Commercial Break

Monday, November 12, 2012

Day 41 (3 Disember 2011) - Bukit Magnet menarik kami (Wadi El Baida), part 2.

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Surah Al Baqarah Ayat 29



Tuan Haji yang memandu memberhentikan enjin kereta dan mengubahnya kepada gear neutral. Kami berdebar-debar menanti. Sunyi sedetik di dalam kereta. Hening sejenak. Yang di dengari hanya bunyi nafas dan degupan jantung sendiri. Secara perlahan-lahan kereta yang telah di matikan enjin tadi, bergerak sendiri. Bergerak menuju ke satu arah. Ke Wadi El Baida atau lebih di kenali dengan nama Bukit Magnet di kalangan jemaah berbangsa melayu. Sinonim dengan namanya, dan seakan di beri kuasa, Bukit Magnet akan menarik sebarang kenderaan untuk bergerak ke arahnya walaupun enjin telah di matikan. Kedudukan tanah tidak menurun, tidak juga mencuram naik. Ia hanya rata. Kami di kedudukan lebih kurang 3 kilometer jaraknya dengan Bukit Magnet semasa enjin kereta diberhentikan.

Pergerakan kereta yang pada mulanya perlahan, menjadi semakin laju. Semakin laju dan akhirnya kelajuan mencapai sehingga 130 KM/jam. Kami teruja. Kami bersyukur. Kami gembira. Wajah-wajah riang di dalam kereta terserlah kerana dapat menikmati pengalaman sebegini. Jika diikutkan, kereta boleh pergi lebih laju tetapi Tuan Haji memohon kebenaran untuk menggunakan brek atas sebab keselamatan! Apa yang lebih mengujakan adalah melihat kenderaan-kenderaan yang lebih besar (Bas, Trak dan sebagainya) turut sama bergerak sendiri.

Itulah suasana dan keadaan yang amat mengkagumkan di Bukit Magnet.

Sebelum itu, untuk sampai ke lokasi ini, perjalanan yang dilalui agak jauh juga. Bagaimanapun tidak membosankan kerana sepanjang perjalanan kami dapat melihat kota Madinah dengan lebih dekat lagi ketika menyusuri kawasan perumahan, kawasan komersil dan juga ladang-ladang. Madinah ternyata indah. Panorama alam dan deretan bukit bakau yang menghiasi kota nabi ini jelas memukau pandangan mata.

Gunung berbatu, hamparan pasir dan pohon-pohon unik adalah tarikan perjalanan dari Madinah ke destinasi ini. Pokok-pokok yang merimbun melindungi dari teriknya panas matahari. 

Setelah bergerak selama kira-kira 30 minit dari Masjid Nabawi kami pun tiba di tempat yang dituju. Dan seterusnya menikmati pengalaman kereta bergerak sendiri bagai ditarik magnet. Kawasan persekitaran Bukit Magnet yang terletak sekitar 30 km dari kota Madinah ini juga begitu cantik pemandangannya walaupun dikelilingi pasir kering yang hanya dihiasi pohon-pohon gurun yang renek.


Menurut pemandu kami, selain daripada keajaiban kuasa magnet, tempat ini juga terkenal sebagai tempat rekreasi kerana cantiknya pemandangan di sini. Kebanyakan penduduk tempatan akan datang ke sini beramai-ramai, membawa keluarga setiap hari Khamis dan Jumaat untuk berkelah.

Oleh kerana uniknya tempat ini, maka ada penduduk tempatan yang menyediakan perkhidmatan kenderaan untuk jemaah haji atau pelawat ke tempat ini.  Caj yang dikenakan oleh mereka ialah sekitar SR100 - 150 ( kenderaan persendirian) atau SR20 - SR40 (bas).

Terkesima kami mendengar caj SR100-150 yang di kenakan. Syukur alhamdulillah atas jasa baik insan-insan yang tidak kami kenali sebelum ini kami sampai juga ke tempat ini secara percuma! Jazakallah kepada semua dan hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian semua..









Setelah puas makan aiskrim dan menikmati pemandangan di sini, kami akhirnya meneruskan perjalanan ke destinasi menarik yang seterusnya..

No comments:

Post a Comment