Commercial Break

Wednesday, January 25, 2012

Day 8 (31 Oktober 2011) - Kemanisan Tawaf dan Teknik-teknik (tips) semasa bertawaf

RASULULLAH S.A.W bersabda:

"Bahawa Allah menurunkan seratus dua puluh rahmat ke atas rumah ini (Kaabah) setiap hari dan malam, enam puluh untuk mereka yang melakukan tawaf, empat puluh bagi mereka yang mendirikan sembahyang dan dua puluh bagi mereka yang hanya memandang Kaabah"

(Riwayat al-Baihaqi)


Kami tawaf sunat lagi hari ini. Semalam kami merehatkan kaki yang sudah mulai pecah-pecah lemak kerana terlau banyak bergerak. Tawaf hari ini adalah turning point dalam hidup saya. Ianya datang bersama rahmat Allah s.w.t.

Setibanya di masjidil haram, saya sudah mulai berdebar-debar setelah melihat betapa ramainya orang di dataran tawaf. Terlalu penuh, terlalu padat. Saya mencadangkan kepada suami agar kami tawaf berasingan. Biarla dia pergi ke tengah-tengah, saya tawaf di tepi-tepi sahaja. Konon-kononnyala.






Suami menolak. "Percayakan saya" tegasnya.


"Tolong percayakan saya dan ikut cakap saya," ada desakan di matanya. Dan mungkin juga kerana suntikan keyakinan dari nada suaranya, saya pasrah. Saya mengikut permintaannya agar kami bersama-sama tawaf di dataran tawaf. Saya berserah seratus peratus kepada Allah dan mengharapkan bantuan suami saya untuk menunjuk arah dan melindungi.Saya usir segala kebimbangan dan kerisauan. Saya memujuk hati agar berani dan bertawakal kepada Allah.


Akhirnya, kami menyelesaikan tawaf di dataran tawaf dengan sejuta kenikmatan. Strategi baru yang suami saya gunakan ialah dia bertawaf di belakang, dan saya di hadapan. Dia sentiasa memegang bahu saya dan mengepung saya sekiranya berlaku himpitan dan tolakan.  Ianya banyak di pelajari daripada pengalaman sebelum ini.


Alhamdulillah syukur walaupun letih tetapi nikmat dan pengajaran yang saya dapati adalah tidak ternilai dengan apa pun..(Bertawakallah kepada Allah, tawaf mengikut tip-tips tertentu dan patuh perintah suami).


Mulai saat itu, kami tidak pernah lagi tawaf di tingkat atas, dan hanya akan tawaf di dataran Kaabah, kecuali semasa Tawaf Rukun. Akan saya ceritakan apa yang terjadi semasa tawaf rukun nanti.
Gambar dari Dalil Al-Haj.com



Gambar dari Tetamu Allah.com




Disini saya ingin menceritakan lagi tentang tawaf.

Tawaf ialah Mengelilingi Kaabah tujuh kali dengan yakin bermula dan berakhir dipenjuru Hajar Al-Aswad.

Sekiranya orang terlalu ramai, kami merasakan adalah lebih baik kita berjalan masuk dari sebelum Rukun Yamani lagi. Biarlah kita menapak untuk bertawaf jauh sedikit. Sebabnya? Di sebelah penjuru Hajarul Aswad terdapatnya orang ramai yang berebut2 dan bersesak untuk masuk dan keluar ke dataran tawaf. Di sini adalah tempat bermula dan tamatnya tawaf dan lebih-lebih lagi, kesesakan di sumbangkan oleh mereka yang tidak bertawaf, iaitu mereka yang datang semata-mata untuk mencium Hajar Aswad. Tetapi sebelum sampai ke Hajar Aswad, jangan niat untuk melakukan tawaf lagi, kerana walau apa pun yang berlaku, tawaf mesti di mulakan dari Hajar Aswad.


Lampu hijau manandakan tempat bermula dan berakhir tawaf, kami tidak mula menapak dari sini untuk mengelakkan kesesakan, hanya berniat tawaf apabila mula melalui kawasan ini.


Begitu juga dengan menamatkan tawaf, walaupun ibadah tawaf tamat di penjuru Hajarul Aswad, eloklah kita menapak lagi untuk keluar lebih jauh di rukun Iraqi bagi mengelakkan dan menambahkan lagi kesesakan di penjuru Hajarul Aswad. Keluarlah dengan berhemah yakni tunjukkan isyarat tangan kanan sambil keluar dari pusingan tawaf sedikit demi sedikit. Cara yang berhemah ini akan memudahkan jemaah lain dan mereka pun dengan rela akan memberikan kita ruang untuk keluar. Kalau kita keluar terlalu abrupt atau lebih buruk lagi dengan menyongsang arus akan mengganggu keselesaan orang lain dan juga mungkin membahayakan diri kita yang bertubuh kecil ini.

Saya dan suami sering memulakan tawaf dari sebelum Rukun Yamani lagi. Jika masa amatur dulu, iaitu ketika mula-mula melakukan ibadat tawaf, saya bertawaf di sebelah kiri suami sambil memegang tangannya, kali ini tidak lagi. Belajar dari pengalaman, suami memegang bahu saya dengan saya berada di hadapan beliau. Dan dengan itu, dia boleh mengepung saya sekiranya ada tolak menolak dan himpitan berlaku semasa tawaf. Lebih-lebih lagi, sekiranya terlalu sesak dan dikelilingi oleh mereka yang bertubuh tinggi dan besar, saya tidak nampak apa-apa, so suami akan menepuk bahu saya untuk memberitahu kami sedang melalui Rukun Yamani dan Hajar Aswad. Setelah sampai di rukun Yamani disunatkan Isti'lam, jika tidak, kita boleh berisyarat dengan melambai-lambai dan membaca Bismillah Allahu Akbar Walillahil Hamd, dan sunat mengucup tangan, seterusnya membaca :
" Rabbana aatina Fil-dunya hasanah, Wafil aakhirati hasanah waqina 'azaabannar, wa adkhilnal jannata ma 'al-abraar. Ya 'aziiz ya ghaffar ya rabbal-aalamiin (Berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka dan masukkanlah kami ke dalam syurga berserta orang-orang yang berbakti wahai tuhan yang mulia, pengampun dan menguasai sekalian alam) "

Doa ini sunat dibaca tiap-tiap kali pusingan di antara rukun Yamani dan rukun Hajarul Aswad.Sila hafal doa ini, mula-mula saya rasa susah tapi senang sangat sebenarnya. Doa ini boleh juga dibaca setiap kali berdoa selepas sembahyang.

Di antara syarat2 sah tawaf ialah mengelilingi Kaabah 7 pusingan dengan yakin. Macam mana nak elakkan rasa ragu-ragu? Saya dan suami sering menggunakan zikir atau surah AlQuran sebagai petanda untuk mengingatkan pusingan tawaf. Contohnya, jika pusingan pertama kita membaca Subhanallah, pusingan kedua bacalah pulak Alhamdulillah...pusingan ketiga Astaghfurillah ke..dan seterusnya. Dan jika ingin berdoa boleh juga buat selang seli. Atau doa pada pusingan terakhir, selepas puas memujiNya, kita berdoa kepadaNya pula.

Antara syarat yang lainnya pula ialah menjadikan Baitullah sentiasa di sebelah kiri anda. Jangan pusing. Kalau senget sikit jer bahu anda, alamat kena ulang lah balik pusingan tersebut. Ini adalah antara cabaran yang besar semasa tawaf kerana pak arab dan mak arab yang gagah perkasa suka melanggar kita, menghimpit atau menolak, kekadang cam nak terkehel bahu jadinya semata2 nak mempertahankan ketidakbatalan tawaf. So, sila buat exercise bahu banyak2 sebelum ke Makkah.

Lagi satu jaga aurat anda betul-betul. Bagi perempuan berhati-hati semasa istilam. Takut ternampak pergelangan tangan. Batal tawaf jadinya. Sebab tu kena pakai sarung tangan lengan sentiasa semasa di tanah suci.

Berwudhu juga adalah salah satu syarat sah tawaf. Walaubagaimana pun, keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke 21 pada 5-7 jun 2005 di Shah Alam telah menetapkan bahawa bersentuhan lelaki dan perempuan yang halal nikah tanpa lapik batal wuduk adalah Rukhsah, ia adalah keringanan yang Allah berikan kepada umat Islam dalam melaksanakan perintah Allah di saat-saat darurah ( terdesak ), masyaqqah ( kesusahan ) atau haajah ( keperluan )

Azimah pula suatu kemestian melaksanakan perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun.

Oleh itu boleh beralih dari pendapat Syafi'e yang masyhur kepada pendapat Syafi'ie yang marjuh iaitu :-

Tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat ( bermula dari tangga hotel hingga selesai tawaf )( Pendapat Ibn Suraij dan Al-Rafi'ie )Dalam masyaqqah sahaja

Walaupun ada keringanan ini, kita tetap kena berhati-hati. Maklumlah pelbagai lapisan manusia dtg bertawaf jadinya memang ada muslimin yang hensem-hensem dan muslimat yang cun-cun bertawaf dan jika kita tersentuh mereka ini tanpa berlapik dan terdetik pula di hati kita “uii.. cunnya/hensemnya” ada potensi terbatal wuduk kita! Terpaksalah keluar tawaf untuk membaharui wuduk..



Berzikir dan berdoalah dengan lemah lembut, cukup untuk didengari oleh diri kita sendiri sahaja kerana makruh hukumnya kalau kita membaca doa dengan nyaring. Ramai yang membaca doa dan berzikir dengan nyaring dan kuat, sehingga mengganggu tumpuan jemaah haji yang lain. Lagi satu kalau boleh elakkan bercakap-cakap sesama sendiri semasa tawaf, makruh juga terutamanya percakapan yang kurang sopan. Begitu juga kalau bercakap menggunakan handphone. Selalu jer terserempak dengan bangsa lain yang yang selamba dek cakap handphone semasa tawaf secara kuat. Jangan kita ikut pula.

Seterusnya sekiranya  semasa tawaf tetiba Allah beri rezeki kepada kita untuk berada di sebelah dinding Kaabah (termasuk kelambu Kaabah) dan Syazarwan atau Hijr Ismail (yang dianggap sebahagian dari binaan Kaabah), jangan sesekali menyentuh! Jangan juga  masuk atau hanya melalui laluan dalam Hijr Ismail.  Batal pusingan tawaf itu hukumnya. Jika tidak sengaja maka tidak batal pusingan tawaf, boleh teruskan tawaf seperti biasa.


Terdapat kes jemaah yang begitu teruja untuk menyentuh Kaabah ketika tawaf disebabkan kedudukannya amat hampir dengan Kaabah. Jika berhasrat hendak menyentuh Kaabah pastikan telah selesai tawaf dengan sempurna. Begitu juga dengan Hijr Ismail. Sekiranya berhajat hendak memasuki Hijr Ismail untuk bersolat atau berdoa dalamnya  pastikan telah sempurna tawaf dengan yakin.

Jika menyentuh Makam Ibrahim, maka tidak membatalkan pusingan tawaf. Begitu juga berjalan melaluinya semasa tawaf.

Jangan terlalu asyik jika terbau wangian pada kelambu Kaabah semasa masih dalam larangan ihram, kerana jika kita bau wangi tersebut dengan sengaja, kita akan di kenakan dam.

Jika tidak berupaya tawaf dengan berjalan kaki maka jemaah diboleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda. Orang yang sihat juga boleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda, ini kerana tawaf dalam keadaan berjalan kaki adalah termasuk dalam kategori amalan sunat semasa tawaf. Rasulullah SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang binatang. Melakukan tawaf dalam keadaan menunggang tanpa uzur, hukumnya harus. Pastikan sorongan yang dibuat hendaklah cukup tujuh pusingan. Keadaan tawaf adalah tidak sah jika orang yang disorong tidur dalam keadaan papan punggung yang tidak tetap dan tidak pula mengetahui bilangan sorongan yang dibuat.

Dan jika mahu lebih advance lagi, ada disediakan buggy untuk kita pandu semasa bertawaf! Cuma bayar 50 riyal dan kita dan pasangan kita boleh bertawaf tanpa perlu penat berjalan. Amat sesuai untuk mereka yang keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Cumanya perkhidmatan ini hanya boleh didapati untuk tawaf di tingkat 1. Di dataran Kaabah tiada.

Makan dan minum ketika tawaf Makruh dengan makan dan minum ketika tawaf, kemakruhan minum lebih ringan daripada makan. Tidak membatalkan pusingan tawaf. Rasulullah SAW pernah minum air ketika tawaf kerana sangat dahaga.

Semua perkara di atas nampak remeh, tetapi kekadang kita tak sedar kita melanggarnya.

No comments:

Post a Comment