Commercial Break

Showing posts with label my precious. Show all posts
Showing posts with label my precious. Show all posts

Sunday, February 8, 2015

Bangga bertimpa-timpa

Satu petang yang amat cerah.

Afiq tiba di muka pintu sambil menayangkan barisan gigi hasil sengihan yang amat lebar lantas menunjukkan pingat kemenangan yang tergantung di lehernya. Matanya bersinar-sinar, sinar matahari pun tidak secerah itu.

Membuatkan saya juga tidak mampu menahan senyum. 

Tanpa sempat Afiq masuk ke rumah, di muka pintu itu jugalah terhasilnya perbualan girang kami. Tidak tertahan-tahan saya bertanya. 

“Waaah Afiq menang ya?”

“Haah ibu, no 15.”

Saya hadiahkan dia dengan pelukan dan tahniah..seolah-olah no 1 yang menjadi miliknya.
Dan kata-katanya selepas itu membuatkan senyum saya bertukar menjadi gelak yang amat besar. Susunan nadanya nada berbangga, persis dia satu-satunya sang juara yang paling bergaya. 

“Dalam ramai-ramai yang dapat nombor tu, Afiq yang paling gemuk, ibu!” 

Err…aduhai!

Dan besoknya Rania pula yang menayangkan sengih lebih lebar ala model iklan colgate.

"Nurse datang tadika check gigi dan pilih Rania nombor satu gigi paling cantik..lepas tu ambil gambar gigi Rania"

Bangga bertimpa-timpa.

Dan sejak hari itu setiap hari dia akan memberus giginya sekurang-kurangnya 10 minit sekali. Membuatkan abang-abang yang memberus tak sampai dua minit berada di kedudukan tercorot.

Ohh!

Thursday, July 11, 2013

Pengertian puasa bagi seorang budak kecil

Hari pertama Ramadhan Al Kareem.

Pukul 8 lebih, Rania bangun terpisat-pisat. Jarang-jarang dia bangun pukul 8 ke atas. Biasanya dia yang kejut orang lain solat Subuh. Mungkin penangan tidur lewat malam semalam kerana mengikut kami pergi solat terawikh di Masjid.

Seperti biasa bangun pagi-pagi saya akan buat susu untuknya dahulu dan terus bagi dia minum, kalau tak budak kecik yang tembam ni memang tak tahan lasak.

Saya suakan susu padanya, “Ni Rania, drink this milk.”

Tanpa segan silu budak kecik ni ambik susu dan cakap, “Rania puace (puasa) eh ibu.” Dan tanpa segan silu dia habiskan susu tersebut dengan beberapa kelip mata sahaja. 

Itu pengertian puasa bagi seorang budak kecil berumur 3 tahun. Mungkin dia masih tak faham erti puasa yang sebenar-benarnya, tapi yang penting apabila dia bangun tidur pagi-pagi dia sedar yang hari itu adalah hari pertama puasa. Mungkin dia tak ikut solat bersama-sama semasa di masjid, hanya duduk di tepi bermain-main tetapi janji yang pentingnya kita ajari dia kepentingan menghormati masjid contohnya jangan buat bising semasa di masjid dan sebagainya. Apabila kita terangkan erti puasa dan tarawikh padanya, mungkin dia hanya terkebil-kebil pada masa sekarang, tetapi  InsyaAllah lama kelamaan dengan sendirinya dia akan hayati dan seterusnya cintakan Ramadhan berkat doa dan usaha kita. 



Wednesday, December 12, 2012

Cita-cita

1. Pengarang
2. Peniaga
3. Pengurus

Itulah tiga cita-cita yang saya coretkan di atas Buku Kerja Rampaian Bahasa Melayu apabila di minta oleh cikgu untuk berkongsi cita-cita kami. Terang, jelas dan nyata. Tidak teragak-agak. Ia adalah cita-cita jujur seorang kanak-kanak yang baru berusia 9 tahun. 

Cita-cita ini tersemat di sanubari kerana pengalaman dan pengaruh semasa kecil. Itu 3 'Pe' yang sentiasa bermain di minda dan hati sepanjang menyusuri alam rendah persekolahan.  Ia tidak berubah. Tidak pernah berniat nak bercita-cita setinggi doktor, arkitek, engineer atau pun apa-apa yang sewaktu dengannya. Saya setia dengan 3 'Pe'. 

Cita-cita No 3 telah di capai beberapa tahun yang lepas. Setelah beberapa tahun menjawat jawatan eksekutif di syarikat GLC di ibu kota, akhirnya saya berjaya menjawat jawatan Pengurus. 

Kenapa pengurus? Masa kecil-kecil dulu teringin nak jadi pengurus sebab tengok kat tv pengurus dapat pakai baju cantik-cantik pergi ofis, dapat bilik sorang-sorang kat ofis. Dapat bekerja di bangunan besar yang berhawa dingin. Gaji yang di terima pula mencecah ribuan ringgit.  Gaya pengurus yang di paparkan di kaca tv sangat   sophisticated,  ianya mempengaruhi minda dan jiwa walhal realiti sebenar tidaklah begitu. Ada yang buruk di sebalik sesuatu yang di sangka baik belaka.  Tekanan kerja kadangkala agak tinggi, lebih-lebih lagi di dunia moden yang memerlukan kepantasan dalam merebut persaingan. Bukan itu sahaja, politik di ofis juga amat memeningkan kepala, tidak sesuai dengan jiwa dan raga. Bukan saya tidak suka kerja ini, tetapi faktor-faktor sampingan menjejaskan kepuasan bekerja. Tambahan pula lahir dalam hidup satu persatu nya penghibur lara. Mereka adalah segalanya. Tidak melihat mereka membesar di hadapan mata sepanjang hari, ianya agak menyeksa jiwa.

Cita-cita kedua pula, telah dicapai. Ia bukan sepenuhnya. Ia bukan dalam kategori peniaga berjaya atau sepenuh masa. Semasa di tingkatan 4 lagi, saya sudah mulai mengaktifkan diri dalam Persatuan Usahawan Muda sekolah. Ianya bukan paksaan. Ianya adalah datang dari minat dalam diri. Setelah bekerja, saya selalu 'menjual' sesuatu sambil-sambilan. Kadangkala tolong ibu, kadangkala tolong orang, kadangkala suka-suka. Dan sehinggalah kini wujudnya online shop kami. Semuanya berpunca dari minat dan kepuasan melakukan sesuatu yang di sukai.

Saya suka berniaga kerana terpengaruh dengan proffesion ayah sendiri. Ayah seorang peniaga. Walau bukanlah seorang peniaga yang kaya raya atau gah tapi dengan hasil perniagaannya yang tak seberapa itulah dia membesarkan kami adik beradik. Dengan titik peluhnya berniaga, dia berjaya membawa ibu menunaikan Haji di hampir penghujung usianya. Nampak macam berniaga yang tak seberapa, tapi pengorbanannya banyak.

CIta-cita pertama. Saya suka mengarang. Rasa saya minat mengarang wujud kerana saya suka sangat membaca. Sejak kecil lagi saya sudah 'gila' membaca. Semasa di sekolah menengah saya akan bawa buku ke kelas dan membaca apabila tiada guru di dalam kelas. Semasa di MRSM, demi menghabiskan satu buku kerana tidak sabar mengetahui 'ending' nya, saya sanggup membaca di koridor di bawah lampu oren di saat rakan-rakan lain lena di ulit mimpi. Namun begitu apabila meningkat dewasa, ia adalah cita-cita yang semakin hari semakin dilupakan, lebih-lebih lagi jurusan yang di ambil semasa Tingkatan 4 ialah Sains, bukannya sastera.

Perjalanan ke Tanah suci, ianya sangat indah untuk di tuturkan, membuatkan saya tiba-tiba membuat keputusan untuk menulis. Ianya datang secara tiba-tiba. Tidak di rancang. Saya mahu mereka yang tidak tahu agar tahu, perjalanan ke tanah suci walaupun ianya menuntut pengorbanan, tetapi ia adalah perjalanan yang hebat. Tidak sama dengan yang lain. Bukan itu sahaja, melalui apa yang saya coretkan, saya harap dengannya saya akan tidak pernah lupa memori yang indah ini. Saya tidak akan lupa ilmu-ilmu yang saya pelajari dan agar saya dapat berkongsi dengan semua walaupun ia secebis cuma.

"Rindunya dengan perjalanan Haji & Umrah...terubat membaca tulisan puan. Harap-harap bersambung ke Madinah bertemu kekasih ALLAH"

"Terima kasih atas catatan perjalanan ke Tanah Suci Mekah. Saya sgt tertarik segalanya dlm penulisan tersebut"


"Awak telah mengembalikan kenangan saya semasa berada di tanah suci, terima kasih"


"Apa yang awak tulis membuatkan saya rasa diri saya berada di tempat itu, sangat berkesan."


"Teruslah menulis selepas ini, jangan putus asa. Saya suka apa yang ditulis."


Ia adalah mesej-mesej jujur ikhlas oleh mereka yang di kenali dan juga yang tidak pernah di kenali. Tanpa di sedari ia membangkitkan satu kepuasan kerana dapat memberikan perasaan yang sama kepada mereka yang menghargai. Bukan untuk berbangga malah untuk bermegah, namun mesej jujur mereka mendorong saya untuk terus menulis.


Saya sangka penulisan saya akan terhenti selepas habis semuanya saya curahkan mengenai haji. Tetapi tidak. Saya tidak boleh berhenti. Menulis seolah-olah sudah menjadi satu hobi. Sebab itulah saya akan terus menulis selepas ini, walaupun episod haji sudah terhenti. Mungkin saya tidak akan menulis tentang haji semuanya, tetapi saya akan menulis apa sahaja yang saya suka.  Saya akan berkongsi apa yang saya rasa bermanfaat.

Saya akan menulis walaupun tiada siapa yang sudi membaca...

Tuesday, January 10, 2012

Before our journey to Hajj

Hanya satu hari lagi. Perasaan yang dikumpul selama berhari-hari menantikan hari esok, akhirnya tiba. Bermacam-macam perasaan bermain di benak fikiran. Pelbagai tanda tanya berkitar di dalam diri.

Beberapa bulan sebelum hari ini tiba. Kami dikejutkan dengan maklumat bahwa giliran kami menunaikan Haji ialah pada tahun ini, bukan tahun hadapan menurut perkiraan kami sebelum ini. Entah apa yang mendorong kami menjangka giliran kami menunaikan Fardhu Haji adalah pada hujung tahun hadapan, kami pun tidak pasti. Ia mungkin adalah satu agakan sahaja. Agakan yang kami benar-benar pasti.

Kenyataan itu menyebabkan saya terkejut. Saya berkira-kira. Ada kemusykilan berlegar di fikiran. Ada ketidakpastian dalam keputusan.

"Bersediakah aku?" Terasa diri masih belum benar-benar bersedia kerana mindset untuk menunaikan Rukun Islam yang Kelima ini ialah pada tahun hadapan.

"Mampukah aku menghadapi pelbagai kemungkinan?" Terbayang cabaran-cabaran dan cerita-cerita yang terkenal mengenai Tanah Haram.

Dan yang paling menyebabkan diri ini keberatan "Bersediakah aku meninggalkan anak-anakku yang masih kecil, terutamanya Rania?"

Terbayang Rania yang baru berusia setahun lebih, yang masih menyusu badan sepenuhnya, bergantung kepadaku sepenuhnya.

Ia adalah pemergian selama sebulan lebih, bukan sehari dua.

Segala persoalan di tamatkan oleh suami. " Kita pergi tahun ni. Dah rezeki tahun ni", Itu adalah kata-kata muktamad daripadanya.

Dan selama berbulan-bulan walaupun kepada semua yang bertanya saya mengesahkan yang kami akan pergi tahun ini, tetapi jauh di lubuk hati sejuta persoalan seperti di atas tetap bermain di fikiran.

Hanya setelah lebih kurang 3 bulan lepas barulah saya benar-benar bulat hati untuk menunaikan Fardhu Haji. Selama itu barulah saya mula sembahyang meminta taubat dariNya. Sembahyang meminta hajat dan dipermudahkan olehNya. Membaca buku-buku berkisar ibadat ini. Hanya selama itu sahaja.

Dan persediaan untuk memberhentikan susu badan dari Rania bermula perlahan-lahan. Ia hanya baru bermula sejak sebulan lepas, dengan hati yang sangat berat. Bermula dengan perahan susu di ofis di hentikan sama sekali. Rania baru setahun setengah ketika itu. Rania mula diberi susu formula. Dan hanya diberikan susu badan apabila saya di rumah sahaja.

Dan, malam semalam adalah pertama kali Rania tidak di susui dengan susu badan. Pertama kali kami berpisah tidur. Malam semalam Rania mulai tidur dengan Linda, bibik kami. Beberapa kali saya resah gelisah mengetuk pintu bilik Linda apabila terdengar rengekan dan esakan Rania. Suami menghalau saya ke atas.

Bukan Rania sahaja yang tak dapat tidur, saya pun lansung tidak lena. Saya yang lebih tidak lena dari Rania.

Dan waktu siang dia masih menyusu badan. Suami sudah banyak kali bising suruh bercerai susu terus, tetapi saya tidak sampai hati.

Hari ini saya masih memberi Rania susu badan, cuma malam nanti baru dipisahkan.
"Tak berhenti lagi? Nanti susah nanti," suami memberi amaran.


Saya berdegil. Naluri keibuan lebih kuat. Biarlah saya beri Rani susu semaksimum yang mungkin. Saya tidak peduli akan kemungkinan.

Ia adalah satu kepayahan, tidak mungkin saya akan bercerai susu kalau bukan kerana mahu menunaikan ibadat haji. Target saya untuk Rania ialah seperti abang-abangnya..memberi susu badan semaksimum mungkin..sekurang-kurangnya 2 tahun, tetapi walaupun begitu payah bagi hati saya.. mengapa saya masih juga nekad untuk menunaikan Fardhu Haji pada tahun ini?

Emak, ayah dan Nazihah yang sudah mulai mendiami rumah ini sejak semalam untuk menolong menjaga anak-anak kami, serta saudara mara dan jiran-jiran yang tidak putus datang menyedarkan kami, bahawa harinya hampir tiba.

Beberapa sebab yang akhirnya saya pasrah kepadaNya untuk menunaikan Haji pada tahun ini:




1) Rania telah berjaya di beri susu badan tanpa campur formula selama setahun setengah. Ia adalah satu kejayaan kerana saya benar-benar ikhlas untuk memberi yang terbaik kepada Rania. Saya yakin saya telah beri yang yang secukupnya kepada Rania.


2) Antara memberi susu badan sehingga cukup dua tahun dengan menunaikan Fardhu Haji pada tahun ini, saya yakin Allah telah membuka hati saya untuk memilih yang terbaik. Setiap yang saya lepaskan pastilah ada hikmah di sebaliknya. Saya tidak boleh tamak untuk memilih kedua-duanya sekali kerana itu adalah mustahil. Allah Maha Mengetahui. Saya harus melakukan pengorbanan ini.

3) Jika saya menunda pemergian haji ke tahun hadapan, tidak pasti lagi kami dapat pergi atau tidak. Mana tahu tiba-tiba kami di kurniakan anak lagi. Atau kami tidak di beri tawaran lagi oleh tabung haji. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

4) Alasan tidak pergi kerana anak masih kecil sepatutnya hanyalah alasan yang kecil. Masa sentiasa berjalan. Jika di tunda, anak kami akan membesar dan bersekolah. Pada ketika itu lebih susah hendak meninggalkan mereka kerana mereka telah bersekolah. Dan jika hendak menunggu mereka besar, tentulah usia kami sudah emas ketika itu.
5) Waktu muda adalah waktu terbaik menunaikan haji. Kesihatan masih sempurna, kekuatan masih banyak. Kami boleh melakukan yang terbaik dan menunaikan seruanNya dengan sepenuh hati. Fardhu haji bukan calang-calang. Banyak tenaga yang harus digunakan. Hati dan semangat yang cekal dan kuat juga menyumbang kepada kejayaan ibadat ini. Menunaikan haji bukan waktu untuk berehat. Ia adalah masa yang harus di gunakan dengan sebaik mungkin untuk menumpukan sepenuh hati beribadat kepadaNya. Mencari yang terbaik dalam diri. Berdoa yang terbaik untuk diri untuk masa kini dan masa hadapan. Masa muda adalah masa yang terbaik.

6) Sepanjang pemergiaan kami, kami percaya akan ayah dan emak. Mereka mampu menjaga anak-anak kami sebaik-baiknya. "Pergilah," kata emak. " Jangan risau dengan yang di sini. InsyaAllah pandai-pandai lah kami". Kami percaya kepada mereka. Emak dan ayah mertua saya adalah yang terbaik.

Saya berdoa agar Allah memberi yang terbaik dan memudahkan segalanya bagi kami. Agar Allah menerima kami sebagai tetamuNya. Agar Allah memelihara kami dan anak-anak. Saya berserah segalanya kepada Allah. Insya Allah.


My little precious.









My delicious baby Rania...



Her again..will definitely miss her!








And our manja Irfan...









Our bubbly Afiq. He is definitely will be the pembela/pembuli of his sister/brother.







We will definitely miss them a lot...