Commercial Break

Tuesday, May 26, 2015

Travelog Egypt dan Turkiye

Hairan dengan diri sendiri, sesungguhnya saya merindui kedua-dua buah negara ini.

Aneh. Sebelum menjejakkan kaki ke negara-negara ini, saya lebih teruja untuk melihat yang lagi satu berbanding yang satu lagi. Manakala apabila terfikirkan yang satu itu, hati agak resah untuk menjejak, lebih-lebih lagi apabila membayangkan pelbagai cabaran yang harus di tempuhi semasa disitu nanti.

Namun setelah mengalami pelbagai kenangan pahit manis dengan kedua-duanya, serius saya tidak betah untuk memilih yang mana satu yang lebih baik. Kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Apabila ada cinta, di situlah datangnya rindu.

Egypt dan Turkiye, atau rata-rata orang kita mengenalinya sebagai Mesir dan Turki.

Turki negara unik. Petanya gabungan benua Eropah dan Asia. Sejarah dan tamadunnya sangat istimewa, wujud sejak zaman purba. Bayang-bayang kegemilangan Kristian juga masih jelas di buminya. Berkesinambungan sehingga ke empayar Uthmaniyah. Dan kemudian era Mustafa Kamal Ataturk yang penuh kontroversi. Bentuk muka buminya indah dan mengkagumkan. Penduduknya ramah dan suka membantu walau ramai yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Terbukti, memang sungguhlah benarnya, Turki  memikat hati kami seawal jejak dan langkah pertama kaki ini mencium tanahnya. Segala-gala yang di lihat, tidak cukup dengan hanya sekali pandang.

Mesir pula sangat sinonim dengan Nabi Musa dan Firaun. Sebelum ini pun, ia menjadi tumpuan jutaan pelancong yang mahu melihat sendiri piramid di Giza yang di ikhtiraf sebagai salah satu keajaiban dunia. Padang pasirnya sangat halus, cantik, putih dan bersih. Tamadunnya, tidak terfikir dek akal biasa jika tiada bukti. Namun, tidak mudah untuk jatuh cinta pada negara ini seawal pandang pertama. Pengalaman bak berada di pasar malam semasa berada bersama hampir 98% rakyat Egypt di dalam kapal terbang Saudi Airlines dari Jeddah ke Cairo (Kaherah), dan juga sifat tidak sabar-sabar mereka untuk turun dari kapal terbang sebaik sahaja kapal terbang mendarat di Cairo hinggakan pramugari-pramugari cantik Saudi Airlines pun tidak mampu mengawal mereka, semuanya petanda awal bahawa hati harus tegar semasa berada di bumi ini. Namun di akhirnya, ada sesuatu yang memikat hati, seakan terpanggil untuk kembali. Apa sangat yang membuatkan hati tertawan?

Pada yang ingin tahu, tunggu sehingga tamat travelog Mesir dan Turki yang bakal saya kongsikan bab demi bab InsyaAllah.

Di akhirnya nanti, selain travelog perjalanan dan kisah, saya juga akan berkongsi itinerari Mesir dan Turki.  Istimewanya Itinerari ini ialah hampir kesemuanya atas usaha sendiri, dengan input Encik Suami (Turki) dan juga adik ipar, Nazihah (Mesir).Paling istimewa juga itinerary ini sedaya upaya di gubah dan di ubahsuai agar perjalanan di Mesir dan Turki seselesa mungkin dengan kos seminima yang boleh. 

Jika ada yang tidak sabar menanti, saya juga tidak sabar-sabar mahu bercerita tentang keajaiban Mesir dan Turki.

Semoga Allah permudahkan saya menulis. Ameen.





2 comments:

  1. TQ..RUJUKAN UNTUK SY UNTUK PERGI TIDAK LAMA LAGI...

    ReplyDelete