Commercial Break

Friday, March 30, 2012

Day 28 (20 November 2011, Part 2) - 'Ustaz Ustazah' Mekah




Ilmu yang bermanfaat akan mengalir keberkatannya seperti air zam zam yang tak pernah putus. Gambar: Kontena air zam zam. sources: google

Kemusykilan tentang ibadat haji adalah perkara biasa di Mekah. Ia termasuk juga ketidak tentuan perasaan, keraguan dan tertanya-tanya. Sebagai contohnya mengenai rasa ragu-ragu tentang ibadat yang di lakukan, adalah seperti aturan-aturan haji, pantang larang dalam ihram, dam-dam yang perlu dibayar dan banyak lagi ketidakpastian semasa melakukan ibadat ini. Kadang-kadang, walaupun kita telah lengkap pergi kursus haji setiap minggu di Malaysia, dan kita juga telah cuba mempersiapkan diri dengan pembacaan-pembacaan, tetap ada juga persoalan dan kemusykilan yang bermain di hati. Dalam hati pasti akan tertanya-tanya, "Apakah benar yang aku laksanakan ini? Adakah cukup syarat-syaratnya? ," dan bermacam-macam lagi persoalan berlegar di fikiran. Ia semua dengan niat yang satu, iaitu ingin mendapatkan haji yang sempurna.

Kerana itu, keluarlah perlbagai tekaan. Keluarlah perlbagai andaian. Maka muncullah 'ustaz' atau ustazah' tidak bertauliah di Mekah. Niatnya baik, ingin membimbing rakan-rakan ke lorong yang sebenar, tetapi tanpa ilmu yang mencukupi, bimbang tersilap dan tersesat jalan dan akhirnya ibadah yang di laksanakan tidak sempurna. Islam itu mudah, tetapi ilmu di dada perlu cukup untuk memastikan kita menjadi umat yang diberi petunjuk dan hidayahNya.

Jika terasa musykil dan keraguan mula bermain di hati, pergila berjumpa dan bertemu dengan ustaz/ustazah pembimbing Jemaah Haji yang disediakan oleh Tabung Haji. Pembimbing ini jika tidak salah akan ditempatkan disemua hotel-hotel atau maktab-maktab Tabung Haji. Jika melalui pakej pun turut disediakan pembimbing cumanya saya kurang pasti sama ada disediakan di setiap hotel/maktab pakej. Tanyalah apa sahaja. Mereka pasti akan cuba membantu. Jangan kita jadi ustaz/ustazah sendiri. Bimbang pahala bertukar dosa andai ilmu diberi melencong dari kebenaran.

Mengenai 'ustaz' dan 'ustazah' tidak bertauliah di Mekah, makcik makcik di bilik saya mengalaminya sendiri. Ia berlaku baru-baru ini. Berhampiran hotel kami terdapat sebuah masjid kecil. Lebih kurang 50 meter sahaja jauhnya. Ramai warga emas di hotel kami yang tidak mampu ke masjidil haram akan bersembahyang disitu.
Suatu hari, seorang makcik di bilik saya membawa balik cerita. Seorang jemaah wanita Malaysia yang di jumpai di masjid telah memberitahu mereka tentang beberapa perkara. Ia seumpama 'usrah' kecil di sudut masjid terbabit.

Pertama ialah mengenai hukum bermiqat di Jaranah untuk mengerjakan umrah. Katanya bermiqat di Jaranah pahalanya seperti mengerjakan satu haji. Maka menggalakkan dan menerbitkan cita-cita di kalangan pendengar untuk bermiqat di Jaranah kerana niat untuk mendapat pahala haji.
Kedua ialah bersembahyang di mana-mana lokasi di tanah haram ini pahalanya sama sahaja seperti sembahyang di masjidil haram. Maka ia menggalakkan perasaan tidak apa-apa sekiranya tidak bersembahyang di masjidil haram.

Saya yang mendengar di suatu sudut bilik hanya diam sahaja. Tetapi air yang tenang jangan di sangka tiada buaya. Dalam hati dan fikiran sudah bermain-main. Mula mencari-cari. Mula berfikir tidak berhenti. Rasa macam nak membantah dan amat tidak setuju dengan pendapat itu tetapi saya tidak  berkata apa-apa kerana saya perlu meyakinkan mereka dengan kata-kata ustazah, bukannya datang daripada saya sendiri. Saya tidak mahu jadi ustazah tidak bertauliah tanpa benar-benar yakin bahwa ia datang dari sumber yang benar.Malam itu tanpa berlengah segera berjumpa ustazah. Ustazah mengesahkan apa yang saya rasa. Malah beliau juga memberitahu kami betapa ramainya ustazah ustaz tidak bertauliah di sini.

Kata ustazah..



Masjid Jaranah

Pahala bermiqat umrah di Jaranah adalah sama sahaja dengan pahala bermiqat di mana-mana miqat. Cuma mungkin itu adalah tempat miqat Rasullullah s.a.w, maka terbitlah andaian yang mengatakan pahala bermiqat di Jaranah sama dengan pahala satu haji.

Dan pahala mereka yang bersembahyang di Masjidil Haram, tentu tak akan sama dengan yang bersembahyang di hotel, kerana pahala berjalan kaki ke Masjidil Haram, memandang Kaabah, bertawaf, membaca Al Quran dan beriktikaf di Masjidil Haram adalah sangat besar dan di rahmati dengan rahmat yang besar juga.


Balik ke hotel saya segera menyampaikan 'kuliah' saya pula,   :-).
Makcik-makcik di bilik saya, mereka mengambil iktibar dan lebih berhati-hati mendengar pandangan orang lain selepas itu.

Kesimpulannya, sekiranya ada kemusykilan, tanyalah mereka yang lebih arif, jangan segan kerana mereka selalu sedia membantu. Jangan jadi mereka yang tidak bertauliah dan akhirnya menimbulkan satu ajaran yang tidak betul. Sekiranya sudah yakin dan pasti akan kebenarannya, maka sebarkanlah ia tanpa henti.

2 comments:

  1. Salam,

    Bagaimanakah caranya untuk memasuki bilik hotel sekiranya semua orang tiada didalam bilik. adakah semua orang diberi kunci pendua.terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Kunci biasanya ditinggalkan di Lobi Hotel....Jd siapa balik awal dialah yg ambik dulu kunci dan siapa yg paling lambat kluar bilik yg letak semula di lobi....dan biasanya kunci ada pendua utk simpanan hotel jika kita trtinggal kunci kat dlm bilik...melalui pengalaman....

    ReplyDelete