Commercial Break

Friday, August 17, 2012

Day 36 (27 November 2011, Part 6)- Harumnya bumi Madinah

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Surah Muhammad Ayat 7




Hari yang panjang sudah menghampiri ke pukul 4.00 petang, iaitu selepas Asar waktu tempatan. Bas sudah mulai memasuki Kota Islam yang pertama, Madinah al-Munawwarah, hasil Hijrah kekasih Allah s.w.t. Kota Madinah mulai kelihatan, mengejutkan penumpang yang masih lena dan mengujakan penumpang yang sedang berjaga. Deretan bangunan sudah mulai kelihatan. Jabal Uhud yang merah tersergam megah, menjadi mercu tanda Madinah. Ia bukit kesayangan Rasulullah s.a.w, salah satu tanda syurga di Madinah. 





Kagum. Madinah kota yang terancang, itu perbezaan yang nyata sekiranya dibandingkan dengan Mekah. Memasuki Mekah mengundang debaran dan merasai betapa kerdilnya insan di sisi Allah yang Esa, manakala aura di Madinah memberikan perasaan yang berbeza. Tak pernah di rasai seperti ini. Seumur hidup mengenali Rasulullah, mengetahui serba sedikit hadis-hadisnya, belajar tentang sejarahnya, membaca buku-buku mengenai kisah-kisahnya, berilmu secebis sunnahnya, hari ini saya akui, saya belum pernah benar-benar mengenali dan mencintai penghulu seluruh manusia itu. Menghirup udara Madinah buat pertama kali, diri terasa amat dekat dengan baginda. Haruman dan Hidayah yang di sebarkan oleh baginda rupanya sangat kuat di sini. Seakan terbayang akan pengorbanan dan kebaikan yang telah di curahkan baginda. Ia satu perasaan. Saya seakan dikejutkan dari realiti dan baru terjaga dari perasaan yang sedang tidur selama ini. Perasaan ini bagaikan dahan yang disirami air jernih menghasilkan rimbun yang hijau. 

Rasulullah s.a.w telah berhijrah ke sini bersama Abu Bakar r.a, setelah 13 tahun dakwahnya tidak di terima baik oleh mereka di tanah tumpah darah sendiri di Mekah. Malah baginda dan orang-orang Islam lain bukan sahaja setakat di tindas, malah disisihkan. Mereka yang menindas bukan sahaja terdiri daripada rakan taulan, malah saudara mara sendiri juga. Maka di sinilah, di Madinah yang bertuah inilah jejak kaki baginda di sambut meriah dan baik oleh penduduk di sini. Hati segera ingin mengenali cucu cicit yang moyang mereka sangat bertuah kerana hati lembut mereka mudah menerima Hidayah Rasul tanpa menunggu bertahun-tahun. Itulah penduduk tempatan di sini. Orang Ansar yang menyambut huluran persaudaraan oleh orang Muhajirin. 

Akhirnya bas berhenti di depan hotel kami. Petugas Tabung Haji menaiki bas kami dan memberikan penerangan. Hotel kami hanya 5 minit berjalan kaki jaraknya daripada Masjid Nabawi. Syukur kepada Tuhan. 

Kami dibenarkan mengambil beg sandang dan memasuki bilik. Nombor bilik telah diberi di Mekah sejak awal lagi. Kami melihat jam. Asar sudah lepas maka Maghrib adalah waktu terdekat. Masih sempat lagi mandi dan berkemas. Solat Maghrib di sini harus direbut sekiranya mahu merebut peluang berjemaah di Masjid Nabawi 40 solat. 

Suami menghulur beg roda kecil kepada saya. Beg besar akan di agihkan oleh pihak muassasah ke bilik-bilik kami kemudiannya. “Pergi masuk bilik dahulu. Masih banyak beg lagi di sini.” Dia menunjukkan beg-beg roda kecil kepunyaan mereka yang uzur dan tua untuk di keluarkan dari bas. Saya mengangguk. 

Sebaik sahaja turun dari bas, angin sejuk Madinah menerpa, mencengkam sehingga ke tulang. Terpana seketika. Sebelum ini telah berulang kali di ingatkan tentang cuaca sejuk Madinah ketika ini, tetapi tidak menyangka ia sejuk seperti ini. Angin seterusnya menyapa. Seakan di kejutkan saya segera masuk ke dalam hotel untuk mencari sedikit hangat. 


Al Haram Hotel
Al Haram Hotel. Bau haruman Arab menerpa. Hotel ini sangat besar dan moden berbanding di Mekah. Sangat luas. Terdapat deretan kedai di dalam hotel. Ini tak serupa hotel muassasah seperti yang digambarkan di tanah air. Ini ala-ala Al Safwa Tower Hotel di Mekah. Ini ibarat hotel 4 bintang. Hati saya mengira begitu.

Nampaknya saya orang pertama menjejakkan kaki di bilik ini. Kakak dan makcik-makcik bilik belum sampai lagi. Sempat saya mengambil gambar bilik yang masih belum dihuni.



No comments:

Post a Comment