Commercial Break

Tuesday, July 31, 2012

Day 36 (27 November 2011, Part 4)- Tawaf Wadak (Kesayuan meninggalkan Masjidil Haram)


Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Surah At Tiin Ayat 4



Pukul 2.30 pagi. Terjaga dari tidur seperti biasa. Membuka mata dan hati terasa pilu. Hari ini kami akan meninggalkan Mekah menuju ke Madinah. Sayu. Dan sudah terasa rindu.

Walaupun seakan tidak rela, namun segala yang  indah pasti akan berakhir jua. Akhirnya hari ini tiba juga. Hari yang mana hati terasa amat berat. Hari yang mana segala-galanya akan menjadi kenangan abadi selepas ini. Yang akan di bawa sehingga ke hujung nyawa.

Segala persoalan berlegar di ruang fikiran. Ya Allah mampukah hambaMu ini istiqamah dalam mencari keredhaanMu? Mampukah kemabruran haji di kekalkan?? Ya Allah semoga kau berikan pedoman. Jadikan kami antara insan-insan yang terpilih untuk berpayung di bawah keagunganMu.

Sepanjang perjalanan ke masjid, saya catit segala pemandangan dalam memori. Saya imbau kembali kenangan-kenangan di sini. Ini adalah kali terakhir saya akan ke Masjidil Haram melalui jalan ini. Pada masa hadapan tak tentu Tuhan akan panggil saya ke sini semula. Tiba-tiba alam sekitar terasa sunyi. Hanya terasa derap kaki saya yang amat berat untuk melangkah. Minda mula bermonolog sendiri.

Kami tiba di Masjidil Haram.Kami melakukan rutin-rutin yang biasa kami lakukan di sini. Dan ini adalah kali terakhir akan kami lakukan semua ini. Iaitu ibadat tawaf yang sangat kami cintai. Ibadat tawaf yang mana Tuhan janjikan 60 rahmat sehari untuk orang yang bertawaf. Hati terasa ingin melakukannya beribu-ribu kali lagi. Dan berjuta-juta kali lagi.

Alhamdulillah kami dapat ke Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim sekali lagi. Semuanya adalah rahmat Tuhan. HambaMu ini tidak akan berjaya melakukannya tanpa rahmat dan nikmat Tuhan. Sebenarnya, seumur hidup ini, hambaMu ini tidak pasti apakah  mampu menjadi hamba yang sangat patuh kepadaNya, setelah segala nikmat diberikan olehNya. Mampukah?? Ya Allah..kasihanilah kami. Jangan kau kembalikan kami kepada hidup yang terhina setelah kau berikan petunjukMu.

Dan akhir sekali, selepas Subuh, kami melakukan Tawaf Wadak. Ia adalah Tawaf Selamat Tinggal.. Tawaf sebagai penghormatan kepada Baitullah. Hati berulangkali berdoa agar dapat ke sini lagi. Akan di panggil ke sini semula. 

Sewaktu kaki mula melangkah keluar dari Masjidil Haram, kami menoleh ke belakang. Melihat sekeliling. Seakan tidak mahu melupakan pemandangan ini. Seakan berat sepasang kaki ini untuk untuk melangkah.

Dan saat-saat pulang ke hotel, meninggalkan Masjidil Haram. Terbit satu perasaan rindu yang sukar di gambarkan dengan kata-kata.

1 comment:

  1. Assalam,
    saya tidak berpeluang melakukan tawaf wadak kerana uzur, sedih dan sayu hati ini. Hanya dapat melambai-lambai ke kaabah di pintu King Abd Aziz. Semoga Allah s.w.t menjemput saya sebagai tetamuNYA lagi. Amin.

    Wassalam
    zai

    ReplyDelete