Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
Surah At Tiin Ayat 4
Pukul 2.30 pagi. Terjaga dari tidur seperti
biasa. Membuka mata dan hati
terasa pilu. Hari ini kami akan meninggalkan Mekah menuju ke Madinah. Sayu. Dan
sudah terasa rindu.
Walaupun seakan
tidak rela, namun segala yang indah pasti akan berakhir jua. Akhirnya
hari ini tiba juga. Hari yang mana hati terasa amat berat. Hari yang mana
segala-galanya akan menjadi kenangan abadi selepas ini. Yang akan di bawa
sehingga ke hujung nyawa.
Segala persoalan
berlegar di ruang fikiran. Ya Allah mampukah hambaMu ini istiqamah dalam mencari keredhaanMu? Mampukah kemabruran haji di kekalkan?? Ya Allah semoga
kau berikan pedoman. Jadikan kami antara insan-insan yang terpilih untuk berpayung di
bawah keagunganMu.
Sepanjang
perjalanan ke masjid, saya catit segala pemandangan dalam memori. Saya imbau
kembali kenangan-kenangan di sini. Ini adalah kali terakhir saya akan ke
Masjidil Haram melalui jalan ini. Pada masa hadapan tak tentu Tuhan akan
panggil saya ke sini semula. Tiba-tiba alam sekitar terasa sunyi. Hanya
terasa derap kaki saya yang amat berat untuk melangkah. Minda mula bermonolog
sendiri.
Kami tiba di
Masjidil Haram.Kami melakukan rutin-rutin yang biasa kami lakukan di sini. Dan
ini adalah kali terakhir akan kami lakukan semua ini. Iaitu ibadat tawaf yang sangat kami
cintai. Ibadat tawaf yang mana Tuhan janjikan 60 rahmat sehari untuk orang
yang bertawaf. Hati terasa ingin melakukannya beribu-ribu kali lagi. Dan
berjuta-juta kali lagi.
Alhamdulillah kami
dapat ke Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim sekali lagi. Semuanya adalah rahmat Tuhan. HambaMu ini tidak akan berjaya melakukannya tanpa
rahmat dan nikmat Tuhan. Sebenarnya, seumur hidup ini, hambaMu ini tidak pasti apakah mampu menjadi hamba yang sangat patuh
kepadaNya, setelah segala nikmat diberikan olehNya. Mampukah?? Ya
Allah..kasihanilah kami. Jangan kau kembalikan kami kepada hidup yang terhina
setelah kau berikan petunjukMu.
Dan akhir sekali,
selepas Subuh, kami melakukan Tawaf Wadak. Ia adalah Tawaf
Selamat Tinggal.. Tawaf
sebagai penghormatan kepada Baitullah. Hati berulangkali berdoa agar dapat ke
sini lagi. Akan di panggil ke sini semula.
Sewaktu kaki mula melangkah keluar dari Masjidil Haram, kami
menoleh ke belakang. Melihat sekeliling. Seakan tidak mahu melupakan
pemandangan ini. Seakan berat sepasang kaki ini untuk untuk melangkah.
Dan saat-saat
pulang ke hotel, meninggalkan Masjidil Haram. Terbit satu perasaan rindu yang
sukar di gambarkan dengan kata-kata.