Commercial Break

Wednesday, February 8, 2012

Day 14- (6 November 2011) Part 2 - Tawaf Rukun

Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Surah Al Kahfi, Ayat 49.



Mereka yang bergerak terus dari Jamrah ke Masjidil Haram untuk menunaikan Tawaf Rukun, ini di kawasan Jamrah. Helicpter view, sumber google

Kami tiba di masjidil haram lebih kurang pukul 10.15 pagi. Lebih kurang 1 jam lamanya perjalanan kami. Perut sudah menjerit minta diisi. Kami belum breakfast lagi. Apatah lagi tenaga yang digunakan bukan calang-calang. Kerana itu kami membuat keputusan untuk makan, mandi dan berehat tidur di hotel sebelum menyempurnakan Tawaf Rukun. Sangat enak mandi dan tidur di hotel...tetapi sebelum benar-benar hilang lelah kami, saya dan suami bertolak semula ke Masjidil Haram lebih kurang pukul 2.45 petang untuk menyempurnakan Tawaf Rukun. Kami perlu balik semula ke Mina menjelang malam.Ini kerana kami perlu memenuhi syarat bermalam di Mina (sekurang-kurangnya 6 jam). Kak Ida dan suami sudah mendahului kami.


Sembahyang Asar di Masjidil Haram...

Tidak sengaja terserempak dengan Kak Ida dan suami selepas Asar. Walaupun telah sampai lebih awal, tetapi mereka belum memulakan tawaf walau satu pusingan. Mereka memberitahu Tawaf di dataran Kaabah sangat penuh, penuh yang luar biasa. Tolak menolak berlaku dengan hebat. Beberapa lelaki bertubuh besar berketurunan Afrika dan juga gagah kudratnya telah pengsan akibat terlalu penuh dan tolak menolak yang hebat. Ribuan Jemaah Haji ni nak sempurnakan tawaf rukun ketika itu juga. Jika kebiasaanya, hanya pihak Polis Saudi yang bertugas mengawal ketika waktu puncak ini pihak Askar Saudi turut serta dalam operasi kawalan. Petugas perubatan juga tidak menang tangan datang untuk menyelamatkan keadaan. Kak Ida dan suami tidak berani nak masuk untuk bertawaf. Apatah lagi pertembungan akan berlaku dengan mereka yang gagah. Tiada langsung kelihatan kelibat jemaah haji Malaysia dalam lautan jutaan manusia ini. Kebanyakan jemaah haji Malaysia menunggu melontar kesemua Jamrah, iaitu selepas balik dari Mina, baru mereka akan menunaikan Tawaf Rukun.

Ramai yang luar biasa..tidak mampu masuk
Selepas berbincang kami sepakat untuk bertawaf di tingkat satu masjidil haram demi keselamatan. Di tingkat satu senario yang sama juga kelihatan. Berasak-asak manusia. Berpusu-pusu. Tawaf di tingkat satu dikala itu adalah bersamaan dengan Tawaf di dataran pada hari yang biasa. Sangat penuh. Sangat padat.


Tawaf pada hari itu menyebabkan tekak terasa kering. Beberapa kali tersepit. Seperti di hujung nyawa. Seumpama di padang masyar. Manusia tidak sabar. Masing-masing berpusu-pusu, menolak yang berada di hadapan kerana mahu cepat selesaikan tawaf. Tolakan yang sangat hebat menyebabkan ramai askar terpaksa berkawal di laluan tawaf tingkat satu ini, terutama di penjuru hajar aswad, menggesa mereka yang tawaf agar tidak berhenti di penjuru hajar aswad untuk berdoa, tetapi seperti kebiasaan, mereka yang degil tidak makan saman.

Tawaf di tingkat atas pun penuh sesak.

 
Tawaf yang bermula selepas asar, akhirnya selesai setengah jam selepas Maghrib. Kami hanya berhenti untuk sembahyang Maghrib sahaja.

Selepas azan, muezzin terus melaungkan qamat untuk solat fardhu tidak seperti kebiasaannya memberi laluan kepada solat sunat. Imam segera melaksanakan solat Fardhu sejurus azan. Ianya dengan satu niat yang baik. Untuk memberi kesempatan kepada mereka yang bertawaf agar segera selesai.

Pada ketika itu, Kak Ida dan Abg Bujang yang menyambung tawaf di Tingkat 2 setelah hanya separuh jalan Tawaf di Tingkat 1 kerana tidak tahan dengan tolakan, belum lagi nampak bayang, dan belum lagi selesai tawaf. Kami tertanya-tanya. Kami agak risau dengan keselamatan mereka.

Alhamdulillah, akhirnya kami bertemu mereka selepas Isya'. Kelihatan wajah mereka yang keletihan.

"Tawaf di tingkat dua sama hebat dengan di tingkat 1," kata mereka.

"Lebih teruk lagi, mereka yang bertawaf enggan bergerak dan keluar dari laluan tawaf untuk menunaikan solat maghrib. Mereka menghalang kami yang mahu keluar. Mereka solat Maghrib di laluan tawaf. Tidak masuk ke saf. Mereka sembahyang berdiri. Entah mazhab mana yang mereka ikuti. Kami tidak mampu bergerak keluar, di marahi oleh mereka apabila mahu berbuat demikian. Kami terperangkap antara mereka. Di celah-celah mereka.Terpaksa kami menunggu sehingga selesai solat Maghrib, baru kami dapat keluar dari laluan tawaf untuk solat, tetapi tanpa mengikut imam." cerita mereka dengan lebih lanjut lagi.
 
Menjelang malam...semakin penuh sehinggakan mereka yang bertawaf di dataran ada yang selepas 4 jam baru selesai...dan mereka bertawaf hingga ke tepi yang mungkin...




Tawaf tingkat satu pun semakin penuh menjelang malam!!










Ia adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seakhir hayat ini. Ia menginsafkan dan menguatkan kami. Ia seumpama di padang masyar. Malahan kami sedar, di padang masyhar ianya pasti amat teruk sekali bagi mereka yang tidak beramal. Semua manusia akan berjalan mengikut amal masing-masing. Masa itu tinggalkan saudara, atau rakan taulan...


Setelah selesai..kami pulang ke hotel untuk bersiap-siap pulang ke Mina. Cadangannya kami ingin menaiki kenderaan sewa sahaja untuk ke Mina kerana badan sudah keletihan. Bagaimanapun, oleh kerana tambang yang dikenakan amatlah mahal (50 riyal seorang atas bumbung bas/van atau 70 riyal seorang dalam bas/van) disamping tiada jaminan akan dihantar ke khemah Malaysia secara terus membuatkan kami terpaksa meneliti alternatif lain.

Kami akhirnya bertolak ke Mina dengan berjalan kaki, perjalanan bermula lebih kurang pukul 9.00 malam.

Monday, February 6, 2012

Day 14- (6 November 2011) Part 1 - Melontar Jamratul Aqaba

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?"
(Surah AlRahman, ayat 36)


Bas tiba di Mina pada pukul 4.00 pagi. Khemah-khemah di Mina telahpun di penuhi oleh ramai jemaah haji kerana bas yang kami naiki untuk kesini adalah antara bas yang terakhir.

Baru sebentar melabuhkan punggung dan belum berkesempatan untuk menghilangkan lelah semalam, pihak Tabung Haji telah mengumumkan agar Jemaah Haji bersedia berkumpul pada pukul 4.30 pagi untuk melontar Jamratul Aqaba. Melontar jamrah adalah antara perkara-perkara wajib ketika menunaikan ibadat haji di Mekkah. Kebiasaannya, melalui nasihat-nasihat yang diberikan melalui kursus-kursus haji, jemaah Haji sering dinasihatkan agar mematuhi arahan tabung haji untuk melontar pada waktu yang ditetapkan, untuk mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku. Antara waktu yang akan dielakkan oleh tabung haji ialah waktu afdhal, kerana waktu tersebut adalah waktu puncak yang mana ramai jemaah haji negara lain beramai-ramai dan berpusu-pusu keluar untuk tujuan melontar.


Saya segera mengejar masa, menyiapkan apa yang patut dan paling tidak lupa ialah membawa batu-batu untuk tujuan melontar. Tanpa berlengah lagi tepat pada pukul 4.30 saya dan kebanyakan yang lain menuju ke tempat yang diarahkan untuk berkumpul dan bersedia.

Lebih kurang 15 minit menunggu, tiba-tiba Tabung Haji membatalkan rombongan tersebut. "Mutawif tidak jadi bawa," katanya. Kami mengeluh. Ramai yang mengeluh.

Saya, suami, Abang Bujang dan Kak Ida mengambil kata sepakat untuk melontar pagi itu juga, selepas menunaikan solat Subuh. Badan yang letih dan mata yang mengantuk akibat kurang rehat sejak semalam tidak mematahkan semangat kami. Tidak kami pedulikan. Ia seakan-akan tidak memberi kesan kepada semangat kami. 

Sebelum itu suami telah memberitahu yang dia telah memerhati keadaan. "Sangat ramai yang menuju ke tempat melontar," katanya.

Mungkin kerana ianya adalah waktu afdhal. Sebenarnya ada pendapat yang berbeza mengenai waktu afdhal melontar. Ada pendapat yang mengatakan waktu Dhuha, dan ada yang mengatakan selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari.
Kami berjalan dari khemah kami ke Jamrah lebih kurang mulai pukul 7.45 pagi.

Jarak khemah Malaysia dan jamrah lebih kurang 2.9 km sehala.Keluar dari kawasan kawasan khemah, kami telah nampak ramai yang berpusu-pusu menuju ke Jamrah.

Kami mengikut arus. Sambil berzikir, mengingati Allah. Ianya sangat padat, tetapi tidak sepadat tawaf. Dan arah pergerakan adalah sehala jadi rasa lebih selamat.

Dari jauh telah kelihatan terowong Muaissem. Tapak kaki melangkah mengikut arus.

 
Kami masuk ke mulut terowong Muaissem. Semasa lalu di dalam terowong Muaissem, saya berasa sangat sayu. Terbayang-bayang tragedi yang berlaku pada musim haji tahun 1990. Tragedi yang telah meragut 1,426 nyawa itu telah mencatat sejarah hitam dan khabar duka bagi umat Islam. Pada masa itu, satu terowong yang sama di gunakan untuk pergi dan pulang dari Jamrah. Pertembungan akan berlaku apabila jemaah yang pulang dari Jamrah berhimpitan dengan jemaah yang pergi ke Jamrah dari arah yang berlawanan. Peristiwa yang menyayat hati itu berlaku kerana jemaah haji yang panik, apabila terdengar bunyi yang dasyat semasa itu. Mereka sangka seakan-akan ada bom di tengah-tengah terowong. Ada juga yang beranggapan terowong tersebut runtuh.Mereka saling tolak menolak, berhimpitan dan akhirnya berguguran. Ianya berlaku pada waktu Dhuha, apabila jemaah haji merebut keafdhalan waktu melontar...

Dan yang paling menyedihkan, diberitakan mayat-mayat jemaah haji disodok dengan jentolak sahaja untuk dikeluarkan dari terowong... memang itu sahaja cara terpantas yang boleh digunakan kerana yang terkorban amatlah ramai dan terowong itu perlu di bersihkan segera untuk kegunaan jemaah lain bagi mengelakkan kesesakan.


Bapa saudara saya adalah salah seorang mangsa tragedi tersebut. Sehingga kini saya masih terbayang-bayang wajahnya dan teringat budi pekertinya yang mulia.

Sangat beruntung kerana semenjak peristiwa itu kerajaan Arab Saudi mula membina laluan terowong dua hala dan ketiga-tiga jamrah sudah pun bertingkat 4. Dan kami berkesempatan menggunakan terowong itu..Ia tidak sesukar masa lalu.




Jalan menuju ke Jamrah...




Kami berempat bakal join mereka




Semuanya dengan tujuan dan arah yang sama...

Terowong Muaissem



Dalam terowong

Alhamdulillah..akhirnya kami selamat keluar dari terowong, dan menuju ke Jamrah yang bertingkat empat. Kalau dahulu ramai juga yang mati di Jamrat kerana hanya ada satu tingkat sahaja, dan semua orang berpusu-pusu menuju ke tempat yang sama. Ada juga yang cedera kerana terkena balingan batu.

Alhamdulillah kini keadaan tersebut tidak lagi berlaku.


Jamrat...


Jamrat suatu ketika dahulu...
Suatu ketika dahulu, berhimpit, bersesak


Alhamdulillah beribu kali, kami berjaya melontar dengan aman,sejahtera dan mudah. Dapat melontar betul-betul depan dinding.

Kami segera menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut, lebih kurang 3 cm. Maka, selesailah kami berTahallul Awal dan lepaslah kami daripada 10 larangan dalam Ihram. Alhamdulillah. Hati melonjak kesukaan. Merdeka akhirnya setelah dua minggu berada di dalam larangan ihram!!! 

Akhirnya setelah dua minggu berada di dalam larangan Ihram..

Dapatlah saya memotong kuku yang telah mulai panjang sangat ini...
Dapatlah saya menutup muka dengan mask sekiranya habuk construction dan asap dari stesyen bas turki mengganggu sehingga ke tekak...
Dapatlah saya menghidu makanan dengan sesuka hati...
Dan yang paling penting...

Dapatlah saya mencuci dan menggosok dan menggaru rambut sepuas hati ku selepas ini!!
Nikmatnya sudah terasa tidak terkata.
Selepas ini hanya tinggal tiga lagi larangan yang perlu kami patuhi.
Semuanya larangan yang melibatkan perkahwinan yakni hubungan kelamin, bernikah dan terlibat dalam urusan nikah (i.e. jadi saksi, wali, etc).
Selepas melontar, kami sebulat suara tanpa dirancang memutuskan untuk menyempurnakan Tawaf Rukun di Mekah. Oleh kerana itu, kami tidak pulang ke khemah semula. Kami segera terus berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram. Jauh perjalanan dari Mina ke Masjidil Haram adalah 7 kilometer. Umpama berjalan dari KL Sentral ke KLCC di Malaysia! Anyway, tak rasa pun perjalanan tersebut jauh kerana..bermacam-macam pemandangan dan ragam manusia dapat dilihat dalam perjalanan. Dan beribu-ribu jemaah haji pelbagai negara turut sama berjalan bersama kami. Berjalan dengan tenang, tidak terkejar-kejar.

Helicopter view of Jamrah dan sekitarnya semasa ramai yang berpusu-pusu untuk pergi melontar...














Saturday, February 4, 2012

Day 13 - (5 November 2011 ) Part 2 - Mabit di Muzdalifah

Dari Aisyah r.a berkata:

"Apabila Rasulullah s.a.w pergi ke tempat tidurnya setiap malam, beliau mengumpulkan kedua tangannya, lalu meniupkan padanya lalu membacakan padanya: Surah Al Ikhlas, Surah Al Falaq, dan Surah An Naas. Kemudian mengusapkannya ke badannya mulai dari kepala dan wajahnya, dan badan sebelah depan, baginda melakukannya tiga kali."

Hadis Riwayat Al Bukhari


Hari yang sama. Selepas Maghrib, kami bertolak ke Muzdalifah dari Arafah untuk melaksanakan salah satu Wajib Haji iaitu Mabit(bermalam) di Muzdalifah.  Seperti biasa, kami bergerak mengikut kumpulan dengan menaiki bas. Sekali lagi, perjalanan berjalan dengan lancar.

Bas menurunkan kami di Muzdalifah yang luas. Ia adalah kawasan lapang yang tiada berbumbung. Angin sejuk Muzdalifah menampar pipi, seakan menyambut kedatangan kami. Hawa terasa dingin, mencengkam hingga ke tulang. Bayangkan kesejukan yang di alami oleh jemaah lelaki yang hanya memakai pakaian ihram?

Namun begitu, saya dan suami masih mampu menahan kesejukan tersebut. Tuhan beri kami kekuatan. Alhamdulillah.

Mudzalifah adalah antara cabaran yang sangat besar bagi mereka yang tua, uzur atau sakit.Selain hawa sejuk, debu dan habuk memenuhi ruangan udara dan ianya berterbangan setiap kali bas atau kenderaan melintasi kawasan kami. Terasa perit hingga ke tekak.

Beginikah keadaannya di zaman Rasulullah s.a.w?

Di sini kami mengutip anak batu untuk persediaan melontar di Jamrah untuk hari-hari yang berikutnya. Ingat, kutip ANAK BATU, bukan BAPA BATU. Batu-batu tersebut sepatutnya bersaiz kecil dan afdalnya sebesar satu ruas jari kelingking orang dewasa. Berhati-hati ketika mengutip anak batu, kerana ditakuti akan terkutip tahi kambing/unta. Ada kami diberitahu yang kawasan Muzdalifah ini digunakan sebagai kawasan ternakan binatang di luar musim Haji. Betul atau tidak kurang pasti pula..

Selepas berdoa dan cukup jumlah kutipan untuk empat kali melontar, saya dan suami membentang tikar dan tidur kerana tersangat letih. Tidak kami pedulikan orang-orang disekitar kami. Sejuknya cuaca juga tidak kami pedulikan.

Jemaah sekitar mengejutkan kami dari tidur apabila apabila bas tiba tepat pada pukul 3.30 pagi (pada mulanya dijanjikan pukul 12.00 malam).

Bagaimanapun kelewatan itu tidak dirasai kerana kami khusyuk hanyut dalam tidur yang lena!! Alhamdulillah..

Bas membawa kami meninggalkan bumi Mudzalifah dan menghala ke bumi Mina yang mulia, hanya beberapa minit sahaja dari Mudzalifah.