Commercial Break

Friday, February 17, 2012

Day 20 (12 November 2011)-Umrah yang pertama

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Surah Al Jumu'ah Ayat 2

Setelah nekad untuk melaksanakan juga umrah pada hari ini walaupun suami tak sempat hendak mengkaji keadaan semalam, saya dan suami mulai berjalan ke stesyen bas yang bersebelahan Hotel Darul Tawhid (Intercontinential) pada pukul 2.30 pagi untuk mendapatkan bas ke Tanaim.

Di stesyen bas...suasana sunyi sepi. Gelap gelita. Tiada bas ke Tanaim yang kelihatan. Hanya ada beberapa bas chartered ke maktab-maktab penginapan yang disediakan untuk Jemaah Haji Turki bagi memudahkan mereka berulang ke Masjidil Haram. Tiada ramai orang kelihatan. Hanya beberapa jemaah Haji Pakistan/India yang sedang menunggu bas mungkin hendak ke Tanaim juga.


Kami tertanya-tanya. Tiada bas kah?

Mendapatkan maklumat daripada petugas kaunter, mereka hanya menyuruh kami menunggu. Tiada spesifik waktu maklumat ketibaan bas. Untuk memastikan urusan perjalanan lancar, kami terus sahaja membeli tiket bas untuk perjalanan ulang alik hari ini dan juga untuk perjalanan ulang-alik umrah yang berikutnya. Tambangnya murah, hanya 2 riyal satu hala berbanding harga teksi sekitar 10 ke 15 riyal satu hala pada waktu puncak ini.

Beberapa minit menunggu. Masa berlalu. Hampa, kecewa. Bas-bas chartered khas untuk Jemaah Haji Turki sudah beberapa kali berlalu pergi. Dalam hati sekiranya Tabung Haji pihak muassasah menyediakan perkhidmatan chartered ke Tanaim untuk Jemaah Haji Malaysia, mesti hangat sambutannya. Dengan pelbagai cerita-cerita kurang enak yang didengari berkaitan teksi dan kereta sapu ke Tanaim, pasti ramai yang memilih untuk menaiki bas seperti kami.

Tidak lama kemudian satu rombongan Jemaah Haji Indonesia lengkap berpakaian ihram tiba. Ramai juga, sekitar 40 orang. Mereka juga menunggu dengan penuh harapan. Tetapi bas tetap tidak kunjung tiba.

Setelah lebih kurang sejam menunggu, akhirnya kami mengambil keputusan menundakan hasrat ke Tanaim selepas Subuh. Kami tidak mau meninggalkan ibadah qiyamualail kami disamping ada kemungkinan terlepas bersolat subuh di Masjidil Haram.

Selepas Subuh.

Kami pergi semula ke stesyen bas. Stesyen sudah dipenuhi oleh orang ramai. Sesak. Tidak seperti tadi. Suasana yang berbeza. Hiruk pikuk manusia dan deruan enjin bas jelas kedengaran memekakkan halwa telinga. Asap dan debu juga bertebaran. Stesyen bas di penuhi oleh Jemaah-jemaah haji dari Asia Barat. Semuanya kelihatan bersemangat dan tidak sabar untuk ke Tanaim. Ada juga yang menunggu bas untuk pulang ke maktab-maktab penginapan mereka. Khabarnya, bas-bas ke Tanaim akan melalui maktab-maktab ini juga.

Datang bas yang pertama. Pergerakan manusia yang hebat menuju ke bas. Memecut lari masing-masing untuk memastikan dapat tempat. Tidak beratur lansung. Hanya rempuhan yang kelihatan. Berebut-rebut memasuki pintu kecil bas. Tolak menolak. Mereka ni memang tak hiraukan orang lain. Yang penting mereka dapat masuk. Memang mementingkan diri sendiri.

Saya dan suami hanya duduk di tepi. Memerhati. Begitu juga dengan beberapa jemaah haji yang lain. Tidak mungkin kami dapat masuk tanpa berebut seperti mereka. Tak mungkin juga individu bertubuh kecil seperti saya ni tidak penyek atau cedera dengan rebutan itu. Sudah dapat saya bayangkan. Tambahan pula, memang dosa yang dapat, bukan pahala sekiranya kita berebut-rebut seperti itu. Niat sudah baik dan suci untuk mengerjakan umrah..tetapi caranya tidak betul.

Beberapa bas datang dan berlalu pergi apabila sudah dipenuhi penumpang. Semuanya berebut-rebut dan tolak menolak. Keadaan memang kelam kabut. Suami cuba menunggu di tempat yang akan di lalui bas, tanpa bergerak. Bas menuju di depannya sahaja, hampir jatuh dibuatnya apabila dia di tolak oleh kumpulan yang berebut. Ada yang nyaris dilanggar bas! Masya Allah. Saya pada masa itu sudah awal-awal lagi duduk jauh-jauh ditepi. 

"Sebelum ni tak macam ni pak. Bas sentiasa banyak, tempat memang lebih daripada penumpang. Tidak teruk berebut" kata seorang jemaah di sebelah kami dari Indonesia. Ini adalah kali ketiga dia mahu ke Tanaim menggunakan bas. "Mungkin juga jemaah dari Pakistan dan India ini mahu cepat-cepat buat Umrah, mereka sudah mahu pulang ke negara masing-masing" tambahnya lagi.

Lebih sejam menunggu. Entah kenapa hati rasa kecewa dan sedih. Tak mungkin kami akan berebut semata-mata untuk ke Tanaim. Kami nak buat Umrah, bukan nak buat dosa. Ketika itu berdoa agar Allah permudahkan perjalanan kami pagi ini. Teringat janji Allah, Dia sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar. Ya Allah permudahkanlah kami..Rabbi Yassir wala Tuasssir.

Setelah sekian lama menunggu bas di stesyen, kami perlu mengubah strategi. Kami berjalan ke luar dari stesyen. Cuba menunggu di sebelah luar stesyen, di laluan yang akan di lalui oleh bas sebelum masuk ke stesyen untuk mengambil penumpang. Ia adalah lokasi bas berhenti untuk menurunkan penumpang. "Kita cuba last..kalau tiada rezeki kita balik.." putus suami.

Saya sangat mengharap dalam hati. Kepenatan amat terasa, kerana kami sudah bangun sejak pukul 2.30 pagi semata-mata hendak ke Tanaim. Tak mungkin Allah mempersia-siakan kesabaran dan niat suci ini.

Tak sampai 5 minit menunggu. Datang bas pertama. Pemandu muka keletihan dan penuh tekanan. Mungkin kerana melayan kerenah-kerenah mereka yang berebut. Menurunkan semua penumpang yang balik dari Tanaim. Suami merayu kepada pemandu agar membenarkan kami naik sambil menunjukkan tiket yang telah dibeli. Pemandu tidak membenarkan. Pintu automatik bas di tutup. Terasa punah harapan.

Saya berdoa dalam hati. Tetiba mata pemandu bas melihat ke arah saya. Saya membuat muka kesian, sekesian yang mungkin. Wajah yang sememangnya letih di tambah dengan muka kesian membuahkan hasil. Pemandu memanggil saya dan suami ke atas bas. Alhamdulillah..Tuhan yang menukarkan hatinya untuk membenarkan kami naik. Berjaya kami berdua mendapatkan tempat di dalam bas tanpa perlu berebut-rebut dan bertolak-tolakan!

Bas menuju masuk ke dalam stesyen. Itu dia..kami berdua dapat merasai rempuhan oleh mereka di luar yang cuba nak mendapatkan tempat di dalam bas. Terasa seperti bas bergoyang-goyang!

Alhamdulillah. Berjaya kami sampai di Masjid Saidatina Aisyah, Tanaim. Menunaikan solat Tahyatul Masjid dan solat sunat Ihram serta niat Umrah di sini.




Masjid Tanaim



ataupun lebih di kenali dengan Masjid Saidatina Aishah kerana Saidatina Aishah bermiqat umrah di sini...



Masjid Tanaim dari luar, gambar keseluruhan



Tetapi kami tidak pulang menaiki bas walaupun tiket telah dibeli. Kebetulan seorang jemaah haji dari Malaysia bersama dua orang kawannya ingin pulang dengan menaiki teksi ke Masjidil Haram, mempelawa kami bersama untuk mencukupkan korum satu teksi. Kami bersetuju. Rupa-rupanya beliau seorang petugas kaunter di Tabung Haji Bangi! Dia yang mengecam kami dahulu. Beliau datang kali ini sebagai jemaah bukan sebagai petugas. “Nak merasa tumpukan kepada ibadah tanpa ada tanggungjawab bertugas” katanya. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan bersama beliau, banyak tips-tips dan maklumat-maklumat yang kami pelajari. Banyak juga pencerahan tentang pelbagai berita-berita dan khabar-khabar yang kami dengar. Terima kasih bang!

Perjalanan dengan Teksi memang lancar. Cumanya, kos agak mahal 10 riyal seorang satu hala perjalanan. Kami di tinggalkan berhampiran dengan kawasan pintu Marwah, tempat yang kami biasa lalui. Terus masuk ke Masjidil Haram, menunaikan solat tahyatul masjid dan terus melaksanakan Tawaf dan Saie Umrah. Alhamdulillah. Sekitar pukul 1.30 tengahari kami selesai menyelesaikan Umrah wajib kami, diselangkan dengan waktu Zohor. Memang hebat cabaran hari ni. Moga amalan kami diterima, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment