Commercial Break

Wednesday, September 12, 2012

Day 37 (28 November 2011, part 2)- Pengalaman pertama di Raudhah

Rasulullah s.a.w besabda, maksudnya.

"Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga,"

(Riwayat Bukhari dan Muslim)



picture:google

Masjid Nabawi sudah agak penuh. Tetapi masih banyak lagi ruang. Saya mengambil ruang di tengah-tengah. 

Lebih kurang 15 minit lagi menghampiri Solat Subuh, dua orang jemaah wanita Indonesia di sebelah menegur. Bertanya serba sedikit tentang diri saya, siap kagum saya pergi berseorangan. Kebanyakan mereka sememangnya jarang yang pergi ke masjid berseorangan. Ramai yang suka pergi secara berkumpulan. Nampaknya hari ini adalah hari terakhir mereka di Madinah, dan mereka akan pulang ke tanahair besok.

Mendengar itu saya segera mengambil kesempatan ini. Bertanyakan tentang Raudhah. Mereka sudah lama di sini, pasti ada pengalaman yang boleh di kongsikan. 

Mengikut maklumat yang pernah saya dengar dan di tambah dengan cerita mereka ini, memang benar, jemaah wanita tidak bebas pergi ke Raudhah sepanjang masa seperti jemaah lelaki. Jemaah wanita hanya di benarkan masuk ke Raudhah pada jadual yang di tetapkan sahaja iaitu  selepas Subuh, selepas Zohor dan selepas Isyak sahaja. Itupun dalam masa yang tidak terlalu lama. 

"Sesak tak?," saya bertanya, cuba membayangkan keadaannya nanti. 

Pantas mereka menceritakan semakin hari jemaah semakin ramai, berbanding semasa mereka baru sampai dahulu. Ya, ia pastinya sesak.

"Sesak dan bertolakan. Yang pastinya ibu tenang-tenang aja, jangan berlari-lari semasa masuk ke Raudhah. Jangan bertolakan. Berzikir, ada peluang pasti dapat masuk," sempat dia memberi nasihat.

"Berlari?" Saya meminta kepastian. Bertolakan memang biasa saya dengar. Tetapi berlarian? Ini sesuatu yang baru.

"Ya, berlari berebutan memasuki Raudhah. Tetapi kami akui biasanya jemaah Malaysia tidak begitu kerana yang berlari dan berebutan itu dari kalangan kami sendiri," kawannya pula menyampuk. 

Saya memang hairan kalau benar jemaah Malaysia yang berlari, kerana rata-rata jemaah Malaysia ialah mereka yang sudah agak berusia, lain di bandingkan dengan jemaah Indonesia. Mereka ramai yang pergi muda-muda. Ini kerana mereka dibenarkan membuat pinjaman untuk menunaikan haji walaupun tidak mampu lagi. 

"Raudhah itu sangat istimewa tempatnya. Tempat yang makbol doa. Dan yang paling istimewa lagi Maqam Rasulullah terdapat di situ," katanya.

Saya sudah tahu tentangnya. Tentang keistimewaan Raudhah. Tetapi nadanya yang bersungguh menekankan akan keistimewaan Raudhah membuatkan hati saya gelisah. Meronta. Terpanggil-panggil untuk ke Raudhah.

Tiba-tiba teringat akan janji pagi tadi, sebelum saya keluar dari bilik hotel untuk ke masjid. Sebelum keluar kami sebilik telah berjanji akan bersama-sama ke Raudhah selepas solat Zohor.

Namun begitu tiba-tiba saya nekad. Saya akan pergi seorang diri selepas Subuh dan akan pergi  bersama mereka juga selepas Zohor. Oh saya tidak boleh katakan tidak kepada hati sendiri. Saya ingin sangat ke Raudhah! Selepas Subuh ini juga. Dan tiba-tiba ia menjadi agenda dirancang selepas Subuh yang mesti di laksanakan. Tidak boleh di tunggu-tunggu lagi! 

Selepas Subuh saya sms suami, "Nak cuba Raudhah. Jangan tunggu, balik dulu. Pergi breakfast dulu"

Jam sudah menunjukkan pukul 5.50 pagi. Saya lihat pegawai-pegawai masjid yang berjubah dan berpurdah mula memegang sepanduk. Saya melihat sapanduk "BAHASA MELAYU". Beberapa jemaah wanita Malaysia dan Indonesia mulai bangun dan menuju ke arah kawasan tersebut. Saya mengikut. Kami di suruh duduk setempat. Satu kumpulan.  

Beberapa kumpulan yang merangkumi bangsa lain juga mulai di arahkan ke kumpulan masing-masing. Pegawai masjid mengasingkan bangsa-bangsa lain mengikut kumpulan masing-masing. Ini untuk kebaikan dan keselamatan para jemaah. Sekiranya jemaah Malaysia yang agak lembut dihimpunkan sekumpulan bersama jemaah yang bertubuh besar, alahai tidak dapat di bayangkan singgung menyinggung atau tolak-menolak yang mungkin sengaja atau tidak sengaja yang akan dilakukan.

Cara jemaah wanita di bawa ke Raudhah mengikut kumpulan masing-masing, secara berperingkat-peringkat, dan melalui 3,4 perhentian (pit stop). Ikut rezeki kumpulan yang mana di bawa dahulu. Contohnya sekiranya kumpulan jemaah Turki dibawa ke perhentian yang pertama, kumpulan Afrika akan di bawa mengisi tempat kumpulan Turkey tadi dan seterusnya untuk kumpulan yang lain-lain, sehinggala tiba ke destinasi, Raudhah.

Semasa menunggu ini tempohnya lama, jemaah sempat beriktikaf, bersolat, berzikir dan membaca Al Quran.

Semasa menunggu di perhentian pertama, saya terdengar jemaah Malaysia di belakang saya berbual. Ceritanya adalah mengenai seorang jemaah wanita Malaysia meninggal di Raudhah, di pijak ketika sujud, baru sahaja lagi.

Owh, ini memang menguji. Di saat hati sedang bersemangat dengan tiada lansung perasaan gentar tiba-tiba di uji dengan berita sebegini. Beranikah aku? Hati mula bergelodak. Wajah anak-anak yang masih kecil terbayang di mata. Alahai nipisnya iman. Walaupun diri tahu  sekiranya meninggal di sini, di Raudhah pula tu, akan di semadikan di Baqi dan di doakan oleh jutaan umat Muhammad S.A.W setiap hari, tetapi hati rasa tidak sanggup. Tidak, bukan kali ini. Takut. Aduh. Saya seorang diri di sini. Tadi bukan main berani. Sekarang rasa kecut. Alangkah manusia biasanya saya. Padahal diri tahu dan cukup mengerti bahawa Allah yang mengatur segala dan padaNya sahaja kita meminta pertolongan..

Tiba-tiba saya di cuit dari tepi. Segera menoleh..wajah-wajah yang di kenali sedang tersengih memandang saya. Rakan sebilik saya rupanya!! Rasa lega menerpa. Hahaha sangat sayang mereka, kerana menghilangkan rasa keseorangan ini dari saya! 

"Amboi...janji nak pergi sama selepas Zohor! " kata Kak Ida.

"Korang pun sama,heh.." Kami tergelak bersama. Begitula. Aura Raudhah memanggil, akhirnya kami bertemu di sini. 
Berhampiran, di luar Raudhah. Kubah hijau penanda letaknya maqam Rasulullah s.a.w.  Sc:google

Kami terus menunggu. Beberapa perhentian/pit stop telah di lepasi. Akhirnya sudah nampak Raudhah. Tiang Raudhah. Pintu masuk ke Raudhah. Cuma sedang menunggu untuk di panggil masuk. Kami di perhentian yang terakhir. Wahai hati...sabarlah..

Saya perasan apabila sesetengah kumpulan di panggil masuk, kelam kelibut mereka melangkah dan bertolakan, bisingnya seakan gempa. Mengaum memecah sunyi. Derap kaki kaki mereka yang besar bising bertalu.  Tiada ketenangan di situ.

Akhirnya waktu yang di nanti tiba. Kumpulan "Bahasa Melayu" dipanggil masuk. Kami semua bangun. Ya itu dia, saya saksikan sendiri. Sesetengah jemaah dari negara Indonesia berlarian dan bertolakan. Benarlah yang di ceritakan kepada saya sebentar tadi. Bezanya tolakan mereka masih dapat di tahan, kerana saiz badan mereka juga kecil. Ia ibarat pengalaman di tolak sewaktu penumpang-penumpang berebut memasuki komuter, suatu ketika dahulu. Ia masih tidak apa-apa bagi saya. Tenaga mereka tidak terlalu kuat.

Kami berpusu masuk ke Raudhah. Rupa-rupanya di dalam Raudhah masih ada jemaah dari kumpulan sebelumnya iaitu jemaah Turki. Mereka masih belum keluar dari Raudah sepenuhnya, tetapi kami telah di panggil masuk. Kesesakan menyebabkan secara tiba-tiba kami sebilik terpisah. Hanya tinggal saya dan Mak cik K.E. Sudah hilang kelibat yang lain-lain.
                   Pintu masuk ke Raudhah.Sesak di sana, Raudhah.              Source:Suziey.com

Saya dan Mak cik K.E memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Sayu rasa hati. Pilu. Sebak. 

Selepas itu kami meninjau-ninjau. Mancari karpet hijau. Karpet berwarna hijau menunjukkan itu Raudhah. Selain dari itu bukan kawasan Raudhah. 

Akhirnya kami dapat masuk ke kawasan karpet hijau. Hanya sedikit, di tepi-tepi tetapi jadilah. Mak cik K.E yang haji ini merupakan haji kali keduanya dan telah berpengalaman di Raudhah sebelum ini segera menyuruh saya solat. "Solat, ini Raudhah." 
Karpet hijau yang menandakan kawasan Raudhah
Karpet hijau adalah Raudhah. Karpet Merah bukan Raudhah.    sources: google
Saya dan mak cik K.E segera solat. Tetapi alangkah tidak dapat diceritakan perasaan seriau semasa sujud, kerana terasa tapak-tapak kaki mengenai kepala kami. Kami solat di celah-celah jemaah yang sedang mencuba untuk masuk ke dalam lagi ke Raudhah. Jemaah Turki. Hah. Kaki mereka sangat besar. Segera teringat cerita jemaah meninggal sebentar tadi. Menyebabkan sujud kami hanya sebentar. Tidak berani kami untuk berdoa lama di dalam solat.

Kebiasaannya semasa waktu sesak di Raudhah, sesudah jemaah memberi salam akan segera di suruh keluar meninggalkan Raudhah. Takut-takut itu terjadi. Saya masih tidak puas di Raudhah. Saya segera membisikkan kepada mak cik K.E. " Mak cik, berdoa dengan buat-buat kita masih di dalam tahyatul akhir, angkat tangan sikit-sikit je, jangan sampai pegawai ternampak, jangan pandang muka pengawas! Nanti mereka halau.

Mak cik K.E patuh. Saya tahu mak cik K.E sama seperti saya, takut untuk berdoa lama di dalam sujud, takut-takut di pijak di tengah kelam kelibut jemaah turki yang tidak menghiraukan kami lansung. Jadi kami berdua berdoa lama dengan cara ini,pura-pura kami masih di tahiyat akhir, Uhh uhhh.. Ya Allah, kami insan yang lemah. Semoga doa kami di terima di taman syurga ini. Di taman yang makbul doa ini. 
Syiling di Raudhah
Akhirnya sudah puas berdoa saya dan Mak Cik K.E keluar dari Raudhah. Tiga lagi rakan sebilik sudah menunggu rupanya. 

Saya melihat ke arah jam tangan. Sudah pukul 8.40!! 3 jam menunggu untuk ke Raudhah rupanya..

Kami berjalan keluar dari Raudhah. Kami mendengar jemaah Indonesia di sebelah kami mengatakan Raudhah hari ini memang luar biasa sesaknya.
Jalan keluar dari Raudhah       source:suziey.com

Jalan keluar dari Raudha.            source:suziey.com

Raudhah menjadi tumpuan kerana ia merupakan tempat yang mulia di Masjid Nabawi. Raudah merupakan tempat beribadat yang utama buat Rasulullah dan para sahabat. Di samping itu ia merupakan tumpuan majlis ilmu dan turunnya wahyu. Ia teretak di antara rumah Rasulullah dan mimbar Rasul, ia taman syurga bertetapan dengan sabda nabi seperti di atas dan merupakan salah satu tanda syurga di Madinah.



Gambar Raudhah tatkala kosong tanpa jemaah. picture:google

picture:google

Maqam Rasullullah s.a.w bersama para sahabat, Abu Bakar r.a dan Umar r.a.                                  picture:google

No comments:

Post a Comment