Commercial Break

Thursday, January 12, 2012

Day 2 (25 Oktober 2011) Part 4 -Kisah cinta agung Saidatina Khadijah r.a dan Nabi Muhammad S.A.W

"Selepas aku meninggal dunia, sekiranya boleh, ambillah tulang belulangku jika ianya mampu menegakkan agamamu ini" (Saidatina Khadijah Binti Khuwailid r.a)

Saya suka dengan kata-kata di atas. Ia menggambarkan keagungan cinta Saidatina Khadijah kepada Rasulullah dan agama Islam. Alangkah mulianya beliau, sanggup dan dapat berkorban untuk Allah, Rasulullah S.A.W dan agama Islam. Tanya diri kita, sanggupkah kita begitu, hatta untuk Allah dan rasulNya? Saya tidak tahu yang lain, tapi saya rasa sangat kerdil jika dibandingkan dengan Ummul Mukminin Khadijah r.a.

Melihat tapak rumah Saidatina Khadijah, ia mengingatkan kisah-kisah cinta manis antara Khadijah dan Rasullullah. Mengimbau kembali ceritera cinta yang saya dengari dan baca dari buku-buku. Membayangkan kisah-kisah yang pernah terjadi di sini.

Saidatina Khadijah binti Khuwailid adalah wanita pertama yang bertakhta di hati Rasulullah s.a.w. dan berjaya menakluk hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.


Saidatina Khadijah sangat terkenal di kalangan kaum Quraisy di zamannya. Beliau mempunyai segala keistimewaan iaitu kecantikan, kebangsawanan, kebijaksanaan dan keluhuran budi pekerti.


Sebelum berkahwin dengan Rasulullah S.A.W, Saidatina Khadijah telah beberapa kali berkahwin. Suaminya yang pertama bernama 'Atik Almahfuzi. Dianugerahkan seorang puteri dari hasil perkahwinan ini, tetapi malangnya ia tidak kekal.

Tidak lama kemudian beliau berkahwin pula dengan Abi Halaalah Altimi dan dikurniakan seorang putera, tetapi perkahwinan ini juga tidak kekal. 10 tahun lamanya Saidatina Khadijah hidup menjanda. Walaupun ramai dikalangan pembesar-pembesar Quraisy, orang-orang kenamaan dan orang-orang kaya meminangnya dengan hasrat memperisterikannya tetapi semuanya ditolak.


Penolakan itu adalah disebabkan oleh peristiwa yang telah terjadi pada dirinya. Peristiwa yang sering bermain-main di fikirannya. Peristiwa tersebut ialah pada suatu hari, sedang beliau duduk bersantai bersama teman-temannya, seorang rahib datang berkata kepada mereka:


“Dengarlah wahai wanita, akan diutus seorang Nabi tidak lama lagi, barangsiapa diantara kamu yang ingin menjadi isterinya, cubala.” Ia berkata sambil tertawa, seolah-olah mempersendakan mereka.

Wanita-wanita yang berada disitu menjadi amat marah kerana di senda hingga ada yang melontarkan batu kearah rahib itu, kecuali Saidatina Khadijah.Kata-kata itu bermain-main di fikirannya,mendebarkan sanubarinya, menusuk kalbunya, dan menggentarkan hatinya.

"Benarkah itu? kalau benar mungkinkah aku menjadi isterinya?"

Dia membayangkan dirinya yang akan berdiri di samping Nabi tersebut dan sama-sama membenteras kezaliman yang sedang bermaharajalela pada zaman tersebut. Ntah sejak bila, impian itu sentiasa di sanubarinya. Khadijah memang tidak suka dengan perbuatan menyembah berhala, minum arak dan perbuatan jahil yang lain.





PERTEMUAN PERTAMA DENGAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Saidatina Khadijah seorang hartawan yang sering mengamanahkan peniaga untuk memperdagang dan menguruskan perniagaannya sehingga ke Negeri Syam. Kali ini, dia bercadang mahu mencari seseorang yang benar-benar amanah.

Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w sangat terkenal dengan gelaran Al-Amin di kalangan kaumnya. Akhlaknya sangat mulia dan tiada cacat celanya. Dan kebetulan ketika itu pula, Abu Talib , iaitu bapa saudara Nabi telah mengizinkan Nabi untuk pertama kalinya berdagang sehingga ke luar dari Mekah tanpa beliau. Selama ini walau ke mana-mana jua, pasti Abu Talib menemaninya. Anak saudaranya itu di tatang seperti minyak yang penuh.

Melalui orang perantaraan, akhirnya Saidatina Khadijah berjaya mengupah Nabi dengan bayaran yang berlipat kali ganda daripada biasa untuk menguruskan perniagaannya ke negeri Syam dan baginda akan ditemani oleh Maisara, pembantu Khadijah.

Di Syam, Rasulullah S.A.W sentiasa diperhati oleh Maisara yang akhirnya berasa kagum dan takjub akan cara nabi mengendalikan perniagaan Baginda sangat amanah, jujur, berhemah, cekap dan bijak. Cara beliau amat berlainan dengan pengendali-pengendali sebelum ini. Cara inilah yang akhirnya mendatangkan keuntungan berlipat ganda kepada perniagaan Khadijah.

Di Mekah.

Selama pemergian Nabi, Abu Talib sentiasa risau. Dia terasa menyesal kerana mengizinkan nabi pergi. Teringat dia akan pesanan seorang rahib yang bernama Buhaira yang pernah di temuinya di negeri Syam suatu ketika dahulu. Pada ketika itu nabi masih kecil lagi. Buhaira telah memberitahu Abu Talib bahawa Muhammad akan menjadi Nabi akhir zaman. Antara tanda yang di maksudkan oleh Buhaira ialah awan yang bergerak melindungi nabi dan juga tanda antara belikat nabi. Buhaira telah mencium tanda itu dan memberitahu"Sekiranya aku masih hidup selepas Rasulullah mendapat wahyu, pasti aku akan menjadi antara mereka yang beriman"

Selanjutnya Buhaira memberitahu, apabila hari itu tiba, umatnya sendiri yang akan menentangnya. Buhaira juga berpesan agar Abu Talib menjaga Nabi dengan sebaik-baiknya kerana sekiranya pada ketika itu orang-orang zalim mengetahui mengenai nabi, pasti akan dibunuhnya. Oleh sebab itu lah Abu Talib sangat bimbang akan keselamatan Nabi.

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Abu Talib dan Saidatina Khadijah menunggu dengan penuh debaran. Terdengar sorakan dan berita dari pinggir Mekah bahawa Muhammad telah membawa pulang keuntungan yang berlipat ganda. Dan ketika itu, Nabi Muhammad sedang dalam perjalanan hampir ke Mekah.

Saidatina Khadijah dan teman-temannya, apabila mendengar berita gembira itu, segera memanjat bukit berdekatan untuk melihat sendiri kepulangan Nabi. Saya terbayang, mungkinkah Bukit Marwah yang berdekatan dengan rumah beliau ini adalah bukit yang dipanjat oleh Khadijah untuk melihat Nabi? Bukit inikah yang di maksudkan?

Hati Khadijah berdebar-debar. Ternampak lagi jauh kelibat nabi. Beliau juga melihat sesuatu yang aneh ketika itu. Ialah terdapat dua orang pemuda di kiri dan kanan Nabi sedang mengiringi beliau. (Kalau zaman sekarang ni macam bodyguard gitu).

Sesampainya di Mekah, Muhammad s.a.w. tidak terus pulang. Baginda segera terus meminta izin untuk menemui Saidatina Khadijah untuk menceritakan pengalaman di negeri Syam dan menyerahkan keuntungan berlipatganda yang diperolehi baginda. Hati Khadijah sangat terpegun dengan adab sopan dan budi pekerti mulia yang di pamerkan oleh baginda.


Debaran Saidatina Khadijah semakin kencang selepas berjumpa dengan Maisara selepas itu.

"Engkau nampak apa yang aku nampak semasa Nabi Muhammad sedang menuju ke sini?" kata Khadijah merujuk kepada dua pemuda yang tidak dikenali mengiringi nabi.


"Ya, cik puan. Saya tahu apa yang cik puan maksudkan" jawab Maisara.

Maka Maisara segera menceritakan pengalaman ajaibnya semasa bersama Rasulullah s.a.w. Antara lainnya ialah bagaimana para rahib dan paderi memuliakan baginda dan mengkhabarkan pada Maisara bahawa pada Nabi Muhammad S.A.W ada terdapat tanda-tanda bahawa baginda adalah nabi akhir zaman yang ditunggu-tunggu. Tidak akan ada lagi rasul selepasnya.

Mendengar itu debarannya begitu kencang, teringat akan azamnya selama bertahun-tahun. Debarannya tidak dapat di tanggung lagi, beliau segera menemui Waraqah bin Naufal saudaranya, iaitu seorang rahib yang sangat warak dan arif tentang isi-isi Taurat dan Injil.


Setelah mendengar dari Khadijah, Waraqah mengatakan: “Tidakkah engkau ingat wahai Khadijah, ketika engkau meminta aku meramalkan mimpimu, bahawa engkau bermimpi melihat matahari bersinar terang benderang, kemudian matahari itu masuk ke rumahmu, cahayanya menyinari kota Mekah dan kemudian menyinari seluruh alam ini! Bukankah telah ku katakan; Bahawa engkau akan berkahwin nanti, dan suamimu itu akan menjadi seperti matahari yang kau lihat itu, ya, manalah tahu, Muhammad itulah yang akan menjadi Nabi umat ini, kalau itulah pilihanmu memanglah tepat sekali. Wahai Khadijah, segala keistimewaan yang ada padanya, semuanya telah kubaca dalam Taurat dan Injil.”

Pulanglah Saidatina Khadijah dengan suatu azam bahawa ia akan menjadi isteri Muhammad s.a.w. Resah dan gelisah Khadijah memikirkannya, adakah Muhammad akan menerimanya? Pada ketika itu Khadijah sudah berusia 40 tahun, manakala nabi baru berusia 25 tahun. Beliau risau akan perbezaan umur yang ketara itu. Akhirnya beliau memilih Nafisah binti Mambah, seorang telangkai yang sangat terkenal untuk merisik pendapat nabi.

Nafisah berjumpa Nabi dan merisik.

"Mahukan engkau berkahwin ya Muhammad?"

"Tiada keperluan untuk aku berkahwin," kata Nabi.

"Bagaimana jika wanita yang engkau kahwini ini adalah seorang yang rupawan, bangsawan dan hartawan dan segala-galanya lengkap dan sedia?"

Dan Nafisah memberitahu bahawa orang itu ialah Khadijah.

Dengan rasa rendah hati Rasulullah s.a.w. menyatakan : “Siapakah aku ini jika dibandingkan dengan Khadijah, aku berasal dari anak yatim Quraisy sedangkan ia bangsawan Quraisy ini.”

Dengan kebijaksanaan Nafisah telangkai yang terkenal itu maka akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. meminta tangguh untuk berunding dengan Abu Talib, dan terkejutlah Abu Talib dengan kata-kata Nabi itu, akhirnya ia bersuara: “Wahai anakku, walaupun engkau tidak mempunyai harta tetapi engkau kaya dengan kemuliaan dan ketinggian budi.”

Nabi Muhammad menjawab dia tidak pernah mengimpikan kekayaan.

Tidak lama kemudian rombongan peminangan dan akad perkahwinan Nabi diketuai oleh Abu Talib telah disambut baik oleh keluarga Saidatina Khadijah yang diketuai oleh bapa saudaranya Amru bin Asad dan abangnya ‘Amru bin Khuailid’ dengan mas kahwin sebanyak 20 ekor unta.
Perkahwinan ini dirayakan dan di setujui oleh seluruh penduduk kota Mekah Al-Mukaramah dengan gembiranya.

Berbahagilah Ratu Quiraisy bersama Al-Amin Quraisy.

Cintanya Rasulullah s.a.w kepada Khadijah walaupun setelah bertahun-tahun Khadijah meninggalkan nabi, nabi masih menyebut-nyebut nama Khadijah. Sehinggalah pada satu ketika Saiditina Aisyah r.a. merasa sangat cemburu kepada Khadijah dan menempelak dengan katanya, “Tidakkah ada wanita lain yang engkau sebut-sebut selain dari wanita tua yang sudah tiada lagi! Bukankah Allah telah menggantikannya dengan orang yang lebih baik?”

Rasulullah s.a.w. merasa sangat tersinggung dengan kata-kata itu lalu dengan tegas Rasullulah s.a.w. menjelaskan:“Wahai Aisyah: Demi Allah, tidak ada siapa yang dapat menggantikannya, jasanya, pengorbanannya tidak akan dapat ditandingi oleh sesiapapun, ketika tidak ada seorang pun yang beriman kepadaku. Dialah orang yang pertama beriman kepadaku. Ketika semua orang mengharamkan hartanya kepadaku, dialah antara orang yang mengorbankan segala hartannya untuk perjuanganku. Ketika aku dipersenda, dilanda oleh nestapa, dia meletakkan aku ditempat yang sangat mulia, dia dapat memberikan segala kegembiraan dan kasih sayang kepadaku. Dialah juga yang dapat melahirkan ramai anak-anak untukku.” Dan… ketika aku pertama kali didatangi Jibrail a.s. aku kebingungan, ketakutan… apakah yang akan berlaku kepada diriku, dia telah dapat mengembalikan ketenangan dihatiku, memberikan keyakinan bahawa… akulah Rasulullah yang ditunggu-tunggu untuk semesta alam.”

Mendengar ucapan itu sedarlah Saiditina Aisyah bahawa kata-katanya tadi adalah didorong oleh cemburu yang melulu dan mulai saat itu ia turut menyanjung tinggi keagungan Saidatina Khadijah r.a.

Nota: cerita di atas adalah berdasarkan cerita-cerita yang pernah di baca melalui buku-buku dan di dengar melalui ustaz-ustaz. Maafkan saya sekiranya ada kesalahan. Yang baik datang daripada Allah, dan yang tidak sempurna datangnya daripada saya.

1 comment: