Commercial Break

Sunday, August 16, 2015

Sinai dan Kisah Nabi Musa a.s

Sinai, ianya sebuah nama yang berulangkali di revise di dalam itinerari. 

Sejak dahulu, buminya telah beberapa kali menyaksikan konflik dan ketegangan di antara manusia berlainan negara. Termasuklah Israel yang pernah menceroboh dan menduduki. 

Kebelakangan ini, Sinai juga banyak menyaksikan serangan ke atas pelancong asing. Beberapa siri kejadian serangan bom yang banyak mengorban nyawa sejurus sebelum kedatangan kami, membuatkan mana-mana hati berbelah bahagi.

Sejarah pahitnya amat panjang untuk di ceritakan.

Namun, sesungguhnya pesona Sinai amat menggamit.

Siapa yang tidak mahu menyaksikan sendiri Jabal Musa, lokasi ajaib Nabi Musa berkata-kata dengan Tuhan?

Juga, serasa tidak mampu untuk menolak dari merasai angin yang melalui Terusan Suez, iaitu terusan buatan manusia yang terbesar yang menghubungkan benua Afrika dan Asia malah merasa debarnya berada hampir di garisan yang memisahkan Egypt-Israel.

Sinai di apit di antara Laut Mediterranean di sebelah utara dan Laut Merah di selatannya. Ia merupakan satu-satunya wilayah Mesir yang terletak di benua Asia. 

Sesungguhnya, tidak lengkap kunjungan ke Mesir tanpa Sinai.

Dan akhirnya, nama Sinai tetap tercatit dalam itinerari lantas melakar sejarah tersendiri bagi kami.

Pukul 7.30 pagi, awal-awal lagi kami telah memulakan perjalanan bersejarah ke Sinai. Sesungguhnya ia adalah perjalanan yang di selang seli dengan debaran dan juga santai. Ia penuh santai apabila kami di jamu oleh celoteh selamba tanpa henti Ustaz Mat Thailand, yang seolah-olah tidak ambil pusing lansung dengan senario di Sinai. 

Mata juga tidak jemu dan terasa nyaman menyaksikan keindahan padang pasir halus bumi Mesir. Ramai yang kata, bukit bukau di sini sama seperti di Grand Canyon.




Sesekali terasa debar terutama apabila passport diperiksa dengan teliti oleh askar Mesir sebelum kami dibenarkan memasuki Sinai melalui terowong di bawah Terusan Suez. 


Ada askar memegang senapang di puncak bukit. 

Melalui terowong di bawah Terusan Suez

Sepanjang awal laluan dipenuhi dengan askar memegang senapang yang memerhati dengan penuh waspada dari atas puncak bukit dan selepasnya perlu melalui puluhan checkpoints untuk pemeriksaan ketat askar. Mujurlah Ustaz Mat Thailand yang fasih berbahasa Arab berjaya menjawab soalan askar lantas menepis segala sangsi yang mungkin wujud. Oleh kerana itu, kami juga berjaya melalui Wadi Zafran yang sebelum ini di tutup kerana keadaan yang bahaya. Daripada pemerhatian, tidak semua kenderaan di benarkan melalui laluan tersebut. Mereka terpaksa melalui jalan yang extra 3 jam untuk tiba di destinasi tujuan iaitu Jabal Musa/Mount Sinai/St Catherine.

Antara checkpoint utama di Sinai

Ada askar yang mengawal dengan penuh waspada di atas tembok putih. Siap dengan senapang. Masa ni rasa macam feeling-feeling nak gi buat dokumentari Majalah 3 pun ada. 

Kapal-kapal yang melalui Terusan Suez. Terusan Suez ini yang membenarkan laluan air secara dua hala. Ia penting kepada Eropah dan Asia, tanpa perlu mengeilingi Benua Afrika.

Salah satu kem askar


Ada beberapa tempat bersejarah yang menarik yang telah kami singgah di sepanjang laluan di Sinai.

1) Hamam Firaun

Gua Sauna - tempat Firaun mandi semasa musim panas.Di percayai kadar kepanasan seperti sauna di sini boleh mengubati penyakit seperti penyakit sendi dan kulit kerana kandungan sulfur yang tinggi.


2) Uyun Musa (Telaga Nabi Musa a.s)



Selepas Nabi Musa a.s dan Bani Israel terselamat dari kekejaman Firaun, iaitu sejurus Nabi Musa a.s membelah Laut Merah dengan mukjizat tongkat, Baginda a.s dan Bani Israel meneruskan perjalanan ke Semenanjung Sinai.


Ketika Bani Israel meminta air daripada Nabi Musa kerana kehausan, Baginda memukul batu dengan tongkatnya. Daripada batu itu keluar 12 mata air untuk 12 kabilah Bani Israel. 



Ayat 160, surah al-A’raf yang bermaksud: 
“Ketika kaumnya meminta air kepadanya, maka pukullah batu itu dengan tongkatmu wahai Musa, maka terpancarlah 12 mata air tiap-tiap golongan antara mereka mengetahui tempat minum masing-masing.” 


Kewujudan 12 mata air daripada batu ialah antara mukjizat tongkat Nabi Musa selain membelah laut dan menjadi ular. 


Selepas peristiwa ini, Baginda kemudian meneruskan pendakian untuk menerima kitab Taurat. 

Telaga ini ada dua di lokasi yang kami kunjungi. Telaga ini tidak pernah kering hingga sekarang walau di tengah padang pasir yang kering kontang.


Telaga Nabi Musa ialah yang ada batu-batu bulat itu (salah satunya) dan yang di belakang nun jauh di sana yang berwarna biru itu ialah Laut Merah (Red Sea)
  
Pemandangan di sekitar Uyun Musa

3)  Maqam Nabi Salleh a.s

4) Maqam Nabi Harun a.s 


5) Samiri

Ketika Nabis Musa a.s pergi bermunajat kepada Alah sw.t dan ketika itu hanya tinggal Nabi Harun a.s, Bani Israel mulai meragui kenabian dan agama yang di bawa oleh S.W.T.

Salah seorang ketua mereka yang bernama Samiri telah menghimpunkan emas, perak dan barang perhiasan lalu membentuk seekor anak lembu dan meminta kaumnya supaya menyembah dan menyembelih korban kepada Tuhan baru mereka.

Dikatakan pancaran daripada emas yang membentuk patung tersebut terkena ke bukit dan membentuk ukiran seekor lembu. Ukiran ini dapat dilihat dengan jelas di bukit. Ada pendapat yang menyatakan ia bukan hasil pancaran dari patung emas tersebut tapi cuma kesan luluhawa yang membentuk seperti lembu. Wallahualam.

Ia terletak berhampiran Makam Nabi Harun dan Telaga Musa.

Perhati dan tengok betul-betul, baru nampak Samiri di atas bukit sana. Kalau tengok sepintas lalu memang tak perasan.




Kami tiba St. Catherine menjelang petang selepas melalui puluhan lagi checkpoints lebih-lebih lagi apabila menghampiri St Catherine.







Kami check in di Bedouin Camp & Guest House iaitu sebuah chalet kepunyaan orang Badwi. Ianya bersih dan tenang, terletak betul-betul di dalam perkampungan orang Badwi.

Kami tidur sebentar untuk mengumpul kembali sisa tenaga sebelum mendaki Jabal Musa /Mount Sinai/St Catherine yang dijadualkan pada pukul 12 malam nanti.

1 comment: