Commercial Break

Monday, November 30, 2015

PENGALAMAN, TIPS DAN FAEDAH PENYUSUAN

           

Ketika pertama kali mengandungkan anak sulung lebih kurang 10 tahun yang lalu, saya sudah memasang niat yang seterusnya bertukar menjadi keinginan yang amat kuat. Walaupun pada detik itu bayi yang di kandung hanya baru berusia beberapa bulan di dalam kandungan, saya tidak teragak-agak atau menoleh kebelakang lagi. Setiap hari saya berkata kepada diri sendiri “SAYA MAHU MENYUSUKAN ANAK SAYA DENGAN SUSU BADAN SENDIRI.”

Pada ketika itu, pengetahuan tentang breastfeeding dan kesedaran mengenai penyusuan masih belum cukup meluas lagi. Namun ia tetap tidak mematahkan semangat untuk saya terus berusaha sedaya upaya mungkin dalam mengaut ilmu tentang penyusuan dari apa sahaja sumber.

Siapa kata breastfeeding adalah sesuatu yang mudah?

Tidak. Ia tidak pernah mudah. Ia adalah pilihan yang mencorakkan pelbagai jenis perasaan yang mendewasakan pengalaman seseorang yang bernama IBU.

Perasaan indah pada ketika detik pertama insan kecil yang masih bergerak lemah itu membuka mulut dan perlahan-lahan mengalir ke dalam perutnya antibodi tidak ternilai, kolostrum yang dapat melindunginya di detik-detik pertama kelahirannya. 

Rasa yang indah bertukar menjadi menakjubkan apabila jari jemari kecil menggenggam erat satu jari milik ibu seakan ucapan terima kasih yang belum mampu terluah. Masih jelas dalam ingatan akan hangatnya perasaan tatkala pertama kali kulit sendiri bersentuh dengan kulit bayi di dalam dakapan.

Perasaan tertekan tatkala tidur malam tidak pernah nyenyak sejak kelahiran.. malah diri sendiri bukan lagi menjadi kepentingan utama ketika setiap khasiat dan kesan ubatan dan makanan harus di timbang baik dan buruknya sebelum ia menjadi darah daging sendiri. 

Perasaan hampir putus asa tatkala puting terluka akibat teknik yang tidak betul dan buah dada yang bengkak di awal kelahiran. Perasaan yang penat kerana tidak mampu untuk bergerak tatkala si kecil meyusu berjam-jam lamanya.

Perasaan gabra dan kelam kabut mencari privasi tatkala anak menjerit kelaparan minta disusukan di tengah-tengah keramaian dan tempat awam.

Perasaan di hargai apabila si manja tidak mampu berpisah walaupun sesaat jika ibu berada bersama di rumah. Sanggup menunggu di depan tandas sehingga ibu selesai urusan. Sanggup menunggu di pinggir dapur sehingga ibu selesai memasak.

Dan yang paling tidak lupa..

Perasaan sayu yang seakan memalapkan sinar apabila terpaksa meninggalkannya di tangan orang lain di waktu hari pertama bekerja selepas habis cuti berpantang. Debar resah kami berdua seakan menjadi satu walau jarak kami tidak lagi dekat seperti sebelumnya. 

Namun ianya bukan alasan untuk berhenti malah menyuntik semangat agar diri sendiri harus kuat dan tidak berputus asa memerah susu sekurang-kurangnya 3 kali sehari agar memastikan bekalan untuk si manja sentiasa mencukupi. Walau sesibuk mana dengan dateline kerja hakiki atau mesyuarat di pejabat, ia seakan agenda wajib dilaksanakan dalam satu hari. Semuanya kerana azam untuk menyusukan bayi sendiri sekurang-kurangnya pada 6 bulan pertama kehidupan berharganya. Dan kerana azam yang kuat itulah ketiga-tiga mereka berjaya disusukan sepenuhnya dengan susu ibu selama 2 tahun.

Dalam erti kata lain, perasaan saya sebagai ibu yang berjuang menyusukan anak-anak sehingga 2 tahun dan pengalaman pahit manis breasfeeding ini, ianya adalah satu perasaan dan pengalaman yang tidak mampu dibandingkan dan di tukarkan dengan wang ringgit yang banyak sekalipun. 

Dan seperti mana sakit melahirkan yang serta merta dilupakan apabila bayi berada di dalam dakapan, begitu juga dengan pengalaman penyusuan. Betapa hebatnya perasaan-perasaan di atas, ianya tidak dapat di samakan dengan perasaan yang cukup bersyukur, puas hati dan bahagia apabila amat jelas terbukti bahawa mereka dan saya, kami sama-sama mendapat faedah yang banyak daripada proses penyusuan dan breastfeeding:

1) Mereka membesar dengan sihat. Mereka TIDAK PERNAH MENGIDAP PENYAKIT akibat jangkitan kuman dan alahan seperti cirit-birit, bronckitis dan radang paru-paru. Mereka juga tidak pernah mengalami sakit perut dan lelah, apatah lagi batuk, selsema atau demam yang terlalu teruk.




2) Mereka TIDAK PERNAH DIBERI ANTIBIOTIK walau sekalipun, dan setiap cara dan petua tradisional akan saya cuba ke atas mereka kecuali jika suhu demam mereka agak tinggi dan membimbangkan, itupun saya hanya beri mereka panadol kanak-kanak yang didapati daripada doktor.

3) Badan mereka CERGAS, tumbesaran mereka adalah NORMAL dan otak mereka CERDAS kerana susu ibu mengandungi zat yang mencukupi untuk perkembangan otak dan badan mereka. Saya tidak mengharapkan mereka menjadi genius, namun cukup sekadar perkembangan mereka sejajar dengan usia. Perkembangan yang pesat, ianya merupakan satu bonus.





4) Ketika mereka bayi, saya tidak perlu risau akan pencemaran, kerana susu ibu akan terus mengalir ke dalam perut mereka. Ia tidak perlu di panaskan dan akan sentiasa berada di dalam suhu yang sesuai.

5) Hubungan istimewa antara saya dan si manja, kerana bagi mereka saya adalah segala-galanya. Saya adalah SUMBER MAKANAN dan MINUMAN mereka.




6) Emosi mereka sentiasa lebih tenang apabila mereka menyusu.

7) Paling mudah, saya tidak perlu mencari tempat khas dan air bersih untuk membancuh susu kerana susu saya boleh diberikan pada BILA-BILA MASA sahaja. 

8) Penyusuan adalah cara semulajadi untuk mengelakkan mengandung terlalu awal selepas baru melahirkan. 

9) Penyusuan membuatkan saya lebih SIHAT kerana penyusuan boleh mengurangkan risiko barah buah dada & ovari, penyakit diabetik dan juga mengurangkan kemurungan dan stress. 

10) Sepanjang tempoh penyusuan, selera saya sangat baik malah saya makan lebih banyak daripada biasa, tetapi bentuk badan saya lebih KURUS dan SLIM berbanding ketika saya tidak menyusukan. ( Ohh, sangat saya rindu akan saat-saat itu !!!)


Saya bersyukur mempunyai suami yang memahami dan sentiasa menyokong saya sepanjang proses penyusuan untuk ketiga-tiga anak kami. 


Dia turut sama belajar teknik-teknik penyusuan semasa di hospital ketika saya belum sembuh sepenuhnya untuk 100% faham apa yang di pelajari. 

Dia yang tolong berjaga malam menukar lampin bayi kerana dia tahu tidur saya memang tidak pernah nyenyak dengan adanya bayi yang berjaga malam beberapa jam sekali untuk menyusu.

Dia membeli susu dewasa yang mahal untuk saya sebagai ganti tidak perlu membeli susu formula untuk anak kami. 

Dia memahami sekiranya saya terpaksa berhenti dari sedang berbuat sesuatu untuknya kerana terpaksa mendahulukan menyusukan bayi kami. 

Suami-suami di luar sana, sokonglah isteri kamu sepenuhnya kerana kamu adalah tulang belakang isteri kamu dalam proses penyusuan sepertimana isteri kamu adalah tulang belakang kamu dalam membina keluarga.

Isteri kamu pasti akan kuat dalam melaksanakan keazamannya untuk memberi yang terbaik untuk anak kamu sekiranya kamu sentiasa berada di sisinya ketika dia memerlukan. Isteri kamu pasti berjaya menghadapi segala rintangan dan menepis sebarang godaan dan kata-kata negatif orang sekiranya dia sentiasa kenyang dengan kata-kata positif semangat dari kamu.

Dan untuk ibu-ibu yang baru mengandungkan anak pertama, tanamkan dalam diri dan berazam bahawa kamu mahu menyusukan anakmu dengan susu sendiri. Sentiasa berdoa, berzikir dan berselawat serta sentiasa berkata-kata dengan diri bahawa aku pasti berjaya menyusukan anakku sengan susu sendiri, kerana inilah yang saya sentiasa lakukan sepanjang setiap siri kehamilan. Makanlah makanan yang seimbang sejak dari awal kehamilan lagi kerana ianya akan menyumbang kepada zat yang membentuk susu. 

Apa yang penting, sentiasa dapatkan ilmu penyusuan sejak dari awal lagi agar diri sendiri dapat menjangka apa yang akan di hadapi semasa proses penyusuan. Kini, maklumat penyusuan hanya di hujung jari kerana banyak maklumat penyusuan boleh di dapati daripada internet, antaranya ialah melalui web yang di sediakan oleh Ministry of Health Malaysia (MOH), iaitu www.infosihat.gov.my.

Akhirnya, setelah anda bersedia dengan segalanya, berfikirlah secara positif dan bertawakallah kepada tuhan. InsyaAllah apa sahaja yang anda usahakan, Tuhan akan beri yang terbaik buat anda.


No comments:

Post a Comment