Commercial Break

Tuesday, June 12, 2012

Day 35 (26 November 2011, Part 3)-Dinginnya bumbung Masjidil Haram

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Surah Al-A'raaf Ayat 180


Kami makan aiskrim dan lepak di Safwa Tower, sebelum memulakan tawaf sunat selepas asar. Kami berbual-bual mengenai Hajar Aswad. Nampaknya suami membawa bersama memori mencium Hajar Aswad sebelum pulang ke Malaysia nanti. Ini yang dikatakan rezeki.

Tawaf. Sangat tenang, tak putus berdoa pada tuhan terutama bila lalu di tempat yang di katakan makbul doa. Walaupun agak ramai dan berlaku tolak menolak tetapi saya seakan tidak peduli itu semua. Saya telah berdoa semampu yang boleh, dan berharap engkau makbulkan Ya Allah. Engkau Yang Maha Penyayang..makbulkan Ya Allah.

Untuk kelainan hari ini kami sembahyang Asar di Babul Bilal pintu yang berdepan dengan Hajar Aswad. Suasana di sini agak lain, masih ramai lagi solat di sini, ia seperti musim kemuncak haji. Berbeza dengan kawasan berhampiran Babul Fatah pada masa sekarang, iaitu As Shameia dan An Nadwa yang sudah agak lengang. 



Saya secara lazimnya lebih banyak menunaikan solat ditingkat bawah berhampiran pintu Shameia atau Nadwa kerana pintu ini berdekatan dengan laluan ke hotel kami dan kawasan ini juga mempunyai ‘direct’ view menghadap Kaabah. Di sini banyak tercatit segala memori. Suami pula lebih suka bersolat di kawasan Dataran Tawaf/Kaabah sekiranya berkesempatan dan ada ruang. Banyak memori kami sepanjang ‘berkampung’ di kawasan-kawasan ini.




Kawasan solat Muslimah di kawasan pintu As Shamiea dan An Nadwa. Sembahyang di sini nampak Kaabah secara pemandangan terus


Tetapi pada solat Maghrib hari ini, demi untuk tujuan menambah pengalaman disamping ingin merasai suasana yang berbeza,  kami mencuba peluang untuk bersolat di tingkat bumbung Masjidil Haram untuk merasa kelainan suasana dan menikmati pemandangan serta cuaca sejuk malam hari di situ. Tambahan pula, bersolat di tingkat bumbung ini masih dikira bersolat di Masjidil Haram kecuali di tempat bersaie.

Bagaimanapun, pengalaman yang dirasai agak berbaur. Jika di tanya kepada saya, ini merupakan pengalaman yang pertama kali dan juga yang terakhir saya bersolat disini. Kawasan kegemaran kami untuk bersolat bukan di sini. Kerana di sini suasananya agak 'bebas'. Jemaah wanita bebas bersolat disebelah lelaki semasa solat Fardhu. Tiada pegawai masjid di sini, jadi tiada sesiapa yang menguatkuasakan peraturan pemisahan jantina semasa solat Fardhu. Ramai juga jemaah yang cuba mengingatkan tetapi selalunya tidak diendahkan. Maklumlah, berada di bumi suci ini kita akan berdepan dengan ummah pelbagai mazhab, fahaman dan mentaliti yang berbeza-beza.

Namun tidak dinafikan, bersolat disini begitu selesa kerana kawasannya agak lapang jadi tidak perlu berhimpit dan bersesak. Safnya juga tidak serapat bersolat ditingkat bawah. Di samping itu, udara malam juga begitu nyaman dan pemandangan kota Makkah dari sini diwaktu malam begitu mengasyikkan. 


Di sini pasti pemandangan yang terbaik untuk melihat Menara Jam secara dekat.





Silat lihat itu lelaki bersolat di sebelah wanita.

Kubah berdekatan tempat saie




Sangat dekat rasanya mcm tercapai tangan


Segenap ceruk boleh dilihat dari atas


Ini pastinya entri istimewa, saya sempat merakam ketika laungan Azan Maghrib sedang di laungkan. Boleh di lihat Menara Jam sedang berkelip-kelip. Menara ini akan berkelip setiap kali masuk waktu Solat


Air zam zam yang sejuk pun ada kat atas. Bagi yang lelaki pasti mudah mengambil wudhu hanya di sini



Selingan. Ini bukan di atas ye. Ini dibawah sekali. Di basement. Sini sejuk, ada aircond, jadi ramai sangat yang tidur di sini.

1 comment:

  1. Hari terakhir sebelum pulang ke tanah air saya dan isteri berkesempatan menunaikan solat sunat di kawasan bumbung. Hari tersebut juga merupakan hari terakhir kawasan bumbung dibuka untuk jemaah sebelum ditutup. Sebelum azan maghrib, saya turun ke tempat biasa (berhampiran tempat muazzim) dan sempat juga membantu Muhammad Jamil (staf Masjidil Haram) mengagihkan kurma kepada para jemaah. Memang pemandangan di situ sangat menakjubkan dan suasana nyaman walaupun tiada kipas atau penghawa dingin. Tiupan angin amat mengasikkan.

    ReplyDelete