Commercial Break

Showing posts with label Arafah. Show all posts
Showing posts with label Arafah. Show all posts

Thursday, October 11, 2012

Day 39 (30 November 2011,part 3)-Masjid Quba, masjid pertama

Sabda Rasulullah s.a.w: 

Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah.

Riwayat At Tarmizi.



Akhirnya kami tiba di Masjid Quba. Masjid Quba ialah masjid pertama yang di bina oleh orang Islam. Masjid ini di asaskan oleh Rasullullah s.a.w sebelum baginda tiba di Madinah ketika berhijrah dari Mekah.

Masjid Quba ialah antara masjid yang di anggap paling suci oleh umat Islam selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.


Perihal masjid Quba ini ada di sebut di dalam AlQuran iaitu di dalam Surah AtTaubah Ayat 108 dan Ayat 109 yang bermaksud seperti berikut:

"Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)." Ayat 108

"Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim." Ayat 109

Menurut riwayat, semasa hayatnya Rasulullah s.a.w kerap mengunjungi Masjid Quba samada dengan menaiki tunggangan atau berjalan kaki, dan menunaikan solat sunat. Walllahualam

MasyaAllah cantik masjid ni..putih bersih je..






Kebetulan hari ni...boleh tahan ramai jemaah mengunjungi Quba



Ini kawasan sembahyang wanita..agak sesak





 Pintu masuk ruang solat lelaki..













Gambar Masjid Quba dari belakang
























Friday, February 3, 2012

Day 13 - (5 November 2011 ) Part 1-Wukuf di Arafah

“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu”


Al-Quran Surat Al Maidah Ayat 3


Bermulanya Arafah dari sini


Kawasan khemah-khemah jemaah haji Malaysia

















Hari Wukuf. Hari kemuncak yang di nanti-nantikan telah tiba akhirnya.


Pesanan ustazah. Jangan berborak-borak dan membuang masa semasa hari wukuf.


"Kebanyakan jemaah haji Malaysia suka berborak semasa di Arafah", katanya. "Beribadat dan berdoa, berdoa dan berdoa memohon kepada Allah. Rebut kesempatan dan peluang ini sepenuhnya untuk memohon kepadaNya "


Seorang Jemaah Haji bertanya kepada ustazah, " Antara baca Quran dan berdoa, yang manakah lebih utama semasa wukuf?"

"Berdoa," jawab ustazah.


"Berdoa kerana Rasulullah s.a.w menggunakan sepenuh masa untuk berdoa semasa Hari Wukuf. Wukuf di Arafah adalah waktu antara yang paling mustajab berdoa, iaitu selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari." tambahnya lagi.


Pagi wukuf. Selepas sarapan.


Pagi-pagi lagi saya dah sibuk-sibuk kelam kelibut mencari-cari tempat yang lapang di bawah pokok. Akhirnya berjaya mencari tempat lapang yang amat sesuai dan tenang untuk berdoa dan bermunajat kepadaNya, terus book tempat tersebut menggunakan tikar serbaguna hasil sumbangan TM. Lokasi yang dipilih ini amat sesuai dengan keredupan pokok-pokok dan agak lapang.

Saya tidak mahu berdoa di dalam khemah. Saya takut hati saya tidak khusyuk.

Tak sampai selang beberapa minit sahaja, kawasan ini telah di penuhi oleh Jemaah Haji  lain. Walaupun kawasan ini adalah kawasan Jemaah Haji Malaysia, ada juga beberapa Pak Arab juga tumpang sekaki. Mereka ini memang tiada tempat yang tetap di sini.



 
Gambar di ambil dari dalam kawasan perkemahan Jemaah Haji Malaysia. Kita beruntung kerana bas di sediakan dari Mekah ke Arafah. Ramai jemaah haji dari negara lain terpaksa berjalan kaki berkilometer jauhnya untuk sampai ke Arafah.




Mereka ini masih berjalan..dan berjalan



Arafah. Di sekitar kawasan perkhemahan Jemaah Haji Malaysia...

Hati sayu memerhati sekeliling.

Riwayat mengatakan di sinilah tempat pertemuan pertama Adam dan Hawa, di Jabal Rahmah setelah 200 tahun diturunkan dari syurga. Peristiwa yang mengharukan ini berlaku di sini, dan di tempat inilah juga yang menjadi tempat pertemuan seluruh manusia saban tahun. Di tempat ini manusia datang semata-mata kerana Allah, berkusut masai dan meninggalkan segala-galanya harta, benda, anak dan sebagainya. Ia seumpama gambaran apabila kita meninggalkan dunia fana ini, segala-galanya akan di tinggalkan. 

Agungnya kuasa tuhan yang menunjukkan semua ini!!


Saya dan suami sudah mula sembahyang, membaca Al Quran, dan berdoa sejak pagi lagi. Gelincir je matahari, saya sudah tidak mempedulikan orang lain lagi. Gelincir matahari sehingga terbenam matahari di Arafah ialah  antara waktu-waktu yang paling mustajab berdoa. Saya seorang perempuan yang lemah, saya tidak mampu untuk berebut-rebut berdoa di multazam, tidak juga bersolat di dalam Hijir Ismail dan sehingga ke hari wukuf saya belum pernah berdoa di Maqam Ibrahim. Ini adalah satu-satunya kesempatan yang harus saya rebut, kesempatan untuk berdoa pada Tuhan yang mengabulkan doa setiap hambaNya.

 Orang lain menegur pun saya tak layan. Pada waktu itu saya seorang hambanya yang tamak dan dahagakan nikmat tuhan. Saya merebut kesempatan ini untuk berdoa, dan tenggelam saya dalam keasyikan doa. Pada waktu itu hanya ada saya dan Tuhan yang Maha Berkuasa. Alam sekeliling seumpama membisu. Hati benar-benar kusyuk, masa yang berjalan tidak dirasai, tetapi masa amat cemburukan kami. Pertama kali tuhan beri saya rasa yang sangat cinta kepada ibadat haji ini. Terasa damai di hati. Air mata mengalir, tanpa sempat kering.


Tanpa disedari matahari hampir tenggelam, perasaan berasa sangat sayu. Sebenarnya masa di Arafah sangat singkat. Masa tu saya terfikir "Ya tuhan, bilakah aku akan ke sini lagi?" Inilah waktu dan detik ketika yang terdetik di hati saya, saya mahu ke sini lagi. Memandang tanpa berkelip akan matahari yang mulai terbenam.

Alangkah beningnya saat itu.







Thursday, February 2, 2012

Day 12 (4 November 2011) Part 3 -Berangkat ke Arafah

Dari Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w selalu berzikir kepada Allah s.w.t setiap saat,"

Riwayat Muslim.




Hari ini kami akan berangkat ke Arafah. Hati agak berdebar-debar, tetapi Insya Allah telah bersedia mental dan fizikal. Wukuf di Arafah adalah kemuncak Haji.  Wukuf di Arafah adalah antara Rukun Haji yang membezakan ibadah Haji dengan Umrah.


Kami dijangka bertolak ke Arafah pada pukul 3.00 petang, tetapi bas hanya tiba pada pukul 6.45 petang. Kelewatan itu tetap kami boleh terima, kerana kami hanya perlu menunggu di bilik sahaja, ianya tidaklah terlalu menyusahkan. Kami juga telah di beri nombor bas dan khemah mana yang kami harus duduki nanti. Segala-galanya telah di atur terlebih dahulu.


Alhamdulillah, perjalanan berjalan lancar. Bas yang dinaiki pun ok, bas yang di lengkapi dengan pendingin hawa.


Mereka yang lain, pelbagai kenderaan di gunakan untuk ke Arafah/Mina.







Bas tidak berbumbung, sengaja di buka bumbungnya kerana kepercayaan sesetengah negara bahwa dalam ihram pun tidak boleh menaiki any kenderaan yang berbumbung

Dalam perjalanan, terserempak dengan bas yang tidak berbumbung. Sebelum ini hanya mendengar cerita dari mulut mereka yang berpengalaman sahaja. Salah satu larangan dalam ihram bagi lelaki ialah tidak boleh menutup kepala. Bagi mereka ini, kenderaan berbumbung juga dikira menutup kepala!!

 
Akhirnya tepat pukul 7.45 malam kami tiba di Arafah. Keadaan khemah gelap dan senyap sunyi, kebanyakan jemaah haji telah tiba, kerana bas kami adalah antara yang terakhir tiba.

Saya terus menunaikan sembahyang Isya', makan dan tidur untuk menghadapi hari besar yang di tunggu-tunggu pada esok hari.

"Ya Allah kau permudahkanlah segalanya dan berilah kami Haji yang Mabrur Ya Allah". Hati penuh pengharapan.