Commercial Break

Monday, May 7, 2012

Day 34 (25 November 2011, Part 4) - Beg Sandang

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Surah As Sajadah, Ayat 16


Beg sandang menjadi peneman kami yang paling setia sepanjang masa di sini. Beg sandang yang boleh di sangkut dibahu dan dibawa ke mana-mana sahaja. Sebelum ke Masjidil Haram setiap hari, saya akan pastikan dalam beg sandang saya telah di isi dengan beberapa keping duit riyal, handphone, Quran Tafsir, buku doa, Air Zam-zam, Spray Wudhu dan beberapa ulas kurma.

Di bawah adalah beg sandang yang  telah di beri secara percuma kepada Jemaah Haji Muassasah. Malangnya beg tersebut menjadi peneman suami selama lebih kurang dua minggu sahaja di sini kerana ianya telah 'lunyai' akibat aktiviti lasak kami di sini. Itupun saya sempat menjahit talinya sebanyak dua kali. Dan selepas itupun, ianya tidak mampu bertahan lagi. 80% penyumbang kepada kelunyaian tersebut ialah akibat terhimpit dan tersepit semasa bertawaf..Manalaka beg saya hanya mampu bertahan 3 minggu.. 

Beg suami yang hanya mampu di pakai selama lebih kurang dua minggu sahaja...lusuh dan lunyai


Beg saya, mampu bertahan lebih kurang 3 minggu kerana saya kurang bertawaf berbanding suami. Cantik sikit kot berbanding beg suami saya.



Maklumat yang ditampal di beg seperti Nama Hotel, Nombor Bas, Maktab dll


Sudah sangat buruk



Terima kasih kepada TM kerana kemurahan pihak syarikat menyumbangkan beg-beg secara percuma kepada semua jemaah. Walaubagaimana pun alangkah bagusnya jika pihak TM dan/atau pihak agensi yang berurusan dengan TM boleh membekalkan beg sandang yang lebih berkualiti. Ini kerana kami merasakan beg sandang ini merupakan benda yang agak penting sepanjang perjalanan Haji. Beg inilah yang akan digunakan untuk meletak dokumen-dokumen penting, duit, dan sebagainya terutamanya ketika sedang berihram. Bayangkan jika beg ini tiba-tiba terputus ketika sedang bersesak-sesak pasti jemaah akan mengalami kesukaran dan jika nasib tidak baik beg akan terjatuh dan hilang keciciran.

Walau bagaimanapun, melihat kembali beg ini, pasti akan mengingatkan kami akan memori menunaikan Haji. Saya pasti jemaah haji yang lain pun merasakan begitu juga.

Ini beg baru saya yang telah di beli selepas beg sandang TM tidak lagi mampu bertahan.



Suatu hari semasa berjalan pulang ke hotel, suami berkata, "Sangat menarik, selepas tidak lagi membawa beg sandang TM ramai orang meneka-neka saya ni bangsa yang mana dan mereka tidak sangka saya datang dari Malaysia,"

Ya, bila orang lain tertanya-tanya, semakin ramai yang mahu berkomunikasi dengan kita tanpa mengira bangsa.

Seperti biasa, selepas suami berpengalaman demikian saya pun mahu mencuba juga. Walau pun saya tidak lagi membawa beg sandang TM, tetapi di belakang telekung saya masih ada lagi jahitan "Malayzia", bermakna mereka di sekeliling pasti tahu bahawa saya Jemaah Haji Malaysia.

Malam itu juga, selepas makan malam dan pulang ke hotel saya segera menanggalkan jahitan Malaysia daripada kesemua telekung saya.
Pengenalan jemaah haji Malaysia. Saya telah menanggalkannya selepas 3 minnggu di sini.

Selepas hari tersebut, sangat menarik tiada seorang pun sangka saya adalah Jemaah Haji Malaysia dan semakin ramai bangsa lain menegur saya. Ada yang bercakap Siam, Filipina dan yang paling tak percaya orang bercakap Turkiye dengan saya! Tak mungkin sebab saiz badan namun pastila mereka ingat saya anak orang Turki kerana semasa itu saya bersolat di sebelah Mak cik Turki!

Dan yang paling tak sangka ada pada satu hari jemaah Pakistan di sebelah saya menyangka saya datang dari India! Erk..alamak India? Adakah kulit saya bertambah gelap dek di sinari cahaya matahari di sini? Dia membuat muka paling hairan apabila saya memberitahu bahawa saya rakyat Malaysia. Apabila menceritakan kepada suami dia tergelak besar. 

Ringkasannya, saya galakkan sesiapa yang mahu mencuba sesuatu yang baru dan menarik dan pastinya anda berkenalan dengan ramai lagi bangsa yang lain.

No comments:

Post a Comment