Surah Ar Ruum Ayat 5
gambar:google |
Pukul 2.00 pagi, hujan lebat turun mencurah-curah dan membasahi bumi Madinah. Penduduk-penduduk tempatan Madinah melompat kegirangan di tengah-tengah hujan di jalan-jalan di Madinah. Kanak-kanak dengan teruja keluar dari rumah dan bangunan untuk mandi hujan sambil ghairah mengetuk-ngetuk tin bagi memeriahkan suasana. Kita di Malaysia mungkin tidak menghargai hujan seperti mereka kerana negara kita begitu mewah dengan sumber air hujan. Tetapi bagi mereka hujan adalah rahmat yang begitu besar.
Hujan juga adalah menandakan perubahan ke cuaca yang sejuk di bumi Madinah. Pastinya jemaah haji perlu bersedia dengan baju sejuk kerana angin sejuk mencengkam sehingga ke tulang, terutamanya waktu Subuh dingin semasa berjalan ke Masjid. Subuh tadi saya tetap menggigil semasa ke masjid walaupun tubuh telah di baluti baju sejuk dan telekung.
Ramai jemaah haji Malaysia dalam kumpulan kami yang tidak bersedia untuk menghadapi cuaca ini. Ada di antara mereka yang telahpun mengirimkan pulang baju-baju sejuk mereka semasa di Mekah lagi. Mereka tidak menyangka akan cuaca sejuk seperti ini kerana mereka menganggap tiada bezanya cuaca di Madinah dengan cuaca yang agak panas di Mekah. Jadi mereka membuat keputusan untuk menghantar pulang baju-baju sejuk tersebut melalui pos kerana ingin mengelakkan beg yang besar dan berat. Jadi apabila tiba di Madinah, mereka terpaksa mencari baju sejuk yang baru!
Di dalam bilik hotel juga tidak perlu membuka penyaman udara atau kipas kerana cuaca sejuk di luar sudah cukup untuk menyamankan suhu bilik. Malah apabila waktu malam, kami terpaksa menutup tingkap bagi mengelakkan tidur dalam kesejukan.
Aura raudhah mengajak saya kembali ke Raudhah pada malamnya. Nampaknya malam ini jemaah agak kurang dan jemaah haji "Bahasa Melayu" hanya perlu melalui satu check point sahaja. Melalui dua pengalaman berbeza semasa pergi selepas Subuh semalam dan berbanding hari ini, pendapat saya mungkin lebih baik pergi ke Raudhah pada malam hari? Ini kerana jemaah haji negara luar agak kurang jumlahnya berbanding siang hari...dan pastinya keadaan ini akan berubah-ubah dan berbeza dari musin haji..
No comments:
Post a Comment