Commercial Break

Wednesday, August 1, 2012

Day 36 (27 November 2011, Part 5)- Perjalanan ke Madinah

Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Surah Al Quraisy Ayat 4




Detiknya telah tiba. Detik untuk meninggalkan Masjidil Haram dan kota suci Mekah yang sudah mulai sangat di cintai dan dekat di hati untuk bertolak ke Madinah Al Munawwarah pula. Ia adalah antara sedih dan teruja. Sedih untuk meninggalkan Kaabah dan Masjidil Haram tetapi sangat teruja untuk melihat Madinah kota Nabi Muhammad S.A.W.

Kami adalah antara mereka yang terakhir meninggalkan bilik dan hotel. Merenung tembus bilik yang kosong. Baru sekejap tadi ramai dengan para jemaah, sekarang dah sunyi sepi.

Tak sempat pula ambil gambar bilik. (Plus tak sampai hati nak ambik gambar bilik yang macam tongkang pecah setelah di tinggalkan!) 

Bye bye hotel..bye bye bilik kami yang berada di Tingkat 7, Qasr Al Shoroouq. Pasti jua akan saya rindukan kakak-kakak dan makcik-makcik di bilik saya,serta segala kenangan dan senda gurau mereka. Setelah lebih sebulan bersama mereka dan mengenali mereka, kami telah mulai rapat antara satu sama lain. Kenangan di sini akan dibawa bersama.
Seperti biasa kami telah di bahagikan kepada beberapa kumpulan bas. Sticker bas dan maklumat penempatan di Madinah telah diedarkan awal-awal lagi. Tabung haji dan pihak Muassasah memang sangat efficient.Tidak perlu di ragukan lagi. Jadi tak perlulah nak berebut, tak payah risau kena tinggal.. semua orang ada tempat masing-masing. Beg-beg besar sudah disusun atur mengikut bas dan kumpulan penempatan di lobi sejak malam tadi untuk memudahkan petugas-petugas mengangkut ke dalam bas. Jemaah hanya perlu membawa beg kecil menaiki bas nanti. Kami hanya hanya perlu duduk di bilik masing-masing sementara menunggu giliran dipanggil oleh petugas. Tidak perlu bersesak-sesak di lobi ternanti-nanti giliran. Semuanya amat mudah. Terima kasih kepada semua petugas Tabung Haji dan Muassasah.      

Tiba-tiba dapat SMS dari ibu di Malaysia. 
"Naik bas ke Madinah nanti jangan duduk di depan atau di belakang. Duduk di tengah-tengah," ringkas pesanannya tapi padat.

"Kenapa bu?" saya membalas sms ibu, juga ringkas.

"Bas bawa laju, hati-hati takut kemalangan. Duduk di tengah-tengah lebih selamat," balasnya.

Alamak dah terlambatlah ibu. Kami antara yang terakhir meninggalkan hotel dan antara yang terakhir masuk ke dalam bas. Takde harapan nak cop tempat di tengah-tengah, agak-agaknya begitu.

Tekaan kami tepat. Bas-bas telah di penuhi. Hanya ada beberapa orang yang belum menaiki bas. Kami masuk ke dalam bas. Ada dua tempat kosong di hadapan sekali, betul-betul di belakang drebar. Adoi..teringat pesanan ibu, jangan duduk depan sekali. Aduhai tawakal ajelah.. takkan nak suruh orang lain ke depan. Berkata-kata dalam hati.. Ajal dan maut di tangan Yang Maha Esa.

Kami mengambil tempat betul-betul di belakang drebar. Memang nasib kami sering duduk di belakang drebar. Jadi kawan drebar. Drebar kali ini adalah Pak Arab daripada Mesir. Tidak tahu bercakap Bahasa Inggeris walaupun sepatah..

Tepat pukul 9.15 pagi, bas mula meninggalkan kota Mekah. Berderet-deret sejumlah lebih kurang 10 buah daripada hotel kami mulai bergerak. Pada mulanya bergerak bersama-sama tetapi seperti biasa selepas 5 minit kemudian, bas yang lain entah ke mana. Ada yang lebih laju dan ada yang lambat sedikit.

Bas kami? Haha sangat laju! Bergerak meninggalkan angin. TawakaltuAllallah aje. Drebar Mesir ini memang sangat yakin dengan pemanduan sendiri. Laju tetapi cekap.

Di khabarkan kepada kami, jika dahulu perjalanan memakan masa lebih kurang 8 jam, tetapi kini highway telah di bina, perjalanan mungkin akan lebih singkat dan mudah.

Melihat jalan dari Mekah ke Madinah, teringat peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Kita naik bas yang laju bukan main ni pun sampai 8 jam masanya, inikan pula Rasulullah s.a.w, di terik matahari. Padang pasir tandus, bukit bukau. berbulan-bulan baru tiba di Madinah. Tingginya nilai pengorbanan kekasih Allah demi menyebarkan Islam di muka bumi!

Selepas beberapa jam, kami singgah di perhentian untuk sembahyang dan makan. Wah dalam bas nampak macam panas sangat tapi bila turun sejuknya bukan main.Menggigit hingga ke tulang. Uniknya cuaca ini!

Pemandu bas suruh kutip duit untuk di sedekahkan kepadanya. Perkara seperti ini biasa berlaku, kalau tak mereka akan buat-buat sesat. Jadi, jemaah boleh sedekah dengan niat yang ikhlas.

Selesai berehat, kami menyambung perjalanan.

Tiba-tiba bas yang dinaiki rosak di tengah jalan, ini pastinya bukan di buat-buat rosak kerana duit sedekah sudah diberi kepada pemandu. Bas di berhentikan di tepi jalan untuk di betulkan.Pemandu Mesir mendapatkan pertolongan untuk membetulkan bas. Kami melihat dari dalam. Sangat unik cara bas di betulkan, mereka ni mencorakkan wayar guna gigi je, takde playar, gunting atau pisau. Tak sampai setengah jam bas berjaya di betulkan. Akhirnya kami bertolak ke Madinah. Saya tidak dapat tidur sepanjang perjalanan selepas itu, hanya memandang ke luar tingkap dan mengambil iktibar mengenangkan saat-saat lebih kurang 1400 tahun yang lampau,perjalanan kekasih Allah s.w.t. 

Pada masa yang sama, hati berdebar dan teruja untuk menjejakkan kaki di Madinah.



Antara view dalam perjalanan

Dibawah adalah dua video perjalanan ke Madinah (sumber:youtube)


No comments:

Post a Comment