di dunia. Hampir kesemua jenis jus buah ada kecuali durian. 

Antara kedai jus yang terkenal di Cairo ialah kedai jus dibelakang Masjid Al Azhar kerana kandungannya banyak dan harganya yang murah.



2) Aiskrim - terutama aiskrim homemade

3) Air kotak cokelat dan susu




4) Nasi Arab yang pelbagai jenis seperti Nasi Kabsah, Nasi Maghdud & Nasi Turki- yang paling sedap yang saya rasa ialah di Hadramawt di Mandarah, Akexandria





5) Fathirah

6)Gifnah Makliyah

7)Shistawuq

8)Kuftah

9)Makarona Bishamil

10)Tokyah Bilbait

11)Air Tamarind dan Khoruq




Monday, September 14, 2015

Tempat-tempat menarik di Faiyum (El Fayyum)

Hari ini sekali lagi kami booking Ustaz Mat untuk membawa kami ke Faiyum (El-Fayyum) yang terletak 100 km dari Cairo yang jaraknya ini sememangnya memerlukan kepakaran Ustaz Mat dalam pemanduan mencabar ala Arab Mesir. 

Apa yang menariknya di Faiyum ini sehinggakan kami sanggup pegi balik hari 100 km jaraknya dari Cairo? 

Faiyum ialah lokasi di mana terletaknya Tasik Qarun yang telah menenggelamkan dia bersama-sama seluruh hartanya. 

Dan menurut Wikipedia 

“Founded in around 4,000 BC, is the oldest city in Egypt and one of the oldest continuously occupied cities in the world” 


Apa yang pasti, ada beberapa tempat menarik di Faiyum: 

1) Tasik Qarun 

Kami berhenti di tepi tasik. 

Besar saujana mata memandang. Tak terbayangkan betapa banyaknya harta Qarun yang di tenggelamkan di sini. Sepanjang jalan semasa melalui dengan kereta, panjangnya tasik ini seolah tiada penghujung. 

Bau tasik busuk menyengat menusuk hidung. Warnanya keruh menyimpan seribu rahsia. Aneh, tasik berombak seperti lauk, menghempas-hempas ke pinggiran jalan. Bentuk tanahnya terkebawah seakan di sedut. 

Namun begitu, banyak rumah dan kedai terdapat di sekitar dan ada juga aktiviti oleh penduduk tempatan di kawasan tasik. 




2) Istana Qarun (Qasru el-Qarun) 

Istana Qarun terletak betul-betul di tengah-tengah padang pasir tanpa pokok di sekelilingnya. Sebahagian istana ini masih kukuh berdiri, di kawal rapi dan hanya di buka bila ada pelawat sahaja. Katanya, bentuk asal istana ialah bertingkat-tingkat dengan beratus-ratus buah bilik, tapi kini hanya tinggal beberapa tingkat sahaja kerana selebihnya sudah lenyap tertimbus dek pasir. 

Menariknya, apabila dilhat dari tingkat teratas istana, jelas kelihatan bekas-bekas bangunan seakan tertimbus. 

Bayaran masuk ialah 20 EP seorang. 





Di percayai istana Qarun ini mempunyai tingkat-tingkat di bawah tanah juga





Lukisan di dinding

Jika di perhati betul-betul, terlihat bekas-bekas bangunan


3) Wadi el Rayyan 

Jalan masuk ke Wadi El Rayyan ialah padang pasir oasis yang halus mulus. Kami tergoda untuk singgah dan bermain pasir di pertengahan jalan, dan dari jauh jelas kelihatan ribut pasir di suatu titik di kawasan berdekatan. 




Manakala Wadi El Rayyan itu sendiri merupakan air terjun di tengah-tengah padang pasir yang popular di kalangan pelancong dan kawasan rekreasi kegemaran penduduk setempat. Kawasan ini di lindungi oleh kerajaan Mesir. 

Tiket masuk ialah 3 USD seorang. 







4)Kincir air Nabi Yusuf. 

Kincir air ini terletak di tengah Kota Faiyum.Katanya, ini replika sahaja. Wallahualam. Menariknya, ia merupakan satu-satunya kincir air di Mesir yang di bina untuk mengalirkan air ke kawasan pertanian sehingga ianya menjadi subur. Khabarnya, kawasan pertanian di sini merupakan yang tertua di dunia.





Wednesday, September 9, 2015

Khan Al-Khalili, Masjid Saidina Husain dan Universiti Az Azhar

Penat berjalan selama 2 jam lebih jelajah satu muzium.

Itupun rasa macam still tak cukup masa. Tapi di sebabkan perut mula berkeroncong, maka terpaksa kami tinggalkan muzium dan bergerak untuk ke destinasi seterusnya iaitu Pasar Khan Al-Khalili, Masjid Saidina Husain dan Universiti Al Azhar.

Masih lagi di dalam mode Metro, kami meneruskan berjalan kaki ke Gamal. Daripada Gamal, kami menaiki metro hingga ke Shohada, dari situ kena tukar train ke Attabat.

Jika pagi tadi keadaan di Metro tidak terlalu sesak, tengahari Ya Allah suasananya tak tergambarkan. Terlalu penuh.

So siapa yang nak cuba Metro di Cairo ni memang nasib-nasiblah, kalau terlampau ramai tu memang tersepitlah celah-celah Pak Arab or Minah Arab. 



Tiba di Attabat, dah dekat sangat berjalan kaki ke Pasar Khan Al-Khalili. 

Namun jeritan perut yang lapar harus di pujuk dahulu, kami singgah makan tengahari di GAD.

Restoran GAD ni kiranya restoran yang agak mewah di Cairo. Tapi makanannya memang lazat.
Jenuh tanya maksud setiap perkataan tu.


Semua makanan yang kami order sedap dan lazat. Licin pinggan, jari pun licin.


Selepas makan, kami ke Pasar Khan Al-Khalili yang lebih terkenal denga panggilan Husain di kalangan mahasiswa Al Azhar. Pasar ini telah wujud zaman berzaman, antara yang terbesar di Kaherah dan juga menjual pelbagai jenis barangan.



Ada jugak mat salleh terselit kat pasar ni.
Jika ikutkan nak shopping semua, memang tak cukup waktu separuh hari di pasar ini. Namun di sebabkan awal-awal saya dah pasang niat ke Mesir bukan untuk tujuan shopping, maka perjalanan kami lebih mudah. Saya focus beli souvenir sahaja. Yang lain-lain tu saya berani jeling-jeling gitu je. Itupun makan masa sampai ke Asar.

Selepas shopping, kami ke Masjid Saidina Hussain yang terletak berdekatan Khan Al-Khalili. Di dalam masjid ini juga dipercayai di maqamkan kepala Saidina Husain. Masa kami tiba, berebut-rebut pengunjung masjid nak melawat maqam. Mereka bukan datang dan pergi begitu sahaja. Mereka duduk lama dan mengalunkan qasidah di situ.



Selepas itu barulah kami ke Masjid Al Azhar di Universiti Al Azhar, antara bangunan tertua di Cairo.

Masjid Al Azhar ini di gunakan sebagai tempat menuntut ilmu sebelum tertubuhnya Universiti Al Azhar. 

Senibinanya, sangat-sangat mengkagumkan.






Selepas lepak-lepak depan Masjid Saidina Husain sambil minum jus sedap yang sentiasa membangkitkan selera, kami pulang ke Hayyu Sabik dengan menaiki bas yang melalui pelbagai ceruk di Cairo. Masa yang di habiskan memang lama di dalam bas, tetapi the experience is priceless.

Setibanya di Hayyu Sabik kami makan di Abou Romy pula (mana tak gemuk, asyik makan je) sebelum pulang dan berehat tidur.


Tuesday, September 8, 2015

Muzium Cairo (Egyptian Antiquities Museum)

Pagi-pagi lagi kami sudah keluar menuju ke Muzium Cairo (Egyptian Antiquities Museum) yang terletak berdekatan Tahrir Square.

Untuk ke Muzium Cairo daripada Hayyu Sabik, kami menaiki tremco menuju ke Ramsis Train Station. Harga bagi seorang ialah 2.50 EP.
Di dalam tremco menuju ke Ramsis

Dari Ramsis Train Station, kami menggunakan perkhidmatan Metro untuk ke station Nasir. Sebenarnya, stesen metro yang sepatutnya paling hampir untuk ke Muzium Cairo ialah Sadat tetapi pada masa itu stesen Sadat di tutup kerana kekacauan di Tahrir Square. Sekiranya berhenti di stesen Sadat, muzium sudah amat dekat, hanya ikut papan tanda Exit Egyptian Museum dan berjalan kaki beberapa langkah maka tersergamlah muzium di hadapan mata. Dari stesen Nasir, jaraknya tidak terlalu dekat, perlu berjalan kaki lebih sedikit dan mungkin akan tersesat. Harga tiket metro bagi seorang ialah 2.00 EP.

Jalan menuju ke stesen bawah tanah
Kaunter membeli tiket

Menunggu ketibaan Metro
Untuk yang tidak mahu bersesak di dalam Metro (ianya sesak dan penuh dengan eksiden tolak menolak dan berebut pada waktu peak hour), anda boleh menggunakan teksi atau bas. 

Jika menggunakan teksi, beritahu ‘al-met-haf al-masri’.

Jka menggunakan bas, beritahu ‘abdel-minem-ryad’.

Harga bergantung kepada daripada mana anda datang.

Sesungguhnya,harga pengangkutan awam di Mesir memang tersangat murah.

Setibanya kami di muzium, kelihatan kawasan Tahrir Square dan sekitarnya sedang di kawal ketat oleh pihak polis. Namun, pelancong di muzium tetap ramai. Selain Mount Sinai dan Sharm El Sheikh, di dalam muzium inilah saya lihat ramai pelancong asing, tidak seperti tempat-tempat lain di Egypt pada waktu ini. Namun di muzium ini, kebanyakan pelancong datang melalui tour agent dan mungkin melawat Cairo selama sehari sahaja.




Lawatan ke Egypt tidak lengkap tanpa lawatan ke Muzium ini kerana di sini adalah tempatnya untuk mengenali tamadun Egypt yang bermula sejak bertahun-tahun yang lampau. Di muzium ini, terdapat lebih kurang 160,000 artifak seawal 5,000 tahun dahulu.

Muzium ini mendapat rating yang tinggi oleh Trip Advisor. Ia merupakan muzium yang terbesar di Egypt.

Ada satu kelemahan muzium ini, ianya tiada label penerangan yang jelas di dalam Bahasa Inggeris. Namun arifaknya cukp mengkagumkan.

Di sinilah kali kedua saya tengok mumia. Sekiranya di Muzium Alexandria, hanya satu mumia yang di pamerkan, di sini bukan hanya satu, malah dikelilingi oleh berpuluh-puluh mummies dari bayi sehingga dewasa. Bukan sahaja manusia, malah ada juga mumia haiwan. Malah ada juga keranda-keranda pelbagai bentuk, size dan ukiran.

Seram jugak.

Paling tidak lupa akan bahan yang membaluti mummies mengikut bentuk tubuh.





Muzium ini di buka setiap hari daripada pukul 9.00 am – 7.00 pm. Pemeriksaan yang amat ketat dilakukan sebelum pelawat di benarkan masuk ke dalam muzium. Kamera dan ambil gambar di dalam muzium tidak di benarkan sama sekali.

Kalau terlepas ambil gambar tanpa sesiapa menyedari itu rezeki.

Bayaran masuk untuk pelancong ialah 60 EP. Sekurang-kurangnya separuh hari di perlukan untuk menjelajahi keseluruhan muzium ini yang di bahagikan kepada beberapa seksyen.
Kaunter tiket
Jadi sebelum masuk muzium, pastikan anda telah makan secukupnya, dan bawa bekalan minuman secukupnya.