Commercial Break

Monday, January 16, 2012

Day 4 ( 27 Oktober 2011) - Cabaran Tawaf





Zunnun Al Misri :
" Bagi mereka yang tidak punya dorongan, perjalanan ini tersangat sukar dan bagi mereka yang cinta, Allah memenuhinya. Ia adalah kelazatan yang rasa perjalanannya dekat."


Kami bercadang melakukan tawaf sunat pada pagi ini. Menuju ke masjidil haram tepat pukul 2.30 pagi. MasyaAllah, orang semakin ramai. Lebih ramai daripada semalam. Seakan tiada ruang untuk kami tawaf di dataran tawaf. Namun begitu, dataran Tawaf yang bermarmarkan putih memanggil-manggil kami.

Kali ni cabaran Tawaf lebih besar berbanding hari pertama semasa kami melakukan Tawaf Kudum. Bermula pusingan pertama lagi kesesakan sudah dirasai.

Saya terasa terhimpit dan ditolak. Sesak rasanya. "Ya Allah, beginikah di padang masyhar, manusia hanya memikirkan kepentingan masing-masing. Tidak ambil peduli akan orang lain. ",

Dada seakan terhimpit, pelbagai kemungkinan terbayang di mata. Rasa gentar. Lebih-lebih lagi saya tidak nampak jelas apa yang berlaku di hadapan saya setiap kali terhimpit dan ditolak. Mereka lebih besar. Lebih tinggi.

Selepas pusingan ketiga dan seterusnya, orang semakin ramai. Terasa semakin terhimpit. Saya memegang lengan suami erat-erat. Rasa berdebar-debar, peluh memercik dengan laju walaupun cuaca dingin dan sejuk. Saya cuba kuatkan semangat dan saya rasa sangat berdosa kerana semasa tawaf itu, ada lintasan-lintasan dalam hati saya " Mengapa aku sanggup bersusah-payah seperti ini, kenapa aku tak pergi tawaf ke tingkat 1 sahaja, bukankah disana lagi mudah kerana perlu bersesak-sesak seperti ini?" Mungkin syaitan sangat gembira kerana saya termakan hasutannya. Terlupa seketika saya akan pahala besar bagi orang yang bertawaf.

Akhirnya tawaf berakhir setelah lebih kurang hampir sejam mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali. Rasa sangat letih mental dan fizikal. Berjogging sejam pun tidak letih seperti ini.

No comments:

Post a Comment