Commercial Break

Monday, April 2, 2012

Day 30 (21 November 2011, Part 1) -Kesayuan dan debaran

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah Al Ahzaab Ayat 59


Kota Mekah

Hari ke 30. Kami berdua mulai fokus kepada aktiviti-aktiviti di masjid. Kami tidak lagi melaksanakan ibadah umrah. Kami mahu fokus beribadah di masjid pula, kerana masa semakin suntuk untuk kami di sini. Masa untuk berangkat ke Madinah akan tiba akhirnya, tidak lama lagi.

Saya masih belum mengkhatamkan al-Quran di sini lagi. Itu KPI dan azam yang telah ditetapkan sebelum ke sini, iaitu untuk khatam al-Quran di sini dalam masa kami berada di sini, di mana tentu saya tidak dapat melaksanakannya di Malaysia dalam jangka masa tersebut (sekitar 44 hari). Di Malaysia baru beberapa ayat di baca, pasti ada sahaja perkara yang mengganggu. Baru hendak buka Quran, siapla si kecik tumpang sekaki.

Subuh tadi saya sembahyang di belah seorang makcik dari Malaysia. Ini kali kedua dia menunaikan haji. Kali pertama ialah pada tahun 2003.

"Ada perbezaankah mengerjakan haji pada tahun ini berbanding 2003?" tanya saya.

"Ada, banyak perbezaannya. Perbezaan yang ketara ialah orang semakin ramai. Tahun 2003 orang tidak ramai seperti ini. Kali ini terlalu ramai. Tawaf semakin sesak.Tahun 2003 tawaf agak mudah.Tidak sesak seperti ini," ujarnya.

"Tetapi perasaan yang makcik rasa setiap kali di sini sama sahaja. Semakin dekat hari nak tinggalkan Mekah, semakin berdebar-debar hati makcik. Makcik dah rasa rindu dah. Makcik rasa tak nak tinggalkan sini. Sayu sahaja tengok Kaabah. Bila agaknya makcik dapat ke sini lagi. Umur mak cik semakin lanjut. Entah bila di jemputnya," matanya berkaca sewaktu menuturkan kata-kata ini.

Apa yang makcik tu rasa sama sahaja dengan perasaan saya sekarang ini. Semakin hari hati ini semakin berdebar-debar. Belum lagi dapat dibayangkan perasaan meninggalkan tanah suci ini. Setelah sebulan berada di sini, jiwa terasa seakan serasi. Amalan harian di sini seakan sebati dengan diri.


Dapatkah saya menahan gelora apabila hari itu tiba?

2 comments:

  1. Assalamualaikum w.b.t.

    Berpeluang tak solat jenazah untuk almahrum king abd aziz selepas solat asar 25 oct 2011?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam w.b.t,

    Alhamdulillah kami berpeluang untuk turut serta dalam setiap solat Jenazah, cuma kami tidak pasti siapa yang di solatkan.

    ReplyDelete