Secebis catatan di petik dari Blog Prof Kamil http://www.muhdkamil.org/ yang sedang bermastautin di Madinah. Semoga ianya menjadi iktibar
20
Muharam 1434
DI SINI JADI
INGATAN
"Siapa yang mengacam
penduduk Madinah dengan cara aniaya, maka Allah akan membalas ancamannya,
pastilah untuknya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya"
Hadis diriwayatkan oleh
Nasa'i dari Said bin Khalad. Dipetik dari buku Sejarah Madinah Al Munawwarah
yang disusun oleh beberapa ulama yang diketuai oleh Syaikh Shafiyur Rahman Al
Mubarak Furi terbitan Darussalam.
HARI
INI, genap seminggu Amirul mengalami peristiwa mendebarkan dalam hidup
beliau.
"Amirul kena culik,"
beliau menangis teresak-esak. Allahu Akbar. Kami sangat terperanjat. Lalu saya
memeluk beliau. Ia sesuatu yang tidak pernah atau akan kami fikirkan berlaku di
sini.
Kisahnya berlaku ketika
beliau berjalan ke masjid. Beliau mahu solat subuh di masjid yang agak berjauhan
daripada rumah. Fikirannya mudah. Beliau mahu berjumpa - Omar - rakan berbangsa
Cina di kawasan rumah mereka. Ketika tiba di kawasan yang agak gelap, beliau
ditangkap oleh tiga pemuda Saudi - di dalam lingkungan 20an - dan dibawa lari
dengan sebuah kereta.
Amirul dipukul, diugut
dan diancam. Mereka merampas dompet dan jaket. Ketika tiba di suatu kawasan
mereka memberhentikan kenderaan dan salah seorang daripada mereka mahu mengambil
sesuatu di bonet. Itulah satu saat yang ditunjuk dan digerak Allah untuk
melarikan diri.
Kata Amirul, "mereka
mengejar tetapi Amirul lari ke arah masjid".
"Amirul, pergi sujud
syukur," saya menyatakan kepadanya.
"Sudah... Amirul sujud
syukur di masjid," beliau masih menangis. Lalu saya dan Roza terus sujud ke
lantai berterima kasih kepada Allah SWT kerana memberi perlindungan kepada anak
bujang kami.
Allah ya Allah. Pada hari
yang lain saya nyatakan kepada Amirul,
"Tengok bagaimana Allah
menjaga Amirul. Amirul minta izin mama untuk pergi ke masjid yang jauh dari
rumah kita. Mama tidak benarkan. Amirul ikut hati sendiri. Amirul pergi
juga.
Ayah dan mama tidak tahu
- kadangkala - kenapa bila Amirul minta izin untuk melakukan sesuatu, ayah dan
mama tidak benarkan. Barangkali Allah bagi kelebihan buat ayah dan
ibu.
Amirul kena ingat
peristiwa ini. Namun ayah gembira kerana Amirul tahu sujud syukur, ingat Allah
ketika susah dan tidak lupa ketika terlepas daripada kesusahan tersebut".
Ia berlaku di sini. Dan
ia menjadi ingatan yang berbekas.
No comments:
Post a Comment