Commercial Break

Tuesday, May 15, 2012

Day 35 (26 November 2011, Part 1) -Terpelihara di Hijir Ismail

(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.


Surah Al Imran Ayat 8




Hari Sabtu yang indah. Pagi yang tidak pernah mengenal erti sunyi di Mekah. Rahmat tuhan menerangi di bumi suci ini, menerangi setiap hati hamba yang mencintai Tuhannya. 


Pagi kami pada hari ini bermula agak lewat sedikit, iaitu kami ke Masjidil Haram lebih kurang pada pukul 3.15 pagi. Ini adalah kerana rutin kami sudah lari sedikit setelah keletihan tidur lewat semalam kerana mengerjakan umrah pada malam hari, jadi ianya mengusik tenaga kami. Umrah di malam hari selepas Isya' adalah di luar kebiasaan kami, kerana kebiasaannya kami gemar melaksanakannya selepas pukul 2.00 pagi.



Setibanya di masjid kami solat sunat tahyatul masjid, dan di susuli dengan tawaf sunat.

Tawaf adalah satu cabaran, ianya meningkatkan adrenalin dan debaran, tetapi bertawaf juga memberi satu perasaan yang sukar di gambarkan. Tawaf mendekatkan diri hamba dengan Allah yang Agung. Ketenangan dan perasaan rahmat selepasnya adalah satu anugerah yang tidak terhingga.



Siapa menyangka, dan semestinya takdir Allah tiada siapa yang dapat menduga. Tawaf kali ini adalah kenangan yang sukar di lupakan. Ianya berlaku selepas tamat 7 pusingan tawaf sunat.



Hijir Ismail sangat sesaknya Ya Allah. Tersangat terover sesak, tetapi entah mengapa suami yang selalunya sering mementingkan keselaman mengajak saya masuk ke Hijir Ismail. Mungkin mengenangkan masa yang kini amat mencemburui kami. Dan yang pastinya di pintu masuk Hijir Ismail yang sempit keadaannya pada masa itu adalah berhimpitan yang teramatnya alahai. Terasa tersangat leper tubuh badan saya pada masa itu akibat di himpit. Tiba-tiba suami hampir mengajak saya keluar semula dari pintu Hijir Ismail kerana kesesakan dan desakan. 

Dan entah mengapa saya enggan, "Saya mahu duduk di sini lagi. Saya mahu berdoa lagi."

Pada masa itu saya sudah betul-betul berada di hadapan dinding Kaabah yang terletak di pintu masuk Hijir Ismail, cuma saya terhimpit kerana ramai berebut mahu berada di tempat saya. Suami di belakang saya, sedang mengepung, tetapi saya tetap terasa akan tubuh-tubuh yang gagah berebutan keluar dan masuk di pintu Hijir Ismail, menghimpit kami.



"Jika begitu, kita ke masuk ke dalam, di sini bahaya," ajak suami.

Ya, di pintu masuk Hijir Ismail agak bahaya kerana di situ tempat tumpuan jemaah berebutan masuk dan keluar dari Hijir Ismail. Yang mahu masuk tak sabar dan menolak jemaah yang berada di pintu masuk, manakala yang mahu keluar juga tidak mahu bersabar kerana tiada lansung ruang untuk keluar. Tolak menolak berlaku. Tiada tolak ansur. Akibatnya jemaah yang berada di pintu keluar masuk ini akan menjadi mangsa himpitan seperti kami sekarang ini. Ya, pintu masuk Hijir Ismail adalah 'turning point' samada anda akan masuk ke dalam lagi atau terkeluar semula daripada Hijir Ismail.



Saya bersetuju dengan ajakan suami. Dan dengan lafaz Bismillah, dengan Tawakal kepada Allah antara hidup dan mati, suami saya tanpa menunggu walau sesaat lagi, dan dengan sedaya upaya sekuat tenaganya menarik saya menongkah arus yang berlawanan mahupun bertentangan, dan saya pada ketika itu berdoa agar jangan saya terjatuh atau terhimpit dengan berserah kepada Allah dan melalui perlindungan suami saya, segera mengikutnya tanpa lengah walau sesaat. Ya Allah entah dari mana tenaga yang saya perolehi. Ia umpama melawan arus Tsunami.



Kami sudah berada di dalam Hijir Ismail. Pada saat dan detik ketika itu, segalanya berlaku dalam sekelip mata. Tiba-tiba sahaja askar Masjidil Haram menghalau semua jemaah haji keluar dari Hijir Ismail. Rupa-rupanya sudah sampai masanya Hijir Ismail di tutup untuk di cuci.



Pada saat askar-askar Masjidil Haram menghalau kesemua jemaah haji dari Hijir Ismail, tubuh saya seakan terpaku di situ. Di dalam Hijir Ismail. Kaki saya seakan tidak mampu bergerak. Hanya ada Yang Maha Kuasa dan saya. Dan segala doa yang selama ini terhimpun di minda saya pohonkan kepada yang Maha Agung. Askar-askar yang menghalau tidak saya pedulikan. Mereka juga seakan-akan tidak mempedulikan saya. Seakan-akan tidak nampak saya di situ.



Selepas itu barulah saya perasan, yang tinggal di dalam Hijir Ismail pada ketika itu semuanya golongan wanita. Saya pasti ketika itu, askar-askar Masjidil Haram memberi peluang kepada mereka yang lemah sebab pada ketika itu Hijir Ismail lengan-selengangnya. Hanya ada beberapa jemaah wanita yang sedang sembahyang di dalam Hijir Ismail. Dan anehnya askar-askar lansung tidak menyentuh wanita-wanita di situ. Pertama kali saya lihat Hijir Ismail selapang ini.

Oh tidak. Rupa-rupanya bukan hanya wanita di situ. Baru saya perasan. Suami di sisi sudah bising mengajak saya keluar. Kesiannya suami saya! Rupa-rupanya semasa saya kusyuk berdoa, suami yang pada masa itu sedang berada betul-betul di belakang saya telah di ketuk-ketuk oleh askar dengan kayu pengetuk yang menyuruhnya keluar dari situ. Semua jemaah lelaki telah keluar kerana di ketuk kecuali suami saya yang menahan diri semasa di ketuk. Saya pula tidak disentuh lansung.



Kalau diikutkan saya boleh lebih lama di situ tetapi kerana simpatikan suami, saya akhirnya mengajak suami keluar dari situ.

Tiba-tiba surah Al Asr, demi masa terlintas di fikiran saya. Di sini, rezeki datang dan rezeki pergi pada masa-masa tertentu. Demi rezeki yang Allah anugerahkan, saya berada di masa, detik dan ketika yang sesuai.

Alhamdulillah, ia antara pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan.

Pancur Emas di Hijir Ismail

1 comment:

  1. Salam,
    Seronok dan teruja membaca pengalaman awak.Saya sedang menunggu rayuan Haji untuk tahun ini. Giliran sy 2017 tp telah menunaikan umrah pd 2010 menyebabkan sy masih lagi teringat2semasa disana.

    ReplyDelete