Commercial Break

Wednesday, February 8, 2012

Day 14- (6 November 2011) Part 2 - Tawaf Rukun

Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Surah Al Kahfi, Ayat 49.



Mereka yang bergerak terus dari Jamrah ke Masjidil Haram untuk menunaikan Tawaf Rukun, ini di kawasan Jamrah. Helicpter view, sumber google

Kami tiba di masjidil haram lebih kurang pukul 10.15 pagi. Lebih kurang 1 jam lamanya perjalanan kami. Perut sudah menjerit minta diisi. Kami belum breakfast lagi. Apatah lagi tenaga yang digunakan bukan calang-calang. Kerana itu kami membuat keputusan untuk makan, mandi dan berehat tidur di hotel sebelum menyempurnakan Tawaf Rukun. Sangat enak mandi dan tidur di hotel...tetapi sebelum benar-benar hilang lelah kami, saya dan suami bertolak semula ke Masjidil Haram lebih kurang pukul 2.45 petang untuk menyempurnakan Tawaf Rukun. Kami perlu balik semula ke Mina menjelang malam.Ini kerana kami perlu memenuhi syarat bermalam di Mina (sekurang-kurangnya 6 jam). Kak Ida dan suami sudah mendahului kami.


Sembahyang Asar di Masjidil Haram...

Tidak sengaja terserempak dengan Kak Ida dan suami selepas Asar. Walaupun telah sampai lebih awal, tetapi mereka belum memulakan tawaf walau satu pusingan. Mereka memberitahu Tawaf di dataran Kaabah sangat penuh, penuh yang luar biasa. Tolak menolak berlaku dengan hebat. Beberapa lelaki bertubuh besar berketurunan Afrika dan juga gagah kudratnya telah pengsan akibat terlalu penuh dan tolak menolak yang hebat. Ribuan Jemaah Haji ni nak sempurnakan tawaf rukun ketika itu juga. Jika kebiasaanya, hanya pihak Polis Saudi yang bertugas mengawal ketika waktu puncak ini pihak Askar Saudi turut serta dalam operasi kawalan. Petugas perubatan juga tidak menang tangan datang untuk menyelamatkan keadaan. Kak Ida dan suami tidak berani nak masuk untuk bertawaf. Apatah lagi pertembungan akan berlaku dengan mereka yang gagah. Tiada langsung kelihatan kelibat jemaah haji Malaysia dalam lautan jutaan manusia ini. Kebanyakan jemaah haji Malaysia menunggu melontar kesemua Jamrah, iaitu selepas balik dari Mina, baru mereka akan menunaikan Tawaf Rukun.

Ramai yang luar biasa..tidak mampu masuk
Selepas berbincang kami sepakat untuk bertawaf di tingkat satu masjidil haram demi keselamatan. Di tingkat satu senario yang sama juga kelihatan. Berasak-asak manusia. Berpusu-pusu. Tawaf di tingkat satu dikala itu adalah bersamaan dengan Tawaf di dataran pada hari yang biasa. Sangat penuh. Sangat padat.


Tawaf pada hari itu menyebabkan tekak terasa kering. Beberapa kali tersepit. Seperti di hujung nyawa. Seumpama di padang masyar. Manusia tidak sabar. Masing-masing berpusu-pusu, menolak yang berada di hadapan kerana mahu cepat selesaikan tawaf. Tolakan yang sangat hebat menyebabkan ramai askar terpaksa berkawal di laluan tawaf tingkat satu ini, terutama di penjuru hajar aswad, menggesa mereka yang tawaf agar tidak berhenti di penjuru hajar aswad untuk berdoa, tetapi seperti kebiasaan, mereka yang degil tidak makan saman.

Tawaf di tingkat atas pun penuh sesak.

 
Tawaf yang bermula selepas asar, akhirnya selesai setengah jam selepas Maghrib. Kami hanya berhenti untuk sembahyang Maghrib sahaja.

Selepas azan, muezzin terus melaungkan qamat untuk solat fardhu tidak seperti kebiasaannya memberi laluan kepada solat sunat. Imam segera melaksanakan solat Fardhu sejurus azan. Ianya dengan satu niat yang baik. Untuk memberi kesempatan kepada mereka yang bertawaf agar segera selesai.

Pada ketika itu, Kak Ida dan Abg Bujang yang menyambung tawaf di Tingkat 2 setelah hanya separuh jalan Tawaf di Tingkat 1 kerana tidak tahan dengan tolakan, belum lagi nampak bayang, dan belum lagi selesai tawaf. Kami tertanya-tanya. Kami agak risau dengan keselamatan mereka.

Alhamdulillah, akhirnya kami bertemu mereka selepas Isya'. Kelihatan wajah mereka yang keletihan.

"Tawaf di tingkat dua sama hebat dengan di tingkat 1," kata mereka.

"Lebih teruk lagi, mereka yang bertawaf enggan bergerak dan keluar dari laluan tawaf untuk menunaikan solat maghrib. Mereka menghalang kami yang mahu keluar. Mereka solat Maghrib di laluan tawaf. Tidak masuk ke saf. Mereka sembahyang berdiri. Entah mazhab mana yang mereka ikuti. Kami tidak mampu bergerak keluar, di marahi oleh mereka apabila mahu berbuat demikian. Kami terperangkap antara mereka. Di celah-celah mereka.Terpaksa kami menunggu sehingga selesai solat Maghrib, baru kami dapat keluar dari laluan tawaf untuk solat, tetapi tanpa mengikut imam." cerita mereka dengan lebih lanjut lagi.
 
Menjelang malam...semakin penuh sehinggakan mereka yang bertawaf di dataran ada yang selepas 4 jam baru selesai...dan mereka bertawaf hingga ke tepi yang mungkin...




Tawaf tingkat satu pun semakin penuh menjelang malam!!










Ia adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seakhir hayat ini. Ia menginsafkan dan menguatkan kami. Ia seumpama di padang masyar. Malahan kami sedar, di padang masyhar ianya pasti amat teruk sekali bagi mereka yang tidak beramal. Semua manusia akan berjalan mengikut amal masing-masing. Masa itu tinggalkan saudara, atau rakan taulan...


Setelah selesai..kami pulang ke hotel untuk bersiap-siap pulang ke Mina. Cadangannya kami ingin menaiki kenderaan sewa sahaja untuk ke Mina kerana badan sudah keletihan. Bagaimanapun, oleh kerana tambang yang dikenakan amatlah mahal (50 riyal seorang atas bumbung bas/van atau 70 riyal seorang dalam bas/van) disamping tiada jaminan akan dihantar ke khemah Malaysia secara terus membuatkan kami terpaksa meneliti alternatif lain.

Kami akhirnya bertolak ke Mina dengan berjalan kaki, perjalanan bermula lebih kurang pukul 9.00 malam.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Dataran kaabah jg begitu sesak shingga melimpah ke tangga ketika hari raya haji ke2 (saya membuat Nafal awal) buat tawaf rukun selepas asar, cuba memasuki dataran kaabah w/pun dihalang oleh askar.....ttp xberdaya dihimpit, akhirnya kami juga tawaf di tingkat satu yg jg sesak, melimpah hingga ke tempat org solat.....terima kasih, membaca entries Puan Hajjah menggamit kerinduan Baitullah....

    ReplyDelete