Commercial Break

Wednesday, January 11, 2012

Day 1 (24 Oktober 2011): A long day journey

"Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada TuhanNya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia"

(Surah Ali Imran ayat 96)

Hari ini telah tiba. Kami bangun sebelum Subuh, mandi sunat ihram, diikuti oleh sembahyang sunat ihram dan kemudiannya sembahyang sunat musafir disamping mendoakan segala2nya selamat dan dipermudahkan. Kesemua anak kami masih tidur. Sudah mulai kedengaran suara mak, ayah dan Nazihah di luar. Azmir yang kami risau akan tiba lewat pun sudah sampai. Alhamdulillah. Kami harus bangun awal agar kami dapat sembahyang subuh tepat pada waktunya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan bertembung dengan mereka yang ke tempat kerja dan seterusnya harus mendaftar di Tabung Haji Kelana Jaya selewat-lewatnya pada pukul 8.30 pagi.

Suami sudah berpakaian ihram dan saya memakai jubah. Bagi perempuan, pakaian ihram adalah menutup aurat kecuali muka dan tapak tangan. Selesai segalanya kami turun ke bawah, saya mengejutkan maid yang masih tidur. Rania juga terjaga. Kami tidak membenarkan emak mengejutkan Afiq dan Irfan. Di luar masih lagi gelap. Suasana sunyi sepi.

Ayah melaungkan Azan, dan berdoa mengimamkan kami. Sayu kedengaran. Berpelukan dengan ayah dan emaknya, suami agak sebak.

Akhir sekali saya memeluk cium Rania yang masih terpisat-pisat.

Di dalam kereta, kami melambai mereka dan wajah terakhir yang saya ingat sepanjang perjalanan ialah wajah Rania yang gebu dan masih mengantuk.

Alhamdulillah perjalanan berjalan lancar dan tidak sesak. Kami tiba di Kelana Jaya lebih kurang pukul 7 pagi, agak awal tetapi orang ramai sudah memenuhi ruang di perkarangan tabung haji Kelana Jaya. Kami meminta Azmir menghantar kami di tepi sahaja, dan tidak perlu parking.

Suasana di perkarangan tabung haji Kelana Jaya agak sesak. Mereka yang menghantar lebih ramai daripada mereka yang akan berangkat. Bagi kami, kami telah meminta agar kaum keluarga tidak menghantar kami di sana, dan mereka menghormati keputusan kami. cukuplah Azmir seorang dan dia kami minta agar jangan tunggu dan tidak perlu parking, agar tidak menyusahkannya. Di sini, kami sudah mahu mulai fokus. Cuma Zahrah memberitahu yang dia akan datang menjenguk kami, kerana rumah kawan baiknya hanya beberapa meter sahaja daripada Tabung Haji.

Suami beratur untuk mendaftarkan diri dan mengambil beberapa cenderahati daripada pelbagai badan korporat. Beberapa minggu sebelum ke sini, beberapa cenderahati oleh badan korporat telah kami perolehi. Dan masih banyak lagi yang diedarkan disini. Beg sandang TM, buku-buku panduan haji, dan lain-lain. Makanan tidak disediakan untuk pagi ni, jadi kami beli dan makan di kafeteria di sini.

Tidak beberapa lama menunggu, kami dibawa ke dewan, untuk mendengar beberapa taklimat perjalanan oleh tabung haji. Dan selepas itu akan melalui beberapa pemeriksaan. Tabung Haji sudah mengingatkan agar barang-barang cecair melebihi 110 ml dan barang-barang tajam tidak dibenarkan dibawa bersama didalam hand carry bag.

Lebih kurang 15 buah bas telah menunggu untuk membawa Jemaah Haji ke KLIA. Terasa di beri penghormatan dan layanan istimewa, di murahi dengan senyuman dan ucapan selamat berangkat oleh petugas2. Dan di kawal ketat oleh polis trafik untuk melancarkan perjalanan kami ke KLIA. Saya dan suami tergelak melihat ada ahli keluarga yang menunggu dan melambai di pintu keluar bas sambil menangis. Huhu mentang-mentang takde sesiapa hantar kami, boleh le gelakkan orang, sesuka hati. Ampunkan.

Tepat pukul 12.30 tengahari kami berlepas dari KLIA. Masa ini lah nak tengok pramugari2 MAS memakai tudung :-) . Dugaan ku sudah bermula disini lagi. Beberapa kali perlu ke tandas untuk memerah sedikit susu agar tidak bengkak kerana Rania mulai malam tadi sudah mulai tidak menyusu. Hati sudah mulai teringatkan Rania.

Termasuk malam tadi, saya sudah beberapa kali meminta maaf daripada suami. Beliau adalah teman suka duka, teman bercinta, teman bergurau senda dan terutamanya teman bertekak. Mengenali hati budi saya luar dan dalam, bersabar dengan kerenah saya, makanya tidak sah jika saya tidak meminta maaf darinya.

Kami niat ihram haji di dalam perjalanan. Bermulanya kami didalam ihram, dan 13 larangan dalam ihram harus dipatuhi. Bagi saya dan suami, 13 larangan dalam ihram adalan larangan yang wajib di patuhi sehingga selepas Tahallul Awal nanti, selepas hari kemuncak nanti, iaitu hari Wukuf kerana kami telah memilih untuk melaksanakan Haji Ifrad. Ia kelihatan remeh tetapi tidak boleh di pandang enteng. Cabarannya adalah besar.

Bagi jemaah lain yang melaksanakan Haji Tamattuk, mereka hanya perlu niat Umrah di sini, tidak perlu niat ihram Haji.

Oleh kerana 8 jam didalam kapal terbang, kami sembahyang hormat waktu di dalam kapal terbang. Sembahyang ini perlu di qada' semula apabila tiba di Jeddah atau Mekah.

Akhirnya, kami tiba di Jeddah pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia. Ketika itu waktu tempatan ialah lebih kurang 1.30 tengahari.Kami perlu Jama' Takdim Zohor Asar disini, kerana waktu Zohor sudah masuk mengikut waktu tempatan.

Pertama kali dalam hidupku, saya dan lain-lain sembahyang di ruang legar airport, kerana seumur hidup saya, di ruang legar mana2 pun saya tidak pernah sembahyang. Pertama kali konsep sembahyang walau di mana jua, hatta di tepi jalan sekalipun, di sini saya amalkan.

Agak lama kami disini, sempat sembahyang Jama' Takdim Maghrib Isyak pula, sekali lagi sembahyang di ruang legar, kali ni di ruang legar yang lain pula, yang hampir kepada pemeriksaan pasport.

Pemeriksaan di sini agak ketat, ada beberapa check up yang perlu dilepasi. Sedang jemaah haji Malaysia melalui check ini, ada segerombolan kaum Arab ntah dari mana, yang cuba memotong barisan kami. Siap gaduh2 lagi ngan pegawai di airport Jeddah tersebut. Senario yang tak pernah dilihat di Malaysia. Kaum Arab memang berani dan degil.

Lama betul menunggu bas, lebih kurang pukul 8 malam baru kami dapat menaiki bas ke destinasi. Sepanjang perjalanan daripada Malaysia ke Mekah, penyediaan makanan tidak perlu dirisaukan. Dalam flight pun beberapa kali makanan disediakan, dalam bas ke Mekah pun mereka bagi makan lagi. Nasi bryani pulak tu. Saya sampai tak larat nak makan. 2 jam dalam perjalanan saya tertidur kerana terlalu letih. Saya terlena di dalam talbiah Labbaikkallahhumma Labaik oleh sebahagian jemaah didalam bas.

Terjaga dari tidur, hati berdebar-debar. Seperti dikejutkan. Tiba-tiba terasa segar. Sudah sampaikah?

"Haram,haram!" suara konduktor atau pemandu bas rasanya,tidak pasti dan tidak peduli. Kepala terjenguk-jenguk. Mata mula mencari-cari. Degupan jantung agak kencang di situ. Berdebar-debar. Kota Makkah sudah mulai kelihatan. "Doa ketika masuk tanah haram Makkah" dan "Doa ketika nampak kota Makkah" segera dibaca.

Bas menyusuri kota Makkah, mata terus terpaku apabila Menara Jam yang amat terkenal mulai kelihatan.

Sangat indah dan gagah, Menara Jam ini mempunyai sentuhan anak Malaysia yang merupakan salah seorang jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu. Uniknya, syarikat ini bekerjasama dengan syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, yang juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke Makkah. Menara ini adalah menara jam yang tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain di seluruh dunia.


Gambar berikut diambil ketika berada di Masjidil Haram...bukan di dalam bas...dalam bas tak teringat lansung nak ambil gambar.





Tidak lama kemudian bas berhenti di depan hotel penginapan kami. Di luar jalanan, pelbagai jemaah haji dari pelbagai negara dan bangsa kelihatan di kota suci ini, dengan pelbagai urusan.

Wakil tabung haji mengumumkan bahawa kami sangat beruntung kerana hotel kami adalah antara yang terdekat dengan Masjidil Haram, iaitu hanya 500 ++ meter sahaja jauhnya. Hotel dibawah muassasah yang paling jauh ialah 1 km. Alhamdulillah, hati berbunga kesyukuran, kau permudahkan segalanya.

Beliau menasihatkan agar peluang untuk berjamaah setiap waktu tidak disia-siakan kerana jarak hotel yang agak dekat dengan masjid. Kata beliau lagi kami sudah boleh mulai berehat di bilik penginapan masing-masing dan mutawif akan membawa kami ke Masjidil Haram iaitu untuk Tawaf Kudum (Tawaf selamat datang), pada keesokan harinya selepas Subuh iaitu lebih kurang pukul 7.oo pagi.

Gambar hotel kami dari seberang jalan...gambar ini di ambil pada siang hari keesokkannya.. Hotel Qasr Al Shoorouq











Alhamdulillah, bilik saya agak besar dan terdiri daripada 8 orang, saya yang paling muda. Bilik di lengkapi dengan TV, telefon (boleh telefon dari bilik ke bilik), almari besar satu, beberapa almari kecil dan tandas yang dilengkapi shower dan sinki. Bilik suami hanya di sebelah bilik saya. Bilik beliau di huni dengan 6 orang, kerana keluasan bilik yang agak sempit. Kami bertuah kerana di hotel ini terdapat pelbagai kemudahan oleh tabung Haji antaranya Klinik, Kaunter Pengeluaran Wang dan i Talk.

Saya bertanya suami, "Pukul berapa mahu ke Masjidil Haram?" Badan saya sangat letih dek perjalanan yang panjang, tambahan pula beberapa malam tidur yang tidak lena tanpa Rania, tetapi hati meronta-ronta mahu ke sana.

"Saya dah janji dengan rakan sebilik mahu ke sana pukul 3.30 pagi, kalau nak rehat, rehatlah dulu...atau pun mahu ikut?" aik..nada cam tak bagi ikut je? Mungkin dalam hatinya, biarlah saya berehat dulu, biarlah dia survey-survey keadaan dahulu. Kemudian nanti barulah dia akan membawa saya. Saya agak-agak begitu.

Saya melihat jam. Hampir pukul 11.00 malam. Hanya ada masa 4 jam untuk tidur dan menghilangkan keletihan sebelum ke Masjidil Haram sekiranya saya mahu mengikutnya. Saya nekad. "Nak ikut" kata saya.

Akhirnya kami berjanji akan berjumpa di luar bilik tepat pukul 3.30 pagi.

No comments:

Post a Comment