Commercial Break

Monday, February 22, 2016

Panorama 1453 dan kegemilangan Muhammad Al Fatih

Seakan berada di daerah lain.

Tempat ini lebih santai dan damai berbanding tumpuan-tumpuan lain di Istanbul. Semasa kami bersiar-siar di sekitar tamannya dan makan aiskrim yang paling murah di Turki pernah di jumpai, tiada pelancong lain di situ. Namun hari pertama berakhir dengan aiskrim, kerana lokasi tujuan utama kami ke situ telah di tutup, hatta kami pun sampai agak lewat petang.

Hari kedua pagi-pagi kami sudah berada di dalam metro, menempuhi perjalanan panjang dari Yusuf Pasa menuju ke stesen Topkapi. Jangan keliru, walaupun nama Topkapi seakan-akan nama istana Topkapi yang berada di Sultanahmet, tapi stesen Topkapi ini kedudukannya jauh dari Sultanahmet. Mungkin dalam 30 minit di dalam train.

Panorama 1453, ianya tidak sukar untuk di temui kerana bentuk bangunannya yang unik. Bayaran masuknya murah sahaja, hanya 10 TL seorang, dan jika di tambah audio guide hanya dengan harga 5 TL. Kelemahannya mungkin hanya satu, iaitu kesemua penerangan disetiap gambar yang di paparkan adalah di dalam bahasa Turki, ketika inilah audio guide diperlukan jka tidak mahu geram.






Mengapa perlu ke sini?

Bukan sekadar pencinta Muhammad Al-Fatih, malah mereka yang baru mahu mengenali Muhammad Al-Fatih dan juga detik-detik hebat sebelum, semasa dan selepas penawanan kota Constantinople akan merasakan sekurang-kurangnya 2 jam di perlukan untuk menyusuri titian sejarah kegemilangan yang mencorakkan permulaan Islam di Turki.


Tingkat-tingkat bawah Panorama 1453 mempamerkan lukisan-lukisan, manakala tingkat teratas menonjolkan lukisan 3D 360 darjah keliling dinding dilengkapi dengan system audio yang canggih yang menggambarkan keadaan semasa peperangan menawan Constantinople bagi membolehkan pengunjung menghayati situasi ketika itu. Lukisannya terasa seakan benar.





Setelah tenggelam di dalam keasyikan sejarah Constantinople, kami beredar dari Panorama dan kemudian berjalan kaki ke tembok kubu lama yang terletak di sebelah Panorama 1453 ini. 

Tembok ini merupakan tinggalan zaman Byzantine yang digunakan untuk mempertahankan kota Constantinople semasa peperangan tersebut. Agak merugikan kerana tembok ini kelihatan tidak terpelihara dan mungkin akan terus dimamah usia sekiranya ditinggalkan berterusan.


Selepas menghabiskan masa di kubu bersejarah ini, kami menaiki metro semula dan singgah di Haseki. Berdekatan dengan train station, kamis singgah ke salah satu pasaraya dan membeli banyak coklat murah Turki untuk di bawa pulang ke Malaysia. 


Kemudiannya kami singgah makan di salah satu restoran yang terdapat di tepi jalannya. Yang pasti, kedua-dua harga coklat dan makanan di restoran jauh berbeza amat murah berbanding di lain-lain tempat tumpuan di Istanbul. Yang menarik, kami berjumpa dengan ramai pendatang luar Turki yang bekerja atau belajar tinggal di sini seperti dari Syiria, Uygur (China) dan sebagainya. Banyak restoran Uygur juga terdapat di sini. Namun, jarang-jarang pelancong singgah di sini. 


Jika berani dan mahu mencuba, sesungguhnya banyak tempat-tempat lain di Istanbul yang boleh di jelajahi.

Sunday, February 14, 2016

Little Hagia Sophia (Kucuk Aya Sophia)


Ianya benar-benar kelihatan seperti Hagia Sophia dari bahagian luar, kecuali saiznya yang jauh lebih kecil.

Itulah Little Hagia Sophia ataupun lebih dikenal sebagai Kucuk Ayasoya Camii (Kucuk adalah kecil dan Camii adalah masjid dalam Bahasa Turki).

Ciri-ciri binaan gereja masih di kekalkan dan di tambahbaik dengan fungsi dan ciri- ciri masjid.

Sama seperti Hagia Sophia yang asalnya sebuah gereja, Kucuk Ayasofya juga dibina oleh Emperor Justinian dan isterinya Theodora. Ianya di tukar fungsi sebagai masjid dalam tahun 1500 selepas penaklukan Kostantinople oleh kerajaan Uthmaniyah.




Tulisan Latin ini juga adalah peninggalan sewaktu Little Hagia Sophia berfungsi sebagai Gereja.



Untuk mencari masjid ini, anda perlu berjalan dari belakang Masjid Biru melalui Arasta Bazaar, dan terus berjalan kaki menuruni bukit melaui jalan Kucuk Ayasofya.

Masuk adalah PERCUMA.

Untuk yang mahu menyaksikan Hagia Sofia secara PERCUMA disamping mengelakkan kesesakan pelancong yang ramai, Kucuk Ayasofya adalah pilihan yang amat tepat kerana ciri-ciri dan binaannya hampir menyamai Hagia Sofia.



Wednesday, February 10, 2016

Dolmabahce



Pagi-pagi lagi kami sudah terpacak dari tram Yusof Pasa dan tiba di stesen Kabatas untuk ke Dolmabahce, istana singgahsana Mustafa Kemal Ataturk semasa hayatnya.

Sebaik sahaja turun dan berjalan kaki dari stesen Kabatas, akan kelihatan Masjid Dolmabahce yang merupakan sebahagian dari Dolmabahce Palace. Pintu masuk Dolmabahce terletak bersebelahan masjid ini. Langkah yang pertama di Domabahce di sambut oleh Menara Jam Domabahce.

Sekuriti yang amat ketat ala-ala pemeriksaan di airport harus di lalui oleh setiap pelawat sebelum dibenarkan masuk melangkaui gate Dolmabahce. Malahan, kasut juga perlu dilapik dengan plastik untuk mengelakkan kekotoran mencemari karpet di istana ini.

Dolmabahce mula di bina selepas Sultan AbdulMecid yang cenderung dengan pengaruh barat, mengarahkan agar sebuah istana baru dibina kerana merasakan binaan Topkapi sangat ketinggalan berbanding istana-istana Eropah.

Sememangnya, senibina ‘keinggerisan’ Dolmabahce amat berbeza dengan ‘keturkisan’ Topkapi. Namun, Dolmabahce tetap tidak kalah berbanding Topkapi dari segi keluasan.
Istana Dolmabahce terdiri daripada beberapa bahagian dan bangunan seperti Harem, Palace of  Crown Prince, Painting Museum dan Clock Museum.

Tidak seperi Istana dan Harem di Topkapi, pelawat tidak di benarkan berada sesuka hati di dalam kawasan Isatana dan Harem di Dolmabahce. Setiap beberapa orang di dalam kumpulan akan di berikan seorang tour guide untuk melawat kawasan. Fotogropi tidak lansung di benarkan di dalam istana. Pelawat tidak bebas untuk melawat ke sana sini dan pergerakan haruslah mengikut kumpulan yang akan mengikuti tour guide tersebut. Malahan, kita hanya dibenarkan mengikut laluan-laluan yang disediakan dan tidak dibenarkan menyentuh dan menilik secara dekat peralatan-peralatan dan hiasan-hiasan yang ada.

Bayaran masuk ke Dolmabahce ialah 30 TL. Ianya dibuka dari pukul 9 pagi – 4 petang, dan di tutup pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Tuesday, February 2, 2016

Grand Bazaar


Kami singgah di Grand Bazaar sekejap sahaja, tidak telalu lama kerana kami dapati barang-barang yang di jual kedai-kedai di tepi dan di bahagian luar Grand Bazaar lebih murah berbanding di dalamnya. Lagipun, kami sudah banyak membeli barangan ketika di Cappadocia, Seljuk, Denizli dan Bursa.


Namun Grand Bazaar harus di kunjungi kerana selain ianya bazaar yang tertua dan terbesar, bangunannya juga unik. Grand Bazaar luas dan banyak gate keluar masuk. Tiada masalah sekiranya anda seorang yang peka dan cekap jalan, tetapi sekiranya tidak sila pastikan anda menyediakan map/peta Grand Bazaar sebelum ke sini. Takut boleh tersesat semasa leka membeli-belah dan melihat-lihat. Nak dapatkan map Grand Bazaaar boleh google, mudah untuk di dapati. Pelbagai barangan boleh dilihat di sini tetapi yang menariknya adalah cenderamata Turki, permaidani, lampu-lampu dan barangan tekstil.


Untuk yang sukakan tekstil, banyak juga kedai-kedai tekstil yang terdapat di luar Grand Bazaar menuju ke Spice Market. Bukan setakat itu sahaja, banyak juga pilihan makanan dengan gerai-gerai kebab, makanan Turki dan pelbagai jus buah-buahan segar seperti delima, mangga dan sebagainya.




Untuk yang menaiki train, sila turun di stesen Chamberlitas atau Beyazit untuk ke Grand Bazaar.

Hari sudah gelap ketika kami keluar dari Grand Bazaar, dan setibanya di Sultanahmet, ada satu konsert sedang di adakan. Kami singgah menonton konsert dahulu sebelum pulang ke hotel.