(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Surah Al Imran Ayat 8
|
Hijir Ismail yang sentiasa sesak di musim Haji |
|
Begitu juga dengan Maqam Ibrahim..sentiasa menjadi tumpuan |
Beberapa hari selepas 'berehat' dari umrah, rutin kami agak berubah sedikit. Saya akan melakukan tawaf sunat sekurang-kurangnya sehari sekali, manakala suami akan melakukan tawaf sunat sekurang-kurangnya dua kali sekali.
Di Masjidil Haram walaupun ramai jemaah haji telah beransur-ansur meninggalkan Mekah, tetapi dataran tawaf masih lagi penuh. Masih lagi sesak. Kalau ikutkan hati pasti mahu bertawaf berulang-kali, kerana kenikmatannya tidak dapat di gambarkan. Tetapi masa tidak mengizinkan. Kesesakan menyebabkan pusingan tawaf di dataran tawaf menjadi lebih besar dan tawaf menjadi lebih lama.
Malam semalam baru dia buka rahsia. Ketika kami berjalan keluar melalui pintu Babul Fatah, selepas Solat Isyak.
"Saya pernah berdoa di Maqam Ibrahim, bersembahyang di Hijir Ismail dan berada sangat dekat dengan dinding Kaabah dan Hajar Aswad." kata suami menceritakan 'aktivitinya' sekiranya tawaf seorang diri tanpa saya.
Waahh.. mengambil kesempatan ketika tidak bersama-sama saya?? Betapa cemburunya saya dengan ‘aktiviti’ suami saya sepanjang tidak bersama-sama saya... Bagaimanapun saya faham mengapa dia hanya melakukan ’aktiviti’ tersebut bersendirian kerana risikonya agak tinggi.
Sekiranya bersama saya, tidak pernah sekali pun kami berdekatan Maqam Ibrahim, Hijir Ismail, dinding Kaabah dan jauh sekali Hajar Aswad. Ia adalah "black area" ketika waktu puncak. Ramai jemaah berebut-rebut untuk ke sana. Ia sangat padat dan sangat sesak. Ia di penuhi oleh mereka yang berbadan besar dan gagah. Tolak menolak, himpit menghimpit sentiasa berlaku. Dan pastinya demi menjaga keselamatan saya, dia menjauhi lokasi-lokasi tersebut.
"Kalau orang tak ramai, saya mahu juga," kata putus saya.
"Amboi, cita-cita tinggi tapi nanti bila tawaf macam ikan kelemasan," usiknya.
"Kalau orang tak ramai saya mahu juga," nada saya penuh pengharapan dan ianya seperti satu doa.
|
Perjalanan ke Masjidil Haram |
Pagi tadi. Pagi yang tidak pernah hening di Mekah. Tidak pernah sunyi.
Kami bangun pada pukul 2.30 pagi dan bergerak dari hotel lebih kurang pukul 2.45 pagi. Dari jauh mataku sudah fokus nun jauh di sana di dataran tawaf. Sudah tidak menoleh ke arah yang lain. Alhamdulillah, ada harapan di situ. Orang tidak ramai.
Kami mula bertawaf. Tawaf pusingan pertama dan kedua, ianya berjalan sangat lancar dan pantas. Dapat berzikir dengan tenang, dapat berjalan dan menghayati ibadah ini dengan sangat selesa. Tiada lansung tolak menolak berlaku. Tiada himpitan. Pergerakan sangat licin.
Tawaf pusingan ketiga, suami mula sedikit demi sedikit memandu kami mendekati Kaabah. Saya pun tidak sedar entah bila, dan ianya berlaku dengan sangat pantas, kami sudah betul-betul berdiri berdekatan Kaabah. Hanya beberapa orang yang memisahkan kami dengan dinding Kaabah. Saya tidak pernah melihat dinding Kaabah serapat itu. Sangat teruja. Sangat riang. Sangat gembira. Dan..sangat berdebar.
"Nampak tu Hajar Aswad? Nampak tak mereka yang berebut-rebut untuk mencium Hajar Aswad? Nampak tak mereka yang panjat bersidai di tepi dinding untuk menunggu giliran untuk mencium Hajar Aswad? "Tunjuknya.
|
Hajar Aswad yang sangat sesak di Musim Haji. Ada anggota polis yang mengawal keadaan. Sebenarnya keadaan ini sangat dashyat. Boleh tersepit. |
|
Mereka sanggup bersidai beberapa jam di tepi dinding Kaabah berdekatan Hajar Aswad semata-mata untuk mencium Hajar Aswad |
|
Bertolak-tolakan jika terlalu ramai. |
Saya menoleh tanpa menggerakkan bahu kerana pada masa itu kami masih lagi bertawaf. Ya, saya nampak semua itu. Dan walaupun saya tidak nampak dengan amat jelas, tetapi bunyi gegak gempita orang bertolak-tolakan menerangkan segala-galanya. Masya Allah.
Dan kami mula melangkah menuju ke Maqam Ibrahim.Hati saya berdebar-debar bak sang kali pertama bertemu sang kekasih. Kami berjalan antara ramai manusia dan lalu betul-betul di sebelah Maqam Ibrahim. Subhanallah, saya nampak semuanya. Saya nampak tangan-tangan melekat dan mencium Maqam Ibrahim. Kami lalu betul-betul di sebelah Maqam Ibrahim. Saya tak dapat menahan tangan saya dari turut sama menyentuh Maqam Ibrahim. Suami saya melarang,"Jangan sentuh, bidaah nanti."
"Saya saja nak merasa, bukan sebab bida'ah." balas saya. Bida'ah kalau percaya jika menyentuh Maqam Ibrahim doa akan di kabulkan atau sebagainya.
|
Maqam Ibrahim dari luar, seperti sangkar emas |
|
Di dalam Maqam Ibrahim, inilah dia..bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s |
Kami mara ke depan lagi.Kami lalu betul-betul di tepi Hijir Ismail. Segala-galanya berlaku begitu pantas. MasyaAllah. Orang ramai berebut-rebut mahu masuk ke dalam Hijir Ismail. Dengan jelas saya dapat lihat Hijir Ismail. Saya tidak pernah sedekat ini dengan Hijir Ismail. Alhamdulillah.
|
Hijir Ismail..sangat padat |
Tujuh pusingan tawaf berlaku dengan sangat pantas. Tak sampai setengah jam kami sudah menghabiskan tawaf. Dan setiap pusingan yang seterusnya, setiap kali kami melalui Maqam Ibrahim, saya segera mengambil kesempatan itu untuk berdoa apa sahaja yang terlintas di fikiran. Ia saat-saat yang di ingati. Dan tidak mungkin sekali pun dilepaskan dengan sia-sia.
Akhirnya selesai tujuh pusingan.
Tetapi kami tidak segera keluar dari lautan tawaf. Dengan perlahan-lahan suami membawa saya menuju ke tepi luar Hijir Ismail. Betul-betul di hadapan Hijir Ismail. Saya menyentuh dan berpaut rapat pada dinding Hijir Ismail. Dan dengan jelas penglihatan di hadapan adalah mereka yang sedang bersesak-sesak di dalam Hijir Ismail. Sangat padat. Saya segera berdoa di tepi Hijir Ismail. Walaupun hanya di luar. Saya tidak putus asa dan putus harap. Di luar pun jadilah..begitu kata hati saya.
|
Memandang Hijir Ismail dari luar dinding |
Tanpa di sedari semasa saya berdoa suami memerhatikan keadaan di pintu masuk Hijir Ismail. Perlahan-lahan kami menghala ke pintu masuk Hijir Ismail. Dan mara ke depan lagi..masuk dalam lagi. Dan lagi. Setapak demi setapak. Dan entah bila, dalam kesesakan saya tidak perasan, kami sudah betul-betul berada di dalam Hijir Ismail. Tiba-tiba sahaja kesesakan yang saya lihat daripada luar Hijir Ismail tadi lansung tidak terasa. Banyak ruang kosong di antara kami dengan orang lain. Terasa seakan hanya kami berdua sahaja, walaupun hakikatnya tidak begitu.
Dan akhirnya saya betul-betul berdiri di depan Kaabah.Di tepi dinding Kaabah. Kaabah betul-betul di hadapan mata saya. Tiada penghalang walaupun seekor lalat. Mahupun sebesar hama. Sangat rapat. Ya Allah, Alhamdulillah, saya dapat memegang dinding Kaabah. Saat ini. Tiba-tiba detik seakan terhenti. Saat ini yang akan saya ingat seumur hidup ini. Lama kami di situ.
|
Memegang dinding Kaabah |
Perasaan ini tentu tidak dapat di rasai oleh mereka yang bukan pergi sewaktu haji di musim puncak, oleh mereka yang pergi ke Baitullah semasa musim umrah, di kala orang tidak terlalu ramai dan mudah untuk pergi ke tempat-tempat ini. Perasaan yang satu ini. Iaitu perasaan menghargai, kagum dan bersyukur akan kekuasaannya yang Maha Agung. Perasaan yang sangat dekat padanya. Perasaan di anugerahi sesuatu yang telah lama di dambakan seumur hidup ini. Walaupun saya baru menyedari dan dambakannya walau semalam.
Nyatalah..kekuasaan Allah tiada siapa dapat menyangkalnya. 'Kun fayakun..'
Akhirnya kami berdua perlahan-lahan keluar dari dataran Kaabah.Kami berpisah untuk masing-masing menunaikan solat sunat tawaf.
Airmata saya berjurai tanpa dipinta semasa sedang menunaikan solat sunat tawaf. Akhirnya saya dapat merasai kemanisan dan nikmat yang sebenar-benarnya. Yang tidak dapat di terangkan dengan kata-kata. Tuhan jangan buat saya lupa akan nikmatMu. Berilah saya taufik dan hidayatMu.
Saya amat bersyukur. Tuhan beri saya peluang dan kesempatan ini. Yang sebelum ini saya tidak terlintas pun kerana mahu mengelakkan dari berebut dengan mereka yang gagah. Tetapi hari ini Allah permudahkan segalanya tanpa kami perlu berebut. Ia seakan-akan sudah di takdirkan. Akan saya ingati saat ini sampai bila-bila. Nikmat ini.
Kami berjumpa semula selepas solat Solat Subuh.
"Lepas Asar nak tawaf macam tadi jugak boleh tak?" pinta saya, serius. Oh, saya jadi ketagih. Perasaan itu tidak dapat di terangkan. Sudah di berikan betis mahukan peha.
Selepas sarapan pagi kami kembali semula ke bilik. Seperti biasa selepas mandi saya akan segera melabuhkan badan untuk berehat dan tidur agar bertenaga dan segar semula pada waktu Zohor nanti. Saya tersenyum. Pusing kanan, pusing kiri. Masih terbayang-bayang suasana tadi. Anugerah yang tadi. Puas saya pujuk mata untuk lelap tetapi tidak mahu tetapi akhirnya kerana sangat letih saya tertidur juga sambil tersenyum.
Selepas Asar.
Orang agak sesak berbanding sebelum Subuh tadi. Kami dapat juga bertawaf di tepi Maqam Ibrahim di tengah-tengah kesesakan tersebut. Dapat juga berdiri di tepi Hijir Ismail, Alhamdulilah tetapi tidak dapat masuk ke dalam Hijir Ismail kerana ia di tutup untuk pembersihan.
|
Pekerja sedang membersihkan Hijir Ismail. |
Sejuta kali Alhamdulillah, saya dapat merasai pengalaman berharga ini walaupun kami hanya ada beberapa hari lagi untuk ke Madinah. Kalau ada kemahuan pasti ada jalan. Gabungkan usaha, doa dan tawakal dan yang paling penting keselamatan mesti di jaga.
|
Memegang dinding Kaabah |
Allah beri hidayat pada saya. Tiba-tiba saya memutuskan untuk berpuasa sunat pada esok hari. Ia kemahuan yang datang tanpa di pinta. Puasa sunat bukan salah satu senarai azam semasa mula-mula tiba di sini. Ia datang secara tiba-tiba pada saat ini.
Puasa sunat di Mekah sama pahala dengan puasa seribu hari di Malaysia. Saya akan rebut kesempatan itu. Tiba-tiba saya jadi cemburu kepada mereka yang berpuasa di sini. Saya pun mahu juga.
Nota: Kerana sangat teruja, saya tidak sempat mengambil gambar. Gambar-gambar di atas adalah sumber dari google dan amat tepat menceritakan keadaan pada waktu itu.