Commercial Break

Tuesday, June 16, 2015

Malam pertama di Mesir


Kapal terbang Saudi Airlines yang kami naiki selamat mendarat di Cairo pada pukul 11.30 malam.

Untuk melepasi imegresen Mesir, barisannya agak panjang. Sambil itu hati sempat berdoa agar semuanya di permudahkan kerana banyak cerita kurang enak yang kami dengar mengenai imegresen Mesir.  

Namun semuanya mudah. Pegawai Mesir di kaunter hanya melihat sepintas lalu muka hadapan passport Malaysia.  Senang sangat di lepaskannya. Ianya di cop dan kami melangkah secara rasmi di Mesir yang selama beberapa minggu mengganggu ritma normal debaran hati. Lega rasa dan serta merta malam hari di Kaherah kelihatan terang.

Kami terus menyelesaikan segala-galanya, mengambil bagasi dan melalui pemeriksaan untuk sekian sekalinya.  Beg-beg kepunyaan penumpang-penumpang di hadapan kami ada yang di buka. Kelihatan mereka periksa setiap inchi di dalam beg. Ada yang di hujani dengan soalan yang bertubi.

Tiba giliran kami, pegawai kastam hanya membelek sepintas lalu passport Malaysia dan terus dilepaskannya kami tanpa lansung menyentuh beg.

Alhamdulillah. Mungkin malam itu tuah memihak. Tuah tidak akan datang tanpa istiqamah doa agar kemasukan detik-detik awal di permudahkan.

Dan akhirnya lega. Detik-detik pertama di Mesir berlansung dengan amat baik.

Akhirnya di balai ketibaan, gembira sangat melihat wajah manis ceria Nazihah di sebalik wajah-wajah Arab Mesir yang berebutkan penumpang untuk menaiki teksi mereka. Dua tahun sudah tidak melihat wajah itu. Pasti ada rindu kami dan rindu dia.

Malam pertama di Kaherah, kami tidur di Rumah Perlis, iaitu rumah anak negeri / rumah tamu yang boleh di sewa sekiranya tidak di gunakan. Ianya amat besar, mempunyai beberapa buah bilik yang berharga daripada 120 le sehingga 200 le satu malam dan terletak di Hayyu Sabi' serta bersambung dengan asrama Rumah Perlis di atas bangunannya. Kami menyewa bilik yang berharga 200 le. Ia merupakan bilik yang paling mahal di rumah Perlis kerana ada attached bathroom di dalamnya. Namun harganya amat berbaloi-baloi lebih-lebih lagi setelah convert ke duit Malaysia yang dua kali ganda lebih besar daripada Egyptian Pound (EP) atau lebih popular dengan panggilan geneh (le).Ianya lebih kurang RM 100 satu malam.

Manakala yang paling murah(120le) ialah bilik dengan pilihan tandas di luar bilik.

Saya rasa ada lebih kurang dalam belas-belas jumlah bilik dalam satu rumah. Selain daripada itu ada ruang tamu, ruang makan, dapur dan mesin basuh.

Ianya bersih dan selesa. Ubat gigi, sabun dan syampu di sediakan.

Walaupun malam sudah agak lewat, namun tidur kami tetap nyenyak kerana amat keletihan setelah berbelas jam dalam perjalanan KUALA LUMPUR-CAIRO.

I

Dan ini gambar daripada hadapan dan luar Rumah Perlis yang di ambil keesokan paginya.






Nota:
Visa ke Egypt bagi warganegara Malaysia ialah percuma dan boleh di dapati terus di kaunter imigresen di airport di Egypt (Visa On Arrival). Namun, bermula 15 Mei tahun 2015, semua pelancong Malaysia ke Mesir perlu membuat permohonan Visa di kedutaan semasa di Malaysia lagi.

Monday, June 8, 2015

Pengalaman melancong ke Turki dan Mesir


Entri ini bersambung daripada entri TRAVELOG EGYPT DAN TURKIYE.

Kami mengambil keputusan untuk menggabungkan pelancongan Mesir dan Turki, kerana kedua-duanya hanya memakan masa selama 2 jam penerbangan (direct flight) di antara satu sama lain. 

Mengikut perancangan, kami akan ke Mesir dahulu untuk ke beberapa tempat bersejarah yang menarik di beberapa daerah di Mesir. Selepas beberapa hari di Mesir, kami akan ke Istanbul melalui Cairo. Dan seterusnya, setelah beberapa hari di Turki, kami akan ke Cairo semula, dan dari Cairo kami akan pulang ke Malaysia.

Untuk tujuan ini, ada dua syarikat penerbangan yang di pilih:

1) Saudi Arabian Airlines – KUL–CAI–KUL ( Return Ticket) = RM 1,710 per pax
    a) KUL-CAI ( transit di Jeddah selama 3 jam) 
    b) CAI-KUL (transit di Riyadh selama 1 jam)

2) Turkish Airlines – CAI–IST-CAI (Return Ticket, Direct Flight) = RM 1,137 per pax.

Kami memilih Saudi Arabian Airlines kerana ia adalah syarikat penerbangan yang menawarkan harga yang PALING MURAH ke Cairo semasa kami booking tiket ini 5 bulan sebelum tarikh penerbangan. Tambahan pula, transit di Jeddah (KUL-CAI) adalah yang paling singkat berbanding syarikat penerbangan lain. Begitu juga dengan perbangan pulang ke Malaysia, transit di Riyadh hanya memakan masa selama satu jam sahaja.

Untuk penerbangan Cairo-Istanbul-Cairo pula, ada juga beberapa syarikat penerbangan lain yang menawarkan harga yang sedikit murah tetapi kami memilih Turkish Airlines kerana ia adalah penerbangan tanpa henti selama dua jam. Hanya ada dua sahaja direct flights bagi penerbangan di antara Cairo dan Istanbul iaitu Egypt Air dan Turkish Airlines. Banyak lagi penerbangan di antara Cairo-Istanbul, seperti Aegean Arlines dan Royal Jordanian Airlines, tetapi kesemuanya transit yang mengambil masa yang agak lama iaitu di antara 4- 10 jam. Mungkin juga memakan masa lebih daripada itu.

Tempahan tiket Saudi Arabian Airlines adalah melalui website Saudi Airlines sendiri. Maklumat penerbangan Saudi Airlines ini tidak muncul di website seperti Sky Scanner, Expedia dan sebagainya walaupun ia yang menawarkan harga yang termurah ke Cairo semasa itu. Jadi, kalau ingin cuba perkhidmatan Saudi Airlines, memang harus melalui website Saudi Airlines. Pembayaran juga tidak boleh di lakukan secara online melalui proses biasa kad kredit Malaysia. Untuk pembayaran tiket dan seterusnya pengesahan tempahan, ianya perlu di lakukan di pejabat Saudi Arabian Airlines Malaysia – Kuala Lumpur di Megan Phileo Avenue, Jalan Yap Kwan Seng. 

Ini adalah pengalaman pertama kali kami menaiki Saudi Arabian Airlines dan Turkish Airlines.

Pesawat Saudi Arabian Airlines yang kami naiki iaitu Boeing 777 dengan tempat duduk 3-4-3 satu barisan, ianya cukup luas dan selesa:


CHECK-IN
Urusan check-in sangat berjalan lancar. Oleh kerana penerbangan ke Cairo kali ini adalah transit di Jeddah, maka hampir keseluruhan penumpang ialah rakyat Saudi, dan lebih kurang 30% ialah rakyat Malaysia yang mahu ke Mekah untuk menunaikan umrah. Jumlah beg yang dibenarkan untuk check-in ialah 2 bagi seorang, dengan maksima berat 23 kg per beg (total 46 kg per pax). Manakala hand-carry yang dibenarkan ialah 7 kg seorang. Saya rasa ianya sangat-sangat banyak dan amat memuaskan hati bagi yang sangat memerlukan.

BOARDING
Lebih kurang sama sahaja seperti flight lain-lain. Walaupun senyuman tidak semanis seyuman krew Malaysia Airlines, tapi mereka tetap tersenyum. Oh ya cuma bagi pesawat ini, surat khabar di agih-agihkan oleh kabin krew sejurus semua penumpang duduk di tempat masing-masing, berbeza dengan Malaysia Airlines yang menempatkan suratkhabar di penti masuk kapal terbang. Hampir semua suratkhabar yang di tawarkan ialah di dalam Bahasa Arab. 

KABIN
Cantik. Canggih. Seat baru, luas dan selesa. Nyenyak tidur. Di sebabkan kapal terbang tidak penuh semasa penerbangan KUL-Jeddah dan Riyadh-KUL, maka ramai sungguh yang tidur berbaring di tutupi selimut di atas seat . Business Class pun tak rasa macam ni.

MEAL ON BOARD
Memang layak di puji. Ada pelbagai variasi di dalam satu hidangan. Jika yang suka makanan Arab terutamanya nasi Arab, memang sangat-sangat berbaloi. Percayalah, sampai tak larat nak makan. Untuk perjalanan dari KUL-CAI dan juga CAI-KUL, ada tiga kali waktu makan yang heavy. Sehinggakan kami hanya minta satu sahaja set meal untuk di kongsi berdua semasa flight Jeddah-Cai sebab dah kenyang sangat. Manakala sewaktu flight Riyadh-KUL pula, kami minta pramugari tidak kejutkan dari tidur untuk makan malam, (bukanlah malam pun, rasanya lebih kurang pukul 1 pagi) dan hanya minta hidangan sarapan sahaja pada keesokannya.

Untuk yang dahaga, nak request air, jus or teh anytime pun mereka tak keberatan hidangkannya untuk penumpang. Memang puas hati.







IFE ( IN-FLIGHT ENTERTAINMENT)
Monitor terpasang di belakang tempat duduk dengan dengan pelbagai hiburan filem dan cerita bersiri yang terdiri dari pelbagai genre. Banyak pilihan.Paling istimewa, ada alunan AlQuran oleh imam-imam Masjidil Haram.
Selain dari itu, ada juga di sediakan maklumat penerbangan yang up-to-date. 

SERVIS
Best! Ada selimut dan bantal. Ada juga comfort kit yang sangat lengkap seperti berus gigi, ubat gigi, stoking, penutup mata dan lain-lain.

PRAMUGARI / PRAMUGARA
Pramugarinya bukan rakyat Arab Saudi, tetapi daripada pelbagai negara. Tidak pastilah samada kerana kami bernasib baik, layanan yang diberikan sangat baik walaupun sebelum ini kami dengar pramugara dan pramugari Saudi Arabian Airlines agak kasar. Tetapi untuk penerbangan kali ini, memang tidak begitu. Mereka sangat professional dan mesra.

LANDING
Seperti biasa, entah mengapa inilah saat-saat yang amat mendebarkan bagi saya walau apa jua jenis penerbangan yang saya naiki. Dan saya bersyukur kali ini, hentakannya tidak kuat. Memang tabik spring kepada pilot Saudi Arabian Airlines yang bertugas ketika itu.
Pemandangan Jeddah pada waktu malam.


OVERALL
Saya sangat berpuas hati. Kalau ada tambang murah ke destinasi pilihan, saya tidak akan teragak-agak untuk memilih Saudi Airlines sekali lagi.



Transit di Jeddah, pemeriksaannya agak ketat. Untuk wanita, harus masuk ke sebuah bilik kecil dan di situ penumpang akan di periksa ketat oleh pegawai wanita yang berwajah garang. Kalau yang pakai boot, memang wajib buka. Apa yang ada di dalam stoking pun di periksa sekali.
Lelaki juga di periksa, tetapi hanya di sini.

Satu perkara yang saya amat suka, walaupun airport Jeddah agak kecil dan penuh, tetapi sesungguhnya suasana di sini amat menggamit memori tahun 2011. 

Nota: Untuk pengalaman bersama Turkish Airlines, saya akan catitkan semasa travelog Turki.


Tuesday, May 26, 2015

Travelog Egypt dan Turkiye

Hairan dengan diri sendiri, sesungguhnya saya merindui kedua-dua buah negara ini.

Aneh. Sebelum menjejakkan kaki ke negara-negara ini, saya lebih teruja untuk melihat yang lagi satu berbanding yang satu lagi. Manakala apabila terfikirkan yang satu itu, hati agak resah untuk menjejak, lebih-lebih lagi apabila membayangkan pelbagai cabaran yang harus di tempuhi semasa disitu nanti.

Namun setelah mengalami pelbagai kenangan pahit manis dengan kedua-duanya, serius saya tidak betah untuk memilih yang mana satu yang lebih baik. Kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Apabila ada cinta, di situlah datangnya rindu.

Egypt dan Turkiye, atau rata-rata orang kita mengenalinya sebagai Mesir dan Turki.

Turki negara unik. Petanya gabungan benua Eropah dan Asia. Sejarah dan tamadunnya sangat istimewa, wujud sejak zaman purba. Bayang-bayang kegemilangan Kristian juga masih jelas di buminya. Berkesinambungan sehingga ke empayar Uthmaniyah. Dan kemudian era Mustafa Kamal Ataturk yang penuh kontroversi. Bentuk muka buminya indah dan mengkagumkan. Penduduknya ramah dan suka membantu walau ramai yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Terbukti, memang sungguhlah benarnya, Turki  memikat hati kami seawal jejak dan langkah pertama kaki ini mencium tanahnya. Segala-gala yang di lihat, tidak cukup dengan hanya sekali pandang.

Mesir pula sangat sinonim dengan Nabi Musa dan Firaun. Sebelum ini pun, ia menjadi tumpuan jutaan pelancong yang mahu melihat sendiri piramid di Giza yang di ikhtiraf sebagai salah satu keajaiban dunia. Padang pasirnya sangat halus, cantik, putih dan bersih. Tamadunnya, tidak terfikir dek akal biasa jika tiada bukti. Namun, tidak mudah untuk jatuh cinta pada negara ini seawal pandang pertama. Pengalaman bak berada di pasar malam semasa berada bersama hampir 98% rakyat Egypt di dalam kapal terbang Saudi Airlines dari Jeddah ke Cairo (Kaherah), dan juga sifat tidak sabar-sabar mereka untuk turun dari kapal terbang sebaik sahaja kapal terbang mendarat di Cairo hinggakan pramugari-pramugari cantik Saudi Airlines pun tidak mampu mengawal mereka, semuanya petanda awal bahawa hati harus tegar semasa berada di bumi ini. Namun di akhirnya, ada sesuatu yang memikat hati, seakan terpanggil untuk kembali. Apa sangat yang membuatkan hati tertawan?

Pada yang ingin tahu, tunggu sehingga tamat travelog Mesir dan Turki yang bakal saya kongsikan bab demi bab InsyaAllah.

Di akhirnya nanti, selain travelog perjalanan dan kisah, saya juga akan berkongsi itinerari Mesir dan Turki.  Paling istimewa juga itinerary ini sedaya upaya di gubah dan di ubahsuai agar perjalanan di Mesir dan Turki seselesa mungkin dengan kos seminima yang boleh. 

Jika ada yang tidak sabar menanti, saya juga tidak sabar-sabar mahu bercerita tentang keajaiban Mesir dan Turki.

Semoga Allah permudahkan saya menulis. Ameen.