Commercial Break

Wednesday, January 11, 2012

Day 2 (25 October 2011) Part 1- Masjidil Haram & Kaabah

"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar,sesungguhnya Allah maha kaya dan tidak berhajatan sesuatupun daripada sekalian makhluk,"

(Surah Al Imran, ayat 97)

Handphone kesayangan yang telah di set mengejutkan saya tepat pada pukul 3.30 pagi. Berjumpa dengan suami serta kawan sebiliknya, Abang Bujang di luar bilik kami. Rupa-rupanya isteri beliau sebilik dengan saya, Kak Ida. Umur mereka lebih kurang 40-an.

Pukul 3.30 pagi. Samada siang atau malam, Subuh atau Zohor tidak membezakan kota suci ini. MasyaAllah ramainya jemaah haji menuju ke masjid. Orang sentiasa ramai di musim haji, kota ini sentiasa sibuk. Amat mudah ke Masjidil Haram. Menara jam dan arus pergerakan manusia adalah penanda laluan ke Masjidil Haram.

Kami berjalan agak laju, melangkah mengejar masa. Saya sentiasa memegang tangan suami(berlapik kerana kami sudah berwudhu sejak di bilik). Saya tidak tahu perasaan mereka bertiga. Tapi debaran saya amat kencang. Lidah tidak berhenti berzikir, dan melafazkan "Rabbi Yassir Wala Tuassir (Ya Allah kau permudahkanlah...jangan disusahkan)".

Selain dari perasaan yang membuak-buak ingin melihat Kaabah dan Masjidil Haram, saya juga cuak. Saya mulai terbayang yang bukan-bukan. Saya terbayang dosa yang pernah saya lakukan selama hidup ini, dan pelbagai cerita-cerita ajaib mengenai Tanah Haram ini. Di sini terkenal dengan apa sahaja yang kita lakukan Allah akan bayar cash. Antara cerita yang pernah saya dengan ialah mereka yang tidak nampak Kaabah walaupun ianya berada di depan mata. Saya ngeri sekiranya sembahyang taubat yang saya lakukan sebulan dua sebelum kesini tidak cukup untuk membayar dosa saya yang sentiasa leka. Ya Allah Ya Tuhan kau ampunkan aku hamba yang hina,lindungilah, permudahkanlah...

Tidak sampai 20 minit berjalan, akhirnya tersergam indah Masjidil Haram di depan mata. Inilah Masjidil Haram. Inilah masjid yang sudah terbayang di hati saya sebulan dua sebelum ke sini. Apa yang saya bayangkan tak sama dengan perasaan saya sekarang ini. Saya jatuh cinta.

Kami menuju ke depan lagi. Mencari-cari jalan untuk masuk ke Masjidil Haram. Tertanya-tanya. Terlalu besar masjid ini. Nun dibawah sana terlalu ramai orang menuju ke pintu besar. Kami tidak pasti pintu apakah itu. Hati saya sangat berdebar. Laju. Lebih laju daripada kaki saya yang melangkah.

"Mari kita pergi ke tingkat atas, kita perlahan-lahan dulu, jangan sampai kita berebut semata2 mahu melihat Kaabah", Abang Bujang mencadangkan. Suami bersetuju. Saya dalam hati tak setuju sebab nak sangat tengok Kaabah, tapi saya ikut sahaja. Saya memujuk hati agar sabar, jangan poyo huhu. Tidak tahu jalan tidak boleh banyak songeh. Dalam hati masih ada secebis harapan agar dapat melihat Kaabah Subuh hari itu juga.

Kami menuju ke tingkat atas. Jejambat. Jauh terpisah daripada ribuan manusia sebentar tadi. Tiada ramai orang, tapi tiada tempat sembahyang. Eskalator. Pintu ke Bukit Marwah rupanya. Bertanya dan mencari tempat sembahyang, bercadang mahu sembahyang di tingkat dua sahaja, dan tujuannya adalah untuk mengelakkan kesesakan. Mencari-cari.

Dan saya tidak perasan bagaimana dan apa, tapi kuasa tuhan membawa kami kembali menghala ke pintu di tingkat bawah dataran berbumbung, tempat sembahyang yang menghadap Kaabah. MasyaAllah belum pukul 4.00 pagi, dan Subuh hanya akan masuk lebih kurang sejam lebih lagi, tetapi sudah terlalu ramai orang. Tidak pernah saya lihat manusia di masjid seramai itu. Adakah tempat sembahyang untuk saya? Hati mulai tertanya-tanya. Sekali lagi berdoa moga Allah permudahkan.



Pemandangan dari jejantas yang menghala ke pintu Marwah. Pintu yang mula-mula kami masuk ketika sampai di Masjidil Haram.









Kami dan suami terpaksa berpisah kerana tempat lelaki berada di barisan di hadapan. Kami berjanji untuk berjumpa di Babul Fatah, pintu besar yang kami lalui sebentar tadi. Tidak terus ke tempat sembahyang perempuan, saya dan Kak Ida bersetuju untuk ke hadapan mencari Kaabah.


Hati berdebar-debar, mata mencari-cari, terjenguk-jenguk di celah keramaian manusia. Semuanya tinggi-tinggi dan besar-besar. MasyaAllah. Dibandingkan dengan saya yang bertubuh kecil ini. Kak Ida agak besar orangnya.


Kami maju kehadapan, Kaabah mulai kelihatan. Sangat besar, dan tersergam indah dihadapan mata. Perasaannya sukar di gambarkan. Saya tak pernah berperasaan seperti ini. Ia adalah kiblat saya selama ini. Kiblat kami. Kiblat kita orang muslim. Ia adalah Kiblat yang menjadi tunggak seluruh umat Islam di muka bumi. Melihat gambar sahaja tidak dapat menjelaskan perasaan yang di rasai apabila Kaabah di depan mata. Keagungan tuhan tidak dapat dinafikan. perasaan ini adalah buktinya. Ya Allah..kau Maha Pengasih..Kau Maha Besar...Kau Maha Pemurah. Terima kasih Allah.


Saya dan Kak Ida segera membaca doa melihat Kaabah. Sedang membaca kami di halau oleh pegawai masjid " Haji! Haji! Al Rijal!". Alamak kami kat tempat orang lelaki ke. Kami cuba juga habiskan doa. Bising pegawai masjid tersebut menghalau kami. Jadi tumpuan ramai. Glamer kami sekejap. Mesti Pak Arab dan Mak Arab kata apala dua orang perempaun Malaysia yang terkenal dengan sopannya ini buat kat tempat sembahyang lelaki. Kami segera beredar apabila doa sudah habis dibaca.


Kaabah yang tersergam indah. Pemandangan sebenar di depan mata tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Yang comel tu Maqam Ibrahim. Yang pintu emas tu Multazam. Nampak tak tangan-tangan yang menggapai-gapai Maqam Ibrahim dan Multazam? Itu adalah pemandangan yang biasa.





Saya dan Kak Ida mulai mencari-cari tempat sembahyang di kawasan solat muslimat. Jemaah kelihantan ramai, tapi kami cuba menyelit-nyelit mencari tempat kosong. Muka harus tebal di sini. Tidak boleh malu-malu untuk jalan di celah-celah jemaah yang sudah duduk di saf untuk menunggu solat Subuh.


Saya dan Kak Ida akhirnya dapat tempat untuk sembahyang di barisan tengah. Kebetulan muat untuk kami berdua.Saya mulai sembahyang Tahyatul Masjid, Taubat, Hajat dan Tahajjud. Pipi dibasahi air mata. Ya Allah..alhamdulillah kau beri aku peluang untuk menjadi antara tetamu istimewa mu Ya Allah..syukur kau jemput dan terima aku di sini walaupun banyak dosaku..walaupun aku hamba mu yang amat hina. Ya Allah besarnya keagungan mu Ya Allah. Doa juga agar saya dan suami di kurniakan dengan Haji Yang Mabrur.


Dan hari itu jua adalah pertama kali juga saya minum air Zamzam di Masjidil Haram selepas solat Subuh. Amat nikmat rasanya.




2 comments:

  1. Kalau tak silap saya waktu menunaikan umrah pada tahun 1998 di setiap sudut ada disediakan air zam-zam.

    sentiasa berdoa moga diberi peluang untuk menunaikan haji pula satu hari nanti, insya allah

    ReplyDelete
  2. Ya Allah, tergenang air mata ini membaca pengalaman puan di Makkah. Rindunya saya akan Kaabah & MasjidilHaram....saya juga ke Tanah Suci tahun lepas,KT06, Maktab 92- Hotel Jouharat Khazindar, masuk melalui pintu King Abd. Aziz...tp sy xberkesempatan pergi ke sebelah Gazza......semoga Allah mengurniakan rezeki buat saya & keluarga utk kembali ke bumi suci ini lagi......terima kasih.

    ReplyDelete