Commercial Break

Thursday, February 16, 2012

Day 18 (10 November 2011) - Telefon Malaysia

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah Al Imran Ayat 29


Bangun agak lewat sedikit hari ini lebih kurang pukul 4.15 pagi untuk sembahyang Subuh di Masjidil Haram akibat keletihan menempuh perjalanan penuh tekanan selama 5 jam di dalam bas semalam. Bayangkan kalau di Malaysia perjalanan selama 5 jam bertolak dari KL boleh tiba ke Penang!

Realiti sebenar jarak dari Mina ke Masjidil Haram tidaklah jauh, hanya sekitar 7 km sahaja. Dan bagi saya keletihan itu bukannya disebabkan oleh masa yang lama berada dalam bas. Keletihan itu datang lebih disebabkan oleh tekanan, ketidaktentuan dan perasaan tercari-cari disebabkan kesesakan dan kesesatan. Sebahagian besar masa dalam perjalanan dihabiskan berlegar-legar disekeliling Masjidil Haram untuk mencari arah yang betul ke Hotel. Bak kata orang: “It is too near, yet too far!”

Tetapi rombongan kami tidak bersendirian rupanya dalam menghadapi masalah tersebut. Rupa-rupanya ramai lagi yang senasib dengan kami dan ada yang lebih parah! Pelbagai peristiwa yang jemaah haji lain terpaksa lalui. Ada cerita yang pemandu Arabnya hampir bersingsing lengan dengan penunjuk arah Pakistan. Ada bas rosak dan terpaksa tukar bas di tengah-tengah jalan. Hanya ucapan “Alhamdulillah” yang boleh dipanjatkan jika dibandingkan kesukaran kami dengan mereka.

Mungkin di musim-musim Haji yang akan datang, pihak Tabung Haji boleh memperbaiki perkhidmatan bas mereka. Tempatkan seorang Mursyid (penunjuk jalan) yang tahu jalan untuk setiap bas. Bolehlah cerita pengalaman bas Makkah-Arafah-Muzdalifah-Mina- Makkah mempunyai jalan cerita yang berlainan di masa-masa hadapan. Jalan cerita dengan happy ending. Jemaah Haji sentiasa di suruh bersabar sekiranya hal-hal seperti ini berlaku. Anyhow, ini lebih kepada soal memberi yang terbaik untuk jemaah haji. Entahla..mungkin Tabung Haji ada alasan tersendiri. Kami hanya kesian kepada mereka yang tua, uzur dan sakit. Pulang dari Mina, ramai yang sakit. Salah satu sebabnya kerana keletihan terlalu lama di dalam bas yang sesat.

Sedar tak sedar sudah lebih dua minggu kami di sini. Hari ini sudah hari yang ke-18. Sudah lama saya tidak bercakap dengan mereka di Malaysia. Sebelum ini hanya suami yang selalu menelefon dan bercakap dengan mereka terutamanya dengan anak sulung kami Afiq dan adik ipar saya Nazihah. Saya enggan untuk bercakap walaupun suami ada menawarkan gagang telefon kepada saya. Saya tegas menolak apabila gagang telefon di hulurkan.

Yang sebenarnya saya tidak mahu sentimental sebelum kerja-kerja haji selesai. Saya tidak mahu terlalu terkenangkan rumah. Dan saya seperti telah di beri kekuatan untuk menolak perasaan rindu itu. Selain daripada sekali sekala terkenangkan anak bongsu kami Rania yang masih kecil, saya tidak terlalu rindu. Memang aneh tetapi saya yang telah meminta begitu. Saya yang telah berdoa agar saya tidak rindu kepada mereka semua dan mereka tidak rindu kepada saya. Saya telah berdoa sejak dari di Malaysia lagi.Saya tidak mahu sakit rindu, dan yang paling utama, mahu tenang agar ibadah ini dapat di sempurnakan dengan 'sempurna'. Saya mahukan kesempurnaan.

Dan hari ini, setelah selesai kerja-kerja haji, tiba-tiba saya teringat mereka. Akhirnya saya telah bersetuju untuk menelefon rumah.

Kami menggunakan perkhidmatan iTalk oleh TM. Amat mudah kerana perkhidmatan ini disediakan di lobi hotel kami dan petugas TM turut ada untuk menjual kad disamping membantu jemaah haji menghubungi Malaysia. Perkhidmatan ini juga murah (sekitar RM1.00 seminit) disamping kualiti suara yang amat bagus. Tak terasa pun seperti bercakap antara dua benua. Cumanya, agak kurang privasi kerana bercakap di lobi hotel. Kami diberitahu sepatutnya telefon bimbit persendirian boleh digunakan tetapi entah mengapa di’block’ pula penggunaan iTalk oleh mobile operators di sana.

Pertama kali saya bercakap dengan Afiq dan pembantu rumah kami Linda setelah sampai ke sini. Setelah bercakap dengan Afiq, saya bercakap dengan Linda. Ayah dan emak tidak ada di rumah pada masa itu. Mereka ke pasar.

Lebih kurang hampir 10 minit bercakap, tiba-tiba Linda berkata, " Hari itu mak kakak datang ke rumah. Bawa kek dan pizza,".

"Kenapa pula bawa kek?" saya hairan.

"Sambut birthday Irfan (anak kami yang kedua), 7 November" jawab Linda.

Ya Allah, saya menepuk dahi. Macammana saya boleh terlupa birthday Irfan!!
Adoi..saya tak pernah terlupa birthday mereka seumur hidup ini. Kesian Irfan!! Uhh..nampaknya saya benar-benar diberi kekusyukan dalam ibadat haji ini.

Macammana saya boleh terlupa birthday budak manja ni?

Selepas Zohor kami pergi ke Supermarket Bin Dawood. Kami beli beberapa keping coklat. Kami dah decide tak nak bawa balik kurma seperti yang kebiasaannya. Kami nak pecah tradisi. Kali ni luar biasa sikit, bawa balik coklat sebagai buah tangan. So, sebelum beli banyak-banyak, kenalah rasa dulu untuk memastikan coklat mana yang terbaik untuk dihadiahkan kepada keluarga dan sahabat..







Deretan cokelat Arab di Bin Dawood...banyak choice!!





Lepas lepak-lepak makan coklat di dataran di depan Abraj Al Bait, kami pergi survey bas untuk ke miqat di Tanaim bagi persediaan melaksanakan Umrah. Kami jalan sampai ke Hotel Dar-Al Tawhid, Intercontinential. Ternampak seorang pemandu bas warga Indonesia. Dia memandu bas khas untuk penghuni hotel Dar-Al Tawhid. Kami interview dia sikit-sikit bertanyakan pengalamannya di Makkah disamping cara-cara untuk menaiki bas ke Tanaim.. siap tanya pasal cerita-cerita yang kurang enak yang selalu di dengar kalau naik teksi (bukan semua teksi ye, hanya sebilangan kecil teksi yang menconteng arang pemandu-pemandu teksi lain yang ikhlas bekerja) ke Tanaim. Dia membenarkan khabar-khabar angin itu.






Pemandangan dari Dar Al-Tawhid..ramai gak orang kat sini




No comments:

Post a Comment