Seakan berada di daerah lain.
Tempat ini lebih santai dan damai berbanding tumpuan-tumpuan lain di Istanbul. Semasa kami bersiar-siar di sekitar tamannya dan makan aiskrim yang paling murah di Turki pernah di jumpai, tiada pelancong lain di situ. Namun hari pertama berakhir dengan aiskrim, kerana lokasi tujuan utama kami ke situ telah di tutup, hatta kami pun sampai agak lewat petang.
Hari kedua pagi-pagi kami sudah berada di dalam metro, menempuhi perjalanan panjang dari Yusuf Pasa menuju ke stesen Topkapi. Jangan keliru, walaupun nama Topkapi seakan-akan nama istana Topkapi yang berada di Sultanahmet, tapi stesen Topkapi ini kedudukannya jauh dari Sultanahmet. Mungkin dalam 30 minit di dalam train.
Panorama 1453, ianya tidak sukar untuk di temui kerana bentuk bangunannya yang unik. Bayaran masuknya murah sahaja, hanya 10 TL seorang, dan jika di tambah audio guide hanya dengan harga 5 TL. Kelemahannya mungkin hanya satu, iaitu kesemua penerangan disetiap gambar yang di paparkan adalah di dalam bahasa Turki, ketika inilah audio guide diperlukan jka tidak mahu geram.
Mengapa perlu ke sini?
Bukan sekadar pencinta Muhammad Al-Fatih, malah mereka yang baru mahu mengenali Muhammad Al-Fatih dan juga detik-detik hebat sebelum, semasa dan selepas penawanan kota Constantinople akan merasakan sekurang-kurangnya 2 jam di perlukan untuk menyusuri titian sejarah kegemilangan yang mencorakkan permulaan Islam di Turki.
Tingkat-tingkat bawah Panorama 1453 mempamerkan lukisan-lukisan, manakala tingkat teratas menonjolkan lukisan 3D 360 darjah keliling dinding dilengkapi dengan system audio yang canggih yang menggambarkan keadaan semasa peperangan menawan Constantinople bagi membolehkan pengunjung menghayati situasi ketika itu. Lukisannya terasa seakan benar.
Setelah tenggelam di dalam keasyikan sejarah Constantinople, kami beredar dari Panorama dan kemudian berjalan kaki ke tembok kubu lama yang terletak di sebelah Panorama 1453 ini.
Tembok ini merupakan tinggalan zaman Byzantine yang digunakan untuk mempertahankan kota Constantinople semasa peperangan tersebut. Agak merugikan kerana tembok ini kelihatan tidak terpelihara dan mungkin akan terus dimamah usia sekiranya ditinggalkan berterusan.
Selepas menghabiskan masa di kubu bersejarah ini, kami menaiki metro semula dan singgah di Haseki. Berdekatan dengan train station, kamis singgah ke salah satu pasaraya dan membeli banyak coklat murah Turki untuk di bawa pulang ke Malaysia.
Kemudiannya kami singgah makan di salah satu restoran yang terdapat di tepi jalannya. Yang pasti, kedua-dua harga coklat dan makanan di restoran jauh berbeza amat murah berbanding di lain-lain tempat tumpuan di Istanbul. Yang menarik, kami berjumpa dengan ramai pendatang luar Turki yang bekerja atau belajar tinggal di sini seperti dari Syiria, Uygur (China) dan sebagainya. Banyak restoran Uygur juga terdapat di sini. Namun, jarang-jarang pelancong singgah di sini.
Jika berani dan mahu mencuba, sesungguhnya banyak tempat-tempat lain di Istanbul yang boleh di jelajahi.
No comments:
Post a Comment