"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
Surah Al Imran Ayat 27
Bas tiba lebih kurang pukul 7.30 malam mengambil kami di Mina untuk pulang ke hotel di Makkah. Semua jemaah kelihatan gembira kerana telah/hampir selesai menunaikan kerja-kerja Haji di samping boleh merehatkan tubuh badan yang kepenatan sepanjang berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Bagaimanapun, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya satu jam berlanjutan ke 5 jam kerana pemandu bas yang sesat ditambah keadaan trafik yang begitu sesak.
Di sini, rata-rata pemandu bas adalah bukan penduduk tempatan. Mereka datang dari pelbagai tempat yang berlainan dari Semenanjung Arab, untuk mencari rezeki lebih sempena musim haji. Pemandu bas kami pada kali ini adalah dari Mesir. Tidak tahu bercakap Bahasa Inggeris walaupun sepatah. Dua orang pekerja am di Mina berbangsa Pakistan pula yang kebetulan ingin menumpang untuk pulak ke Mekah ditugaskan untuk menjadi penunjuk arah.
Di dalam bas, siap berlaku perbalahan (Mesir vs. Pakistan) apabila dah sesat. Masing-masing salah menyalahkan antara satu sama lain. Yang menjadi masalahnya penunjuk arah dari Pakistan tersebut juga tidak tahu jalan dan hanya boleh bertutur bahasa Arab secara ‘broken’. Jadi memang berlaku banyak salah faham. Pening melihatnya.
Di dalam bas, kami duduk betul-betul di belakang drebar bas. Kami dapat melihat dengan jelas dari A-Z segala yang berlaku.
"Pemandu bas ni tak tahu jalan," bisik suami kepada saya. "Kita dah sesat ni". Pekanya suami saya. Kalau saya sorang, kena bawak lari keluar dari haram pun, sumpah saya tak perasan. Pemandu bas hanya memandu dengan berkompaskan Menara Jam dan Masjidil Haram tanpa mengetahui dimanakah lokasi hotel kami yang sebenar.
Ada satu masa ketika sedang tersangkut dalam kesesakan yang teruk, apabila sudah ternampak kelibat Menara Jam mereka mencadangkan kami untuk turun dari bas dan berjalan kaki sahaja ke hotel kami. Kononnya dalam 2 kilometer sahaja dari tempat kami tersangkut. Bagaimanapun kami menolak dengan baik. Walaupun mungkin kami yang muda ni berkudrat untuk berjalan, bagaimana pula dengan jemaah haji yang berusia? Bukannya ada wheelchair atau alat bantuan perjalanan yang lain.
Alhamdulillah semasa menghampiri Masjidil Haram, ada seorang jemaah haji (dari Yemen jika tidak salah) yang memohon untuk menumpang bas kami untuk pulang ke hotel beliau. Haji dari Yemen ini agak arif dengan jalan disekitar hotel kami. Dialah yang menjadi penunjuk arah dan berkebolehan mengetahui jalan-jalan pintas untuk mengelakkan kesesakan. Terima kasih Haji dan semoga Allah memberi rahmat kepadanya atas pertolongan tersebut!
Setelah sekian lama berada di atas bas, tanpa makan malam selain makanan ringan yang kebetulan dibawa bersama dan tanpa berhenti walaupun untuk ke bilik air, kami sampai di hotel Qasr AlShoorouk lebih kurang pukul 12.30 malam... Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Bagaimanapun agak kasihan melihat jemaah haji yang berusia yang kekejangan kaki dan mengalami kesukaran untuk bangun disebabkan terlalu lama duduk di dalam bas.
Episod ini memberikan pengajaran agar pihak Tabung Haji atau pihak-pihak yang menguruskan perjalanan kerja-kerja Haji untuk menyediakan seorang mursyid atau penunjuk jalan yang arif (seperti semasa bertolak ke Arafah di mana kami diiringi oleh seorang mursyid) untuk mengelakkan hal yang sama berulang. Kesian kepada mereka yang tua dan uzur.
No comments:
Post a Comment