Commercial Break

Friday, April 27, 2012

Day 34 (25 November 2011, Part 1)-Umrah di malam hari

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah Al Imran Ayat 29


Jemaah yang berpusu-pusu pulang ke hotel masa waktu puncak. Pada ketika ini, ia tidaklah seramai ini.



Hari Jumaat,penghulu segala hari. Keistimewaan hari Jumaat di sini, selain daripada hidangan makan tengah hari nasi beriyani yang terkenal dan di gemari oleh jemaah haji Malaysia yang datang melalui muassasah, ia juga merupakan hari 'rehat' saya. Saya tidak turut serta solat Jumaat di Masjidil Haram untuk memberi peluang kepada jemaah lelaki supaya dapat menunaikan solat Jumaat dengan lebih selesa dan mengelakkan bersesak-sesak dengan mereka.

Malam semalam selepas Isya' rancangan kami untuk melakukan umrah menjadi dan kali ini kami melakukannya dengan cara yang berlainan. Ia adalah pertama kali kami pergi ke Tanaim pada waktu malam dan terus melaksanakan umrah sejurus balik dari Tanaim pada waktu itu juga. Selalunya kami pergi berMiqat di Tanaim pada awal pagi (sekitar pukul 2 – 3 pagi).

Menyusuri jalan-jalan ke Tanaim di malam hari dan melihat pemandangan malam ke Tanaim, adalah melihat tanah halal di sebelah Mekah dari perskpektif yang berbeza. Kebiasaannya kami akan pergi pada pukul 2 atau 3 pagi, jadi tanah halal sangat sunyi. Sangat sepi. Semua sudah lena di ulit mimpi. Semua kedai masih di tutup. Malam ini itu tidak berlaku, terutama ianya adalah hari cuti a.k.a hari minggu bagi penduduk tempatan.

Malam ini, lampu-lampu bergemerlapan dan kedai-kedai masih di buka dan penduduk tempatan masih berlegaran di jalanan. Masih ada yang berurusan. Dan dapat melihat siapakah penduduk tempatan di sini yang sebenar-benarnya. Bentuk muka dan wajah mereka. Warna kulit dan tubuh badan mereka.

Akhirnya kami tiba di masjid Tanaim. Beberapa keluarga sedang duduk bersantai dan taman permainan kanak-kanak di penuhi dengan kanak-kanak yang sedang bermain. Berbeza dengan kita di Malaysia yang akan ke taman di sebelah pagi atau petang, mereka di sini pastinya suka ke taman pada waktu malam kerana mengelakkan matahari yang terik pada siang hari.

Kami bersolat sunat ihram di Tanaim, bermiqat umrah dan dengan menggunakan van yang sama, kembali semula ke Tanah Haram. Alhamdulillah tambang kami ke Tanaim hari ini di belanja oleh Abg Shahrul yang baik hati.

Mengerjakan umrah di malam hari pada pukul 1 pagi rasa berbeza buat kami. Sebelum ini pukul 1 pagi kami sudah lena di ulit mimpi dan cuma akan bangkit pada pukul 2.00 pagi. Suasana bertawaf di malam begini sangat tenang pastinya, dan tidak sesesak selalu. Dari pemerhatian, tawaf pada malam ini tidak di monopoli oleh mereka yang gagah. Mereka pastinya sedang lena di ulit mimpi. Untuk bertawaf dan menyelesaikan umrah dengan mudah pastinya malan hari adalah pilihan terbaik.

Tetapi umrah di malam hari 'mengusik' tenaga kami. Mengganggu rutin kami. Akibatnya kami asyik menguap di Masjidil Haram keesokkan harinya!

Selepas mengerjakan umrah, kami berjalan pulang semula ke hotel untuk berehat dan tidur. Baru pukul 1 pagi, tetapi kami membuat keputusan untuk bersahur terus. Dengan keputusan itu kami singgah di kedai kebab untuk bersahur. Alhamdulillah tokey kedai pula belanja sahur kami pada hari itu.

Puasa hari ini tenang juga seperti semalam. Sangat rasa 'istimewa' berpuasa di Mekah. Untuk pertama kali kami berbuka puasa di Masjidil Haram, di sebalik pintu Babus Syameia selepas azan Maghrib. Berbuka roti dan kurma dan air zam zam. Semalam kami berbuka di luar kawasan masjid. Pastinya berbuka yang sebenar adalah menikmati juadah enak muassasah di hotel!

Selepas berbuka ala kadar sekadar mengalas perut, kami menyambut solat jemaah Maghrib dan seterusnya Isya'.



Sejurus selepas solat Isya, handphone kesayangan berbunyi. Terima sms daripada suami, ringkas ayat-ayat yang tertera "Yang, lewat sikit makan, ke Hijir Ismail"

Wahh kebiasaannya selepas Solat Isya' adalah waktu yang amat kritikal kesibukannya di Hijir Ismail, mereka yang solat berdekatan Hijir Ismail, pastinya akan berlari menyerbu menuju Hijir Ismail sebaik tak sampai sesaat Imam memberi salam yang kedua. Ya itu betul dan sangat kelakar kedengarannya pada saya. Mereka yang solat berdekatan 'hot area' di sekitar Kaabah kebanyakkannya sebaik tak sampai sesaat Imam habis memberi salam kedua, akan terus pecut menyerbu berebut ke lokasi-lokasi tersebut. Jadi menurut jangkaan saya ketika itu, pastinya suami saya solat berdekatan Hijir Ismail semasa solat Isya' tersebut dan membuatkan beliau membuat keputusan untuk ke Hijri Ismail.


Tadi semasa berbuka kebetulannya kami bercerita mengenai Hijir Ismail , tentang mereka yang dapat sembahyang dengan tenang di sana.



Jika suami pecut ke Hijir Ismail, sebaik sahaja menerima sms suami, saya pula tindakan refleks tak hengat segera mengangkat kain dan pecut lari ke atas tingkat 1, menggunakan tangga berdekatan Babus Syamea dan Babul Nadwa kerana Hijir Ismail setentang dengan tangga tersebut. Boleh lihat dengan jelas Hijri Ismail dari tingkat atas.

 



Tiba di atas, mata peka saya segera 'scanning' satu-satu kelibat yang bersesakan di Hijir Ismail. Haa mata segera menangkap itu dia kelibat suami saya yang sedang solat di Hijir Ismail. Saya tersenyum. Pastinya sangat sesak tapi Alhamdulillah ada rezeki tiada siapa mampu menghalangnya.
Pasti ianya pengalaman dan perasaan yang sangat menarik kerana saya dapat melihat suami yang bersesakan antara mereka yang lain dengan jelas dari atas.
Ya, amalan solat di Hijir Ismail memanggil-manggil walau sesak dan mencabar mana sekali pun keadaan pada masa tersebut.

No comments:

Post a Comment