Ia adalah antara hari-hari yang saya rasa hampir mahu menangis apabila menyaksikan keindahan dan pesona New Zealand.
Feri berlabuh di Picton ketika hujan renyai-renyai. Rancangan untuk menerokai Picton selama satu jam sementara menunggu Scenic Train bergerak pada pukul 1.00 tengahari terpaksa di lupakan.
Jarak antara pelabuhan feri dan stesen keretapi tidak jauh, hanya 5 minit berjalan kaki. Ia adalah perjalanan yang menarik dan santai sekiranya cuaca elok. Namun, oleh kerana hujan renyai-renyai, ia membataskan pergerakan.
Kami terpaksa berjalan dan hampir berlari meredah hujan selama 5 minit. Kebasahan jadinya. Lunyai baju, beg dan kasut.
Stesen keretapi Picton tidak besar, jadi tidak banyak yang boleh di buat dan hanya duduk menunggu keretapi tiba dengan penuh sabar sambil melihat-lihat sekitar
.
Alhamdulillah, tepat pada pukul 1.00 tengahari, Keretapi KiwiRail scenic-train yang akan melalui Coastal Pacific tiba di stesen. Tiket yang dipunyai setiap penumpang ada nombornya masing-masing dan syukurlah saya dan ibu dapat tempat yang berdekatan dengan Open-air Viewing Platform dan juga seat yang selesa.
Puas saya menerokai dan menjelajah seluruh gerabak keretapi. Jujurnya, saya tidak pernah menaiki long-distance train.
Memang banyak kemudahan yang di sediakan seperti:
1)Carriage yang selesa – lengkap dengan karpet, heater & air-conditioned, tingkap yang sangat-sangat besar tanpa bayang. Juga di lengkapi dengan power points, headphones (dengan informasi menarik tentang destinasi-destinasi yang di lalu sepanjang perjalanan.
2)Kafe – Ada macam-macam makanan dan minuman di sediakan di cafe ini cuma kena pastikan ambil yang halal sahaja.
3)Open-air Viewing Platform
4)Tandas yang sangat bersih dan selesa.
Keseluruhannya, keretapi ini sangat-sangat selesa.
Untuk maklumat lanjut, sila klik KiwiRail
Sebelum keretapi bergerak, coffee/tea percuma sudah mulai di edarkan. Saya yang jarang-jarang minum kopi memilih coffee di sini. (Terkena tempias mat salleh yang suka minum coffee agaknya.)
Saya tidak salah pilih. Panas-panas dan kaw-kaw. Enak.
Pada setengah jam pertama perjalanan, hari masih hujan dan saya sangat baik hanya duduk diam-diam di seat sendiri. Walaupun hari masih hujan, keindahan panorama di sepanjang perjalanan masih jelas terpampang, namun untuk ambil gambar kenangan, ianya pasti mengecewakan.
Selepas setengah jam saya tidak betah untuk duduk lagi. Akhirnya saya meninggalkan tempat duduk dan berjalan keluar ke Open-air Viewing Platform . Hanya ada seorang mat salleh orang putih yang berdiri di sini, bersungguh-sungguh mengambil gambar nampaknya. Sungguh, saya jarang melihat pelancong mat salleh yang bersungguh merakam memori sepertinya.
Memang tidak ramai yang berdiri di sini. Kalau ada pun, mereka hanya singgah sebentar cuma. Datang dan pergi.
Subhanallah. Di sini, di Open-air Viewing Platform ini, keindahan yang saya selalu dengari, jelas terbentang di hadapan mata. Tidak sia-sia saya berdiri berjam-jam lamanya.
Benarlah cuaca amat sejuk di South Island, berganda rasanya dibandingkan dengan North Island. Ia juga amat sejuk kerana angin kencang bertiup melawan keretapi yang laju bergerak. Ia seakan-akan bukan summer.
Namun, tidak saya pedulikan kesejukan berganda akibat dari pakaian yang masih belum kering. Tidak saya pedulikan semua itu kerana ia adalah pengalaman yang mungkin sekali seumur hidup.
Tenang rasanya apabila hati terpesona dengan bentuk muka bumi dan kecantikan New Zealand. Segar rasanya dapat menghirup udara segar dan tidak tercemar. Kalut rasanya apabila melawan masa dek keretapi yang sangat laju apabila ketika kadang-kadang cuba mengambil gambar. Ketar jadinya apabila tubuh cuba melawan sejuk.
Kadang-kadang saya akan masuk ke dalam dan duduk apabila tidak dapat menahan kesejukan melampau. Namun saya akan keluar semula selepas rasa sejuk mulai hilang.
Dan ini menjadi momen-momen yang sangat indah apabila hujan sudah reda.
Lebih kurang pukul 7 pm, kami tiba di Christchurch. Ianya dirasai antara 5 jam yang paling singkat dalam hidup saya.
Saya beri bintang yang terbanyak untuk pengalaman menaiki Scenic Train di South Island, New Zealand. Dan sesungguhnya sekiranya ada rezeki lagi, saya pasti akan menggunakan perkhidmatan Scenic Train ini.
No comments:
Post a Comment