Kali ini saya akan berkongsi tentang perancangan yang telah di buat untuk menjayakan percutian di Mesir serta kos-kos terlibat.
PENGANGKUTAN / TRANSPORTATION
KUL-CAI-KUL = RM 1,710 PER PAX
Perkara pertama yang perlu ada ialah tiket penerbangan daripada KL ke salah satu negara, samada Mesir atau Turki. Untuk yang pernah mengikuti entri percutian Mesir dari awal, pasti telah sedia maklum bahawa saya telah menggabungkan percutian Mesir dan Turki. Setelah membandingkan beberapa airlines seperti Egypt Air, Etihad, Emirates dan lain-lain dan mengambil kira faktor transit, akhirnya kami memilih tiket return KUL-CAI-KUL melalui Saudi Arabian Airlines kerana ia merupakan tiket yang PALING MURAH dan masa transit yang PALING SINGKAT.
Untuk membandingkan harga tiket Saudi Airlines, kami ke website Saudi Airlines dan membandingkan harga yang ada kerana ianya tidak muncul di Sky Scanner, Kayak atau sebagainya. Bagaimanapun, kami tidak dapat menempah tiket di website tersebut kerana hanya pembayaran melalui Kredit Kad Bank-Bank Saudi sahaja dibenarkan! Jadi, kami hanya menempah tiket tersebut dengan menghubungi talian penempahan Saudi Arabian Airlines di Malaysia (03-21667778) dan membuat pembayaran secara tunai di pejabat Saudi Arabian Airlines Malaysia – Kuala Lumpur di Megan Phileo Avenue, Jalan Yap Kwan Seng. Kami telah membeli tiket ini seawal Disember 2014 lagi.
Apa yang sangat memuaskan, had bagasi yang dibenarkan amat banyak iaitu 46 kg dan hand-carry 7 kg bagi seorang.
Pengalaman penuh menaiki Saudi Airlines juga sangat-sangat memuaskan hati.
PENGANGKUTAN DALAM MESIR
Kami telah menggunakan khidmat pelajar Mesir merangkap tour guide dan pemandu untuk Return Airport Transfer, tour di Kaherah (hari pertama sahaja), tour ke Sinai, Dahab, Sharm El Sheikh dan Faiyum .
Cara pemanduan ala ‘terbang’ arab Mesir tidak selamat untuk memandu sendiri.
Harga Return Airport Transfer ialah 320 EP manakala harga untuk lain-lain tour ialah 2600 EP (harga bagi 3 orang).
Ramai di kalangan pelajar Mesir menyediakan perkhidmatan tour seperti ini. Semasa membandingkan harga, kenal pasti pakej yang di sediakan samada sudah termasuk makanan, penginapan, harga tiket masuk (entrance fees) ataupun hanya perkhidmatan tour guide dan pengangkutan sahaja. Selepas itu baru buat keputusan yang terbaik.
Manakala untuk ke Muzium Egypt, Khan Al-Khalili dan Masjid Al Azhar Universiti Al Azhar pada hari lain di Kaherah kami telah menaiki Metro dan Tremco kerana ianya terletak betul-betul berdekatan dengan perhentian Metro.
Di Alexandria pula, kami menggunakan sepenuhnya PENGANGKUTAN AWAM (tremco, tut-tut, teksi, train ayam dan bas).
Harga pengangkutan awam rakyat marhein adalah tersangat murah di Egypt iaitu serendah 1 EP (bas.) Hanya komunikasi yang menjadi masalah kerana kebanyakan mereka hanya pandai berbahasa Arab. Dan mungkin juga harus berhati-hati agar tidak di tipu. Namun, dengan kepandaian berbahasa arab dan sedikit pengetahuan mengenai tambang pengangkutan awam pasti amat mampu membantu survival di Egypt.
Perjalanan pergi dan balik Cairo-Alex-Cairo pula ialah dengan menggunakan tremco dengan harga 35 EP seorang satu hala.
PENGINAPAN / ACCOMODATION
Di Kaherah kami menginap di rumah anak negeri iaitu Rumah Perlis dan Rumah Penang. Harganya masing-masing ialah 200 EP dan 220 EP satu malam. Rumah anak negeri di booking melalui whatsapp dengan pihak berkenaan. Sila klik yang berikut untuk keterangan mengenai Rumah Perlis dan Rumah Penang.
Di Alexandria kami menginap di Homestay yang di kendalikan oleh pelajar Al Azhar di Mandarah. Harganya ialah 180 EP satu malam.
Manakala di tempat-tempat lain, harga penginapan untuk satu malam adalah seperti berikut:
Kedua-dua penginapan ini di booking melalui cara walk-in sahaja.
TIKET MASUK / ENTRANCE FEES
Rata-rata harga tiket masuk yang di tetapkan di kebanyakan tempat pelancongan di Mesir adalah agak mahal bagi pelancong, separuh harga bagi pelajar(warganegara atau tidak) dan tersangat murah bagi warganegara Mesir. Ianya hanya menjadi murah bagi pelancong setelah kita convert Egyptian Pound ke MYR.
Sebagai contoh, harga tiket masuk ke Piramid di Giza ialah seperti berikut:
Adult: 80 EP (MYR 40)
Students:40 EP (MYR 20)
Warganegara Mesir: 2 EP (sahaja!!)
Untuk rujukan, saya telah masukkan harga tiket masuk di setiap entri mengenai kunjungan ke satu-satu tempat.
Rumusan kos pelancongan ke Mesir di atas dapat di simpulkan seperti di dalam rajah di bawah.
JUMLAH KOS PER PAX IALAH RM 2,882 setelah di campurkan jumlah tiket penerbangan, perbelanjaan hotel, pengangkutan dan tour.
Jumlah ini ialah untuk 10 hari di Mesir.
Harga makanan saya tidak masukkan sekali di dalam rajah tersebut kerana saya rasa makan bergantung kepada selera masing-masing. Namun yang pasti kami 100% makan di luar (tidak masak atau bawa makanan dari Malaysia) dan kami tidak berkira tentang makan asalkan dapat rasai sesuatu yang berbeza iaitu keenakan masakan penduduk tempatan. Adakalanya kami makan di restoran mahal dan adakalanya kami makan makanan yang di beli di tepi-tepi jalan sahaja. Mendapatkan makanan halal di Mesir pastinya sangat mudah. Ada setengah makanan di Mesir sangat enak hinggakan saya mengidam teringat-ingat apabila telah berada di Malaysia!
Jika ikut cara kami, saya rasa RM 30 untuk kos makan satu hari seorang sudah sangat cukup banyak dan mewah.
Jangan lupa untuk memperuntukkan sedikit bajet untuk lain-lain perbelanjaan seperti souvenir, simkad dan sebagainya.
NAK JIMAT LAGI?
Sebenarnya ada lagi cara untuk menjimatkan kos percutian di Mesir.
Satu daripadanya ialah dengan menjual lebihan kilo kepada pelajar Al Azhar yang sedang menuntut di Mesir.
Sebagai contoh, oleh kerana kami mendapat had bagasi yang cukup banyak (46 kg seorang dan handcarry 7 kg), maka kami punya banyak lebihan kg yang tidak di gunakan. Oleh sebab itu, lebih kurang sebulan sebelum berangkat ke Mesir, saya telah menjual lebihan kilogram yang kami tidak gunakan kepada pelajar-pelajar Al Azhar yang sedang belajar di Mesir. Jualan ini mendapat sambutan yang hangat kerana ramai pelajar Mesir yang terdesak memerlukan barang daripada Malaysia dengan kadar segera contohnya barang makanan, pakaian dan lain-lain keperluan. Keperluan ini diserahkan oleh kaum keluarga mereka kepada saya beberapa hari sebelum penerbangan ke Mesir. Kilogram ini biasanya di jual dengan harga lebih kurang RM 30 / 60 EP per kilo. Saya telah menjual beberapa kilo dan berjaya mendapatkan lebih kurang 2800 EP (RM 1400) yang di gunakan untuk percutian kami. Maka jumlah keseluruhan seperti yang di lampirkan di atas telah berkurang secara automotik.
Namun demikian, cara ini ada kelemahannya iaitu kita perlu tetapkan satu masa untuk barang-barang ini dikutip oleh pelajar-pelajar di satu tempat yang di tetapkan di Mesir. Untuk memudahkan urusan, mungkin mereka boleh datang ke tempat kita menginap untuk kutipan barang. Dan lagi, perlu mengangkut sejumlah barang yang agak banyak dari Malaysia lagi. Namun, kos yang dapat di kurangkan dengan cara ini agak berbaloi.
Ringkasnya, kos percutian di Mesir boleh di kurangkan dan dijimatkan dengan perancangan awal dan teliti.