Commercial Break

Thursday, May 8, 2014

Penipuan Pakej Umrah


Nampaknya baru-baru ni kes penipuan umrah kerapkali terjadi dan ianya semakin meningkat tahun ini iaitu lebih 100 peratus berbanding tahun lepas. Ia mengakibatkan orang ramai berasa ragu dan bimbang untuk menunaikan umrah.

Untuk lebih yakin dan selamat, umat Islam yang berhasrat menunaikan umrah bolehlah menggunakan pakej swasta yang telah diluluskan oleh tabung haji.

Untuk senarai pakej swasta yang telah diluluskan oleh tabung haji sila rujuk entri ini. 


Ini berita penuh mengenai penipuan pakej umrah yang bertarikh 7 Mei 2014. (sumber Astro Awani)



KUALA LUMPUR: Persatuan Agen-Agen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mendesak pihak berkuasa agar mengenakan hukuman yang lebih berat kepada individu atau agen pelancongan yang terbabit dalam penipuan pakej umrah.


Presiden MATTA, Hamzah Rahmat berkata desakan tersebut dibuat ekoran peningkatan kes penipuan pakej umrah yang semakin menjadi ekoran undang-undang sedia ada hanya mengenakan denda kepada pesalah.

Katanya, ekoran hukuman yang ringan itu, kejadian penipuan pakej umrah ini masih berlaku biarpun sudah banyak pendedahan dibuat.

"Kami (MATTA) mahu pihak kementerian (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) mengambil tindakan yang lebih keras seperti penjara disamping denda yang sedia ada kepada mereka yang terlibat dalam penipuan pakej umrah," katanya dalam satu sidang media di Wisma MATTA, di sini pada Selasa.

Selain itu, MATTA juga mahu kedutaan Arab Saudi menyenarai hitamkan syarikat atau individu yang terbabit dalam penipuan pakej umrah.

Hamzah berkata, pihaknya juga akan berusaha mengenalpasti serta menghantar senarai agensi serta individu yang terbabit dengan penipuan untuk diambil perhatian pihak Kedutaan Arab Saudi.

Kes penipuan yang meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lepas telah mengundang kerisauan umat Islam di negara ini terutamanya mereka yang berhasrat mengerjakan umrah tahun ini.

Katanya, MATTA juga akan mengadakan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai penipuan pakej umrah ini di media massa dalam masa terdekat.

Tambah beliau, antara masalah utama yang menjadikan kes penipuan pakej umrah terus meningkat ialah sikap mudah percaya orang ramai terhadap individu atau syarikat yang mendakwa mereka agen muasassah.

Agen-agen tersebut, kata Hamzah turut mengiklankan khidmat palsu mereka melalui media massa.

Beliau menasihatkan umat Islam yang mahu menunaikan umrah agar meneliti setiap tawaran yang diiklankan menerusi media massa.

"Iklan yang dilengkapi nombor lesen pendaftaran agensi serta syarikat wajar diteliti sepenuhnya agar tidak terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan," katanya.

Hamzah juga tidak menolak kemungkinan MATTA dengan kerjasama Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) akan memperkenalkan harga minimum yang realistik bagi rujukan pengguna sebelum terus membuat bayaran tempahan untuk pakej umrah pada masa depan.

Selain daripada itu, MATTA juga menggesa agar bahagian pengiklanan di media massa memberi perhatian penuh kepada pengiklan pakej umrah dan juga pakej pelancongan lain dengan meneliti butiran serta latarbelakang syarikat sebelum disiarkan.  

Sumber: 

No comments:

Post a Comment