Sabda Rasulullah s.a.w
"Pahala mengerjakan solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah 1,000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali Masjidil Haram,'
Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maghrib di Masjid Nabawi. Kami sebilik pergi bersama, berlima semuanya. Ianya sangat dekat dan cuma tinggal waktu solat Maghrib dan Isyak untuk hari ini, jadi kami suami isteri mengambil keputusan pergi berasingan.
Kami berlima melangkah bersama ramai lagi jemaah yang lain. Hanya ada setengah jam lagi masuk solat Maghrib. Namun, kerana sangat dekat hanya dengan beberapa minit berjalan, Masjid Nabawi sudah tersergam di depan mata.
.
Masjid Nabawi sangat cantik. Buatannya kemas dan bijak. Suasananya di sini lebih teratur berbanding di Masjidil Haram. Kawasan lelaki dan perempuan di pisahkan sama sekali. Jadi tidak berharapanlah suami isteri, adik abang atau sebagainya yang gemar bersembahyang bersebelahan antara satu sama lain seperti di Masjidil Haram.
Aura kekasih Allah sangat kuat di sini. Selama ini setiap hari kita hidup dengan menyebut-nyebut namanya, memberi salam padanya melalui solat serta kehidupan seharian dan sangat berharap semoga kita di antara yang bertuah memperolehi syafaatnya agar di lindungi di akhirat serta bebas dari azab pedih neraka kelak. Tetapi kita berjarak dengannya selama 1400 tahun dan tidak pernah menatap wajah sucinya. Perasaannya adalah seperti kita rindukan seseorang yang tak pernah kita jumpa. Ia adalah rindu yang tidak dapat di ubati. Hanya dapat melegakannya dengan Al Quran dan Sunnah.
Ya Allah, semoga kita antara yang dipertemukan dengan Rasulullah s.a.w dan dapat menghidu keharuman baginda...
No comments:
Post a Comment