Commercial Break

Monday, July 9, 2012

Day 35 (26 November 2011, Part 7)- Kisah-kisah aneh di Mekah

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

Surah Al-Aaraf Ayat 17

Sesiapa sahaja yang bakal menunaikan Fardhu Haji atau Umrah ke tanah suci pasti akan di bayangi oleh cerita-cerita ajaib dan aneh yang pernah di ceritakan kepada mereka. Sebelum pergi lagi, pasti ramai yang akan mengingatkan untuk menjaga tingkahlaku, tutur kata dan segala yang terlintas di dalam hati selama di sini agar tiada perkara aneh berlaku ke atas diri sendiri.

Sesiapa yang sudah kembali ke tanah air pula,pasti akan di tanya..

"Ada cerita aneh atau pelik tak yang berlaku di tanah haram?"

Sebenarnya sepanjang masa di sini, Alhamdulillah tiada perkara yang tersangat pelik atau terlalu aneh menimpa ke atas kami berdua. Kalau ada pun hanyalah perkara yang kecil-kecil yang mana sekiranya seseorang yang berfikiran secara logik pasti akan berkata,

"Alah..kebetulan sahaja tu."
Jadi saya tidak akan menceritakan perkara-perkara kecil pelik yang menimpa kami sebab tiada apa-apa iktibar pun yang boleh di ambil :-).
Bagaimanapun, ada banyak kami dengar perkara aneh dan pelik yang agak besar yang menimpa jemaah yang lain. Mari saya ceritakan di sini dan moga ia menjadi pengajaran kepada yang lain. Cerita yang kami dengar ini mungkin pernah juga di dengari dan tersebar di kalangan jemaah haji 2011 yang lain.

Hilang di Mekah
Kisah aneh yang pertama ialah mengenai seorang jemaah haji lelaki yang hilang hanya selepas beberapa hari berada di Mekah. Setelah ustaz membaca doa semasa berada di Mina, akhirnya beliau muncul semula. Dia mendakwa dia tidak pernah hilang, malah melakukan aktiviti Haji dan Umrah serta pergi ke Masdjidil Haram termasuklah makan dan tidur bersama rakan-rakan jemaah yang lain, seperti biasa sahaja. Padahal rakan-rakan yang di maksudkan itu pula memberitahu yang lain bahawa dia tidak pernah turut serta bersama mereka. Wallahualam.

Perangai Aneh
Hotel penginapan kami yang terdiri daripada 13 tingkat menyediakan dua bahagian lif yang terdiri daripada tiga buah lif setiap satunya, untuk mengelakkan kesesakan. Satu bahagian adalah lif yang disediakan untuk ke tingkat 1-6, dan satu lagi adalah lif untuk tingkat 7 - 13. Oleh kerana bilik kami terletak di tingkat 7, maka kami menggunakan lif-lif yang ada secara fleksibel iaitu sekiranya lif untuk ke tingkat 7-13 sesak, maka kami akan menggunakan lif tingkat 1-6 dengan berhenti di tingkat 6 dahulu dan seterusnya menaiki tangga untuk menuju ke bilik kami di tingkat 7.

Ada sesuatu yang aneh di tingkat 6. Kami sering lihat ada seorang pakcik yang mungkin berumur dalam 70 an, yang sentiasa duduk-duduk, baring atau tidur di koridor tingkat 6 tersebut. Dia telah membawa tilamnya sekali dan dibentangkan di koridor tersebut. Pada masa itu kami membuat andaian mungkin dia tidak biasa bersesak di dalam bilki yang mempunyai ramai penghuni dan membuat keputusan untuk tidur di luar sahaja.

Apabila saat-saat akhir mahu meninggalkan Mekah baru kami tahu cerita sebenarnya di sebalik semua itu kerana kebetulan seorang jemaah haji yang sebilik dengan suami saya, telah berpeluang makan di sebelah pak cik tersebut di dewan makan. Pakcik itu sendiri yang menceritakan bahawa sejak sampai di Mekah, dia tidak boleh duduk di dalam bilik. Dia terasa seluruh badannya kepanasan. Dan dia juga terasa ingin menyanyi sepanjang masa.Oleh kerana itu dia mengambil keputusan memindahkan tilamnya ke luar dan terus menetap di luar bilik. Kadang-kadang dia akan menyanyi bermacam-macam lagu i.e lagu dondang sayang dan sebagainya.

Astaghfirullahalazim ianya memang kedengaran sangat pelik, tetapi benar.

Pergaduhan
Ianya berlaku semasa di Mina. Semasa para jemaah sedang sibuk menyediakan diri untuk pergi melontar. Saya telah terjumpa dengan seorang isteri yang mencarut memarahi suaminya sendiri. Pelbagai kata-kata yang tak sanggup di dengar di luahkan. Kita sendiri pun akan rasa sangat malu bila mendengar kata-kata tersebut.

Dugaan dalam perhubungan adalah dugaan yang sering menimpa para jemaah. Banyak cerita dan masalah tentang perhubungan yang kedengaran. Dugaan antara suami dan isteri, antara mentua dan menantu dan pelbagai lagi. Maka kena ingat semenjak di Malaysia lagi, kena banyak bersabar terutama jika hubungan anda dengan yang lain memang tidak intim sejak di Malaysia.

Sesat
Cerita jemaah yang sesat sering kedengaran di sini. Perkara yang sama terjadi kepada salah seorang makcik dari bilik kami bersama dengan pasangannya. Mereka sesat tidak jumpa jalan balik ke hotel bermula sejak selepas solat Subuh sehingga Asar! Tetapi sebenarnya mereka sesat tidak terlalu jauh dari lokasi hotel.

Bising
Ini kisah seorang mak cik yang bermulut bising dan serentak mengganggu jemaah yang sedang tidur atau berehat. Akibatnya beberapa hari selepas itu, makcik tersebut telah jatuh sakit dan kesannya dia tidak bercakap-cakap dan hanya mendiamkan diri sepanjang dia sakit.

Itu adalah antara sedikit kisah-kisah aneh yang pernah kami dengar.

Pelbagai perkara pelik yang lain telah terjadi, semuanya amat menginsafkan bagi mereka yang benar-benar berfikir.

Untuk mengelakkan perkara-perkara sebegini besar berlaku, berdoa dan bertaubat sejak di tanahair sendiri lagi. Bergantung dan berserah kepadaNya, InsyaAllah Allah akan bukakan jalan dan di lindungi sentiasa.

2 comments:

  1. Subhanallah, kuasa Allah SWT.. Macam2 boleh jadi dengan kehendak dan izinNYA.. Terima kasih atas perkongsian ini..

    ReplyDelete
  2. Isu Pergaduhan di Mina ( saya jemaah haji tahun yang sama dengan puan/ maktab 89 )..... Satu lagi kepelikan yang menjadi kelucuan.... Semasa sedang beratur masuk tandas ( ala cerita P.Ramlee ) waktu subuh ... kedengaran suara seorang lelaki marah-marah kerana tempat tidurnya dibasahi oleh air dari tandas/ bili air. Saya hairan macamana tempat tidurnya boleh basah, sedangkan jarak khemah dgn tandas dalam 6 kaki... Saya jenguk tempat tidurnya.... masya allah. Rupanya dia tidur berdindingkan bilik air tersebut.... Katanya rimas tidur dalam khemah, berhimpit2, x selesa....

    ReplyDelete