Commercial Break

Tuesday, July 28, 2015

Alexandria National Museum

Aroma seram memenuhi setiap ruang. Patung Anubis yang berkepala anjing gurun menyambut di pintu masuk, memandang garang seakan mahu menerkam dan meratah. Menurut kepercayaan Mesir Kuno, Anubis adalah dewa kematian, yang kononnya berhubungan dengan mummies (mumia) sebagai simbol wujudnya kehidupan selepas menjadi mumia.

Suhu di rasakan amat dingin, sememangnya kerana bilik itu lebih beku berbanding bilik-bilik sebelum ini. Paling berbeza, ianya terletak di bawah tanah, dan hanya di terangi dengan lampu oren yang agak malap sinarnya. Bauan aneh kuat menusuk hidung, agak menyesakkan dada di ruangan yang sempit itu. Suasana sunyi sepi, lantas menyedarkan bahawa hanya kami bertiga makhluk bernama manusia yang berada di dalam bilik tertutup itu. Hati semakin rasa tidak enak.

Kami berjalan menghampiri hujung bilik sambil melihat artifak yang di pamerkan di kiri dan kanan. Tiba-tiba terlihat sekujur tubuh kaku yang di balut kemas di dalam bekas kaca sebesar manusia. Mulanya antara percaya atau tidak, patungkah atau ianya benar-benar mumia di hadapan mata. Allah, itulah nama yang pertama menjengah di hati sebaik sahaja tahu akan kebenaran. Bulu roma tegak berdiri. Minda bermain dengan perasaan.  Masih jelas di ingatan akan balutan yang terkopek sedikit dan ternampak isi di dalam.

Alexandria National Museum ini terletak di Tariq Al-Horreya Street (dahulunya ialah Rue Fouad) dan mendapat rating yang tinggi oleh TripAdvisor.

Ianya mempamerkan lebih daripada 1,800 artifak yang memaparkan sejarah Alexandria khususnya dan Egyptnya umumnya. Kesan-kesan dari zaman sebelum Firaun (Greco Roman), sehinggalah ke zaman keagungan Islam dan seterusnya zaman moden Iskandariah jelas di rasai di sini.Ini termasuklah koleksi-koleksi daripada zaman Ancient Egyptian, Coptic dan Islam dan juga objek-objek daripada zaman Hellenestic dan juga abad ke 20.
Ianya juga mempunyai penerangan yang lengkap di dalam Bahasa Arab dan Inggeris di setiap artifaknya, tidak seperti di kebanyakan tempat bersejarah dan pelancongan di Egypt.

Bayaran masuk sebanyak 30 EP adalah berbaloi terutamanya bagi penggemar sejarah dan peminat koleksi lama. Muzium ini di buka daripada pukul 9.00 pagi sehingga 4.00 petang.

Pelawat tidak di benarkan mengambil gambar di dalam bangunan muzium.

Tips untuk ke sini, beritahu pemandu teksi yang anda mahu ke “Met-haf al-iskandariya al-qawmiyya”. Tiada pemandu teksi yang tahu jika anda menyebut “Alexandria Natioanal Museum”.

Tadinya, kami hampir berperang dengan pemandu teksi yang mengatakan tahu dimana lokasi muzium tetapi hampir setengah jam berpusing-pusing di jalan yang sama namun tidak juga berjumpa dengan Muzium yang di cari. Kami akhirnya turun dan bertanyakan orang akan jalan kearah Muzium dan akhirnya berjaya sampai ke tempat ini dengan berjalan kaki.

Sesungguhnya perjalanan sukar ke muzium ini amat berbaloi dan ia merupakan lokasi yang wajib di kunjungi sekiranya sudah berada di Alexandria.


Alexandria National Museum dan papan tandanya yang hampir jatuh. Namun jangan risau, bangunannya masih cantik dan terjaga rapi.

No comments:

Post a Comment