Commercial Break

Monday, February 6, 2012

Day 14- (6 November 2011) Part 1 - Melontar Jamratul Aqaba

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?"
(Surah AlRahman, ayat 36)


Bas tiba di Mina pada pukul 4.00 pagi. Khemah-khemah di Mina telahpun di penuhi oleh ramai jemaah haji kerana bas yang kami naiki untuk kesini adalah antara bas yang terakhir.

Baru sebentar melabuhkan punggung dan belum berkesempatan untuk menghilangkan lelah semalam, pihak Tabung Haji telah mengumumkan agar Jemaah Haji bersedia berkumpul pada pukul 4.30 pagi untuk melontar Jamratul Aqaba. Melontar jamrah adalah antara perkara-perkara wajib ketika menunaikan ibadat haji di Mekkah. Kebiasaannya, melalui nasihat-nasihat yang diberikan melalui kursus-kursus haji, jemaah Haji sering dinasihatkan agar mematuhi arahan tabung haji untuk melontar pada waktu yang ditetapkan, untuk mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku. Antara waktu yang akan dielakkan oleh tabung haji ialah waktu afdhal, kerana waktu tersebut adalah waktu puncak yang mana ramai jemaah haji negara lain beramai-ramai dan berpusu-pusu keluar untuk tujuan melontar.


Saya segera mengejar masa, menyiapkan apa yang patut dan paling tidak lupa ialah membawa batu-batu untuk tujuan melontar. Tanpa berlengah lagi tepat pada pukul 4.30 saya dan kebanyakan yang lain menuju ke tempat yang diarahkan untuk berkumpul dan bersedia.

Lebih kurang 15 minit menunggu, tiba-tiba Tabung Haji membatalkan rombongan tersebut. "Mutawif tidak jadi bawa," katanya. Kami mengeluh. Ramai yang mengeluh.

Saya, suami, Abang Bujang dan Kak Ida mengambil kata sepakat untuk melontar pagi itu juga, selepas menunaikan solat Subuh. Badan yang letih dan mata yang mengantuk akibat kurang rehat sejak semalam tidak mematahkan semangat kami. Tidak kami pedulikan. Ia seakan-akan tidak memberi kesan kepada semangat kami. 

Sebelum itu suami telah memberitahu yang dia telah memerhati keadaan. "Sangat ramai yang menuju ke tempat melontar," katanya.

Mungkin kerana ianya adalah waktu afdhal. Sebenarnya ada pendapat yang berbeza mengenai waktu afdhal melontar. Ada pendapat yang mengatakan waktu Dhuha, dan ada yang mengatakan selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari.
Kami berjalan dari khemah kami ke Jamrah lebih kurang mulai pukul 7.45 pagi.

Jarak khemah Malaysia dan jamrah lebih kurang 2.9 km sehala.Keluar dari kawasan kawasan khemah, kami telah nampak ramai yang berpusu-pusu menuju ke Jamrah.

Kami mengikut arus. Sambil berzikir, mengingati Allah. Ianya sangat padat, tetapi tidak sepadat tawaf. Dan arah pergerakan adalah sehala jadi rasa lebih selamat.

Dari jauh telah kelihatan terowong Muaissem. Tapak kaki melangkah mengikut arus.

 
Kami masuk ke mulut terowong Muaissem. Semasa lalu di dalam terowong Muaissem, saya berasa sangat sayu. Terbayang-bayang tragedi yang berlaku pada musim haji tahun 1990. Tragedi yang telah meragut 1,426 nyawa itu telah mencatat sejarah hitam dan khabar duka bagi umat Islam. Pada masa itu, satu terowong yang sama di gunakan untuk pergi dan pulang dari Jamrah. Pertembungan akan berlaku apabila jemaah yang pulang dari Jamrah berhimpitan dengan jemaah yang pergi ke Jamrah dari arah yang berlawanan. Peristiwa yang menyayat hati itu berlaku kerana jemaah haji yang panik, apabila terdengar bunyi yang dasyat semasa itu. Mereka sangka seakan-akan ada bom di tengah-tengah terowong. Ada juga yang beranggapan terowong tersebut runtuh.Mereka saling tolak menolak, berhimpitan dan akhirnya berguguran. Ianya berlaku pada waktu Dhuha, apabila jemaah haji merebut keafdhalan waktu melontar...

Dan yang paling menyedihkan, diberitakan mayat-mayat jemaah haji disodok dengan jentolak sahaja untuk dikeluarkan dari terowong... memang itu sahaja cara terpantas yang boleh digunakan kerana yang terkorban amatlah ramai dan terowong itu perlu di bersihkan segera untuk kegunaan jemaah lain bagi mengelakkan kesesakan.


Bapa saudara saya adalah salah seorang mangsa tragedi tersebut. Sehingga kini saya masih terbayang-bayang wajahnya dan teringat budi pekertinya yang mulia.

Sangat beruntung kerana semenjak peristiwa itu kerajaan Arab Saudi mula membina laluan terowong dua hala dan ketiga-tiga jamrah sudah pun bertingkat 4. Dan kami berkesempatan menggunakan terowong itu..Ia tidak sesukar masa lalu.




Jalan menuju ke Jamrah...




Kami berempat bakal join mereka




Semuanya dengan tujuan dan arah yang sama...

Terowong Muaissem



Dalam terowong

Alhamdulillah..akhirnya kami selamat keluar dari terowong, dan menuju ke Jamrah yang bertingkat empat. Kalau dahulu ramai juga yang mati di Jamrat kerana hanya ada satu tingkat sahaja, dan semua orang berpusu-pusu menuju ke tempat yang sama. Ada juga yang cedera kerana terkena balingan batu.

Alhamdulillah kini keadaan tersebut tidak lagi berlaku.


Jamrat...


Jamrat suatu ketika dahulu...
Suatu ketika dahulu, berhimpit, bersesak


Alhamdulillah beribu kali, kami berjaya melontar dengan aman,sejahtera dan mudah. Dapat melontar betul-betul depan dinding.

Kami segera menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut, lebih kurang 3 cm. Maka, selesailah kami berTahallul Awal dan lepaslah kami daripada 10 larangan dalam Ihram. Alhamdulillah. Hati melonjak kesukaan. Merdeka akhirnya setelah dua minggu berada di dalam larangan ihram!!! 

Akhirnya setelah dua minggu berada di dalam larangan Ihram..

Dapatlah saya memotong kuku yang telah mulai panjang sangat ini...
Dapatlah saya menutup muka dengan mask sekiranya habuk construction dan asap dari stesyen bas turki mengganggu sehingga ke tekak...
Dapatlah saya menghidu makanan dengan sesuka hati...
Dan yang paling penting...

Dapatlah saya mencuci dan menggosok dan menggaru rambut sepuas hati ku selepas ini!!
Nikmatnya sudah terasa tidak terkata.
Selepas ini hanya tinggal tiga lagi larangan yang perlu kami patuhi.
Semuanya larangan yang melibatkan perkahwinan yakni hubungan kelamin, bernikah dan terlibat dalam urusan nikah (i.e. jadi saksi, wali, etc).
Selepas melontar, kami sebulat suara tanpa dirancang memutuskan untuk menyempurnakan Tawaf Rukun di Mekah. Oleh kerana itu, kami tidak pulang ke khemah semula. Kami segera terus berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram. Jauh perjalanan dari Mina ke Masjidil Haram adalah 7 kilometer. Umpama berjalan dari KL Sentral ke KLCC di Malaysia! Anyway, tak rasa pun perjalanan tersebut jauh kerana..bermacam-macam pemandangan dan ragam manusia dapat dilihat dalam perjalanan. Dan beribu-ribu jemaah haji pelbagai negara turut sama berjalan bersama kami. Berjalan dengan tenang, tidak terkejar-kejar.

Helicopter view of Jamrah dan sekitarnya semasa ramai yang berpusu-pusu untuk pergi melontar...














No comments:

Post a Comment