Commercial Break

Monday, July 2, 2012

Day 35 (26 November 2011, Part 6)-Anak yang ditinggalkan

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Surah Luqman Ayat 14

Hotel kami sepanjang di Mekah, Qasr Al Shoorouq


Selepas pulang dari solat Zohor di Masjidil Haram tadi, kami makan tengahari seperti kebiasaannya di dewan makan hotel kami, Qasr Al Shoorouq. Suasana di dewan sekarang sudah lengang berbanding dahulu kerana kebanyakan jemaah sudah beransur pulang ke Malaysia atau bagi yang pergi ke Mekah dahulu sudah bertolak ke Madinah. 

Kami mengambil makanan di kaunter sambil tersenyum dan menyapa kepada beberapa jemaah yang sedang makan, wajah-wajah mereka sudah di kenali. Kami memilih untuk duduk di sebuah meja 6 kerusi, bersebelahan dengan dua orang jemaah yang pada perkiraan kami sepasang suami isteri yang berumur lebih awal 40-an. Wajah mereka pernah dilihat sebelum ini, tetapi tidak pernah menegur. Kali ini sudah duduk bersebelahan kami mengambil kesempatan berbual-bual, banyak perkara yang di bualkan memandangkan musim haji ini sudah hampir ke penghujungnya. 

Dan akhirnya perbualan menyentuh mengenai anak. Setelah kami bercerita mengenai anak kami, kami bertanya pula mengenai anak mereka. Mereka mempunya 3 orang anak. Yang dua sudah besar, sedang sekolah menengah.

"Bagaimana pula dengan yang bongsu, berapa umurnya?" saya bertanya.

"2 tahun. Sebelum ini kami dah pernah dua kali tunda pemergian kami ke sini, semuanya kerana mengandungkannya dan kemudiannya kerana dia terlalu kecil. Tetapi kali ini kami tidak boleh tunda lagi, lagi di tundakan lebih banyak perkara yang akan mendatang atau di anggap sebagai penghalang." cerita mereka.

"Jadi dia di tinggalkan bersama siapa?" saya bertanya. Kami menyangka mungkin si kecil di tinggalkan bersama atuk atau opahnya.

"Taska," sang isteri menjawab.

Sejurus perkataan itu menarik perhatian kami. Seakan tidak percaya.

Seakan memahami reaksi kami, mereka menerangkan lagi.

"Ya, atuk dan opahnya ada tetapi mereka terlalu tua dan uzur dan tak mampu untuk menjaga si kecil. Jadi kami mengambil keputusan menghantar si kecil ke taska. Tiada sesiapa lagi yang ada untuk membantu." cerita si isteri.

"Si kecil duduk situ sampaikan malam tak balik2 ke?" saya bertanya untuk mengesahkan kerana saya seakan tidak percaya.

"Ya, dia ditinggalkan di situ selama permergian kami ke sini" mereka mengesahkannya.

"Alahai kesiannya," saya dan suami serentak berkata dan berpandangan sesama sendiri. Kesian sungguh kerana kami yang meninggalkan anak-anak bersama opah, atuk, adik ipar dan pembantu rumah yang menjaga mereka juga berasa sangat risau dan sedih, ini apatah lagi mereka ini!

"Laa..kesiannya. Dia tak menangis ke?" isk saya sedih membayangkan.

"Mana tak menangis. Hari tu cuti sekolah, kakak dia ada rumah, boleh jaga sekejap. Jadi masa cuti sekolah tu sahajalah yang sekecil tidak di hantar ke taska dan di jaga oleh kakaknya. Sehabis cuti sekolah, dia di hantar semula oleh kakak ke taska. Di peluknya si kakak seperti tidak mahu lepas!" cerita mereka.

Aduh memang bagi tak percaya tetapi itu adalah harga sebenar pengorbanan mengerjakan haji. Berat mata memandang berat lagi bahu mahu memikul. 


Ini adalah secebis cerita pengorbanan mereka mengerjakan haji, di luar sana banyak lagi pelbagai jenis pengorbanan yang harus di bayar. Pengorbanan yang Allah sahajalah yang adakan membalasnya.

2 comments:

  1. Ya..setiap individu punyai pengorbanan tersendiri yang wajar dilakukan...

    Dugaan, ujian dan halangan.. kewujudannya itu semestinya menguatkan keimanan seseorang.

    ReplyDelete
  2. Ya..setiap individu punya pengorbanan yang tersendiri..

    ~ ujian, halangan dan dugaan semata-mata untuk menguji kesabaran dan keimanan seseorang.

    ReplyDelete