Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
Surah Assajjadah Ayat 16
Peristiwa ini terjadi selepas Solat Zohor.
Saya berkira-kira mahu ke Raudhah. Masih menimbang-nimbang. Sebelum ini sudah lima kali ke Raudhah, dan
dengannya datang pelbagai peristiwa dan setiap kali itu juga hati sering
berbisik, inilah kali terakhir ke Raudhah. Tetapi sama sahaja seperti
waktu-waktu yang terdahulu, perasaan masih membara, masih mahu menjejakkan kaki
ke tempat itu setiap kali berada di Masjid Nabawi. Hati meronta-ronta.
Mencari-cari alasan. Mahu ke Raudhah lagi.
Berbelah bahagi.
Mungkin dengan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk solat Hajat dahulu.
Berdoa agar Allah berikan yang terbaik. Jika ada rezeki saya, permudahkanlah Ya
Allah.. Rabbi Yassir Wala Tuassir..
Selepas Solat
Hajat tiba-tiba saya terasa perut memulas. Sakit perut yang amat. Tidak
tertahan. Selalunya saya akan tunggu sahaja sehingga tiba di hotel, kerana
hotel amat dekat. Saya tidak pernah ke tandas masjid seorang diri di sini.
Tandas di Masjid Nabawi ini berada di tingkat bawah, dan terpaksa pula menuruni
tangga atau eskalator. Terasa agak bimbang untuk ke tandas seorang diri.
Namun begitu kali
ini rasa itu tidak tertahan. Saya tidak boleh tunggu lagi. Dengan memohon
perlindungan Allah, saya melangkah ke tandas. Dan akhirnya Alhamdulilah saya
berjaya keluar dari tandas dengan selamat.
Saya masuk semula
ke Masjid Nabawi. Saya membaca Al Quran. Pengawas wanita
berjubah hitam telah memulakan tugas mengasingkan jemaah mengikut kumpulan
bangsa. Saya tidak kemana-mana. Hanya duduk di satu penjuru meneruskan bacaan.
Sambil itu melihat-lihat keadaan. Tiba-tiba hati berbisik. Sekiranya jemaah
terlalu ramai saya akan pulang, tidak jadi ke Raudhah. Tepat pukul 1.15 petang
saya akan pulang ke hotel. Itu kata hati saya, memberikan pilihan.
Tepat pukul 1.15
petang, saya melihat sekitar. Jemaah yang ramai. Tidak boleh ke Raudhah ni,
hati berbisik. Jemaah terlalu ramai. Saya bangun, berdiri. Memulangkan Al Quran
di tempatnya. Berjalan-jalan perlahan ke pintu keluar Masjid Nabawi sambil
memerhati jemaah wanita yang hiruk pikuk kerana begitulah suasananya setiap
kali mahu ke Raudhah.
Saya tiba di pintu
keluar yang biasa di gunakan. Pintu telah ditutup. Saya tidak dapat keluar.
Aneh. Tiada jalan keluar. Tiba-tiba saya ternampak pintu di hujung sekali.
Pintu itu tidak pernah saya gunakan sebelum ini. Pintu itu agak jauh dari
tempat saya berada sekarang, dan saya perlu melalui beberapa kumpulan jemaah
yang telah di kumpulkan untuk ke Raudhah sebelum tiba ke pintu keluar tersebut.
Saya berjalan perlahan-lahan. Dan saatnya saya melalui kumpulan 'Bahasa
Melayu', tiba-tiba pengawas wanita memerintahkan kumpulan 'Bahasa Melayu'
pergi dahulu ke Raudhah. Ya Allah, ini tidak pernah terjadi selama saya di
sini. Sebelum ini kumpulan 'Bahasa Melayu' tidak pernah di panggil begitu awal.
Tidak pernah jadi kumpulan yang pertama selama saya cuba ke Raudhah. Ini rezeki. Tanpa
berfikir panjang saya segera mengikut kumpulan 'Bahasa Melayu' yang telah
bangun untuk menuju ke destinasi. Ya Allah. Saya bersyukur.
Alhamdulillah,
Allahuakbar. Dalam masa sekejap sahaja, saya dapat masuk ke Raudhah
bersama-sama jemaah "Bahasa Melayu" yang lain. Dengan rahmatNya saya
dapat solat di beberapa tempat di dalam Raudhah. Bertukar-tukar. Selesai solat
yang akhir sekali saya terasa belakang mulai berat. Terasa di tolak dari
belakang. Saya melihat kebelakang. Jemaah Indonesia
dan Malaysia
di belakang saya. Kira-kira 3 baris selang ke belakang, Jemaah Asia Selatan
sudah mulai masuk. Menolak dengan tidak sabar. Wajah-wajah cemas jemaah
"Bahasa Melayu" di belakang saya jelas kelihatan kerana di tolak
sebegitu rupa. Mereka meninggikan suara kepada jemaah Asia Selatan di belakang
"Jangan tolak!!" Jemaah Asia Selatan yang sedang menyerbu memang
tidak faham. Atau buat-buat tidak faham. Lebih kuat rasa asakan.
Saya segera
menyelit sedikit demi sedikit ke tepi hadapan, mencari tiang tempat berpaut.
Ternampak tiang besar. Tidak sanggup di tolak sedemikian rupa!!Rabbi Yassir
Wala Tu Assir...berulang kali saya mengucapkan dari hati hingga ke lidah. Hanya
Allah yang saya ingati kerana saya hanya seorang diri, pada ketika itu.
Akhirnya dalam
kepayahan saya berjaya mencapai tiang. Saya menekapkan diri ke tiang. Berdoa
lama. Apabila di tolak saya menjadikan tiang tempat berpaut, Saya sudah tidak
berani untuk solat lagi selepas ketibaan jemaah-jemaah Asia Selatan. Mereka
sangat agresif. Terasa tolakan dan ketidaksabaran mereka. Beberapa ketika
kemudian, bukan saya seorang sahaja yang menekapkan diri, malah beberapa jemaah
yang Melayu juga turut berbuat demikian.
Akhirnya, pukul
1.45 tepat saya berjalan pulang ke hotel. Itulah kenangan Raudhah terakhir saya
pada musim Haji 1432 Hijriah. Saya berdoa ini bukan pengalaman terakhir di
sini. Semoga Allah memberi rezeki untuk saya ke sini lagi.
Hati sayu memberikan salam kepada Rasulullah s.a.w..
No comments:
Post a Comment