Commercial Break

Tuesday, June 30, 2015

Buah-buahan Sungai Nil




























Kami tiba di Mandarah, berdekatan dengan pinggir laut Medditeranean di Alexandria. Kami akan berada selama tiga hari dan dua malam di Alexandria.





Di sini kami telah menyewa Homestay yang di sewakan oleh pelajar Al Azhar Mesir. Ianya terletak di celah-celah rumah penduduk Mesir, lokasi yang sesuai sekiranya anda mahu berasa dekat dengan kehidupan di Alexandria. Harganya ialah 180 EP sehari. Ia juga berdekatan dengan kedai-kedai dan mudah untuk ke jalan besar bersebelahan pantai.

Untuk penyewa yang ramai, harga ini sesungguhnya amat berbaloi-baloi kerana 180 EP ialah harga bagi sebuah rumah yang mempunyai 3 buah bilik yang mampu memuatkan dua oang sebilik, ruang tamu yang juga boleh memuatkan ramai lagi sekiranya di betangkan tilam dan juga dapur yang lengkap dengan kemudahan.

Akan tetapi saya tidak galakkan anda menyewa tempat ni sekiranya anda tidak tahan mandi air sejuk (heaternya tidak berfungsi). Pagi dan malam di Alexandria amat sejuk walau pun pada masa kedatangan kami ialah penghujung musim sejuk dan hampir datangnya musim panas. Namun saya tidak pasti akan keadaan masuknya musim panas.

Dan yang lagi tak best, kadang-kadang ada hari-hari tertentu tiada air di kawasan ini.

Juga mesin basuhnya tak berapa nak berfungsi bagi yang bercadang mahu basuh baju di sini.




Makan tengahari kami yang pertama di Alexandria ialah di restoran yang berdekatan dengan homestay tempat kami tinggal iaitu Hadramawt. Maka dengan sesungguhnya bahawa makanan di restoran ini adalah Super Sedap. Kami telah order Nasi Kabsah, Nasi Maghdud dan Nasi Turki. Portionnya sangat besar, bersamaan dengan saiz perut orang Arab.

Restoran Hadramawt


Saya paling suka Nasi Kabsah

Jika tidak habis, boleh bungkus bawa balik. Ataupun sepatutnya order dua jenis nasi untuk tiga orang sudah memadai. Begitulah telahan kami pada mulanya setelah nasi di hidangkan. Namun tanpa di sangka-sangka kami telah habiskan nasi-nasi tersebut dengan jayanya. 

Sebelum ke restoran ini kami awal-awal lagi telah membeli air jus yang juga super sedap ini, yang di jual di salah sebuah kedai di belakang homestay. Subhanallah, sangat sedap.



Siapa yang pernah merasai jus buah-buahan di Mekah dan Madinah, pasti akan terkenang-kenang. Enak.

Mungkin agak keterlaluan, tetapi jus buah di sini adalah 5 kali ganda super sedap. Manis, lemak, pekat dan terangkat. 

Ia hasil daripada buah-buahan segar yang tumbuh subur di delta Sungai Nil, sungai yang di sebut di dalam Al Quran.

Sesungguhnya, kekuasaan Allah dapat itu juga dapat di rasai dari makanan dan minuman.


Petang dan malamnya kami berdua menghabiskan masa santai dengan berjalan-jalan di sekitar Mandarah. Banyak yang kami dapat lihat. Tentang kehidupan di Mesir.

Kami juga telah ke Fatahullah, yang terletak kira-kira 20-30 minit berjalan kaki dari homestay. Fatahullah ialah pasaraya sederhana besar di Mandarah, terdapat juga kedai-kedai kecil di dalam kompleks ini.

Banyak barang-barang runcit dan makanan yang di jual di Fatahullah.







Selepas itu, sempat juga kami mengintai-ngintai dari celah-celah pagar Montaza. Kami bercadang akan ke Montaza pada hari lusa.




Dan seterusnya, kami berjalan di pinggir laut menikati cahaya petang dan terbenamnya matahari Iskandariah.




Wednesday, June 24, 2015

Jejak pertama di Alexandria (Iskandariah)

Teksi yang di naiki daripada Rumah Perlis ke Stesen Keretapi Cairo adalah kepunyaan lelaki arab Mesir yang baik dan alim kelihatannya. Dalam perjalanan tidak putus-putus dia berbual dengan Nazihah sementara kami berdua terdiam dan meneka-neka kerana tidak paham butir bicara Bahasa Arab di antara mereka. Setakat Ana, MaIsmuka, KaifaHaluka dan perkataan-perkataan yang seangkatan dengannya tu bolehla faham…

Dia malah memasang ayat-ayat bacaan Al Quran, ada antaranya ialah rekod bacaan oleh suaranya sendiri. Merdu suaranya, barangkali laku sekiranya menjadi imam jemputan sembahyang terawikh di Malaysia.

Pemandu teksi yang berjambang. Muda lagi daam 26 tahun umurnya. Masih bujang.


Pukul 9.30 pagi kami tiba di stesen keretapi yg kelihatannya sibuk. Mulanya kami merancang untuk menaiki keretapi ke Alexandria daripada Cairo. Harga tambang tiket keretapi daripada Cairo-Alexandria ialah di antara 25 EP – 35 EP. Namun rezeki tidak memihak, tiket telah habis di jual kesemuanya. Yang  ada hanya tiket sebelah petang, dan kami tidak mampu untuk menunggu selama itu.



Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menaiki Tremco atau Arabi Terbang yang berharga 35 EP seorang. Tremco ialah sejenis kenderaan awam yang popular di Mesir, iaitu sejenis van yang mampu memuatkan berbelas-belas orang dalam satu masa. Seatnya kecil sahaja, ruangnya kecil sahaja tapi menakjubkan ianya mampu memuatkan hatta Arab bersaiz besar sekalipun. Segalanya tidak mustahil di bumi Mesir.



Pemandangan di dalam perjalanan lebih kurang 3 jam daripada Cairo ke Alexandria menarik untuk di tatapi walau di dalam Tremco yang ruangannya sempit. Namun, saiz tidak melambangkan keselesaan kerana saya nyenyak tidur berbantalkan lengan suami hampir sepanjang perjalanan! Rasanya, Tremco yang laju memecut dan terbuai-buai membuatkan saya tidak mampu menolak ajakan mata.


First glimpse of Alexandria


Akhirnya kami tiba berdekatan stesen keretapi Alexandria. Kami harus menaiki teksi daripada tempat ini untuk ke homestay di Mandarah. Nasib agak kurang memihak, entah mengapa agak sukar untuk kami mendapatkan teksi yang agak besar yang mampu memuatkan beg-beg kerana hampir semua teksi mereka comel-comel belaka. Ada juga teksi yang di ingini, tetapi penuh dengan penumpang. Akhirnya Nazihah berjalan ke hadapan jalan besar sedikit daripada tempat kami menunggu.  Cuba untuk menahan teksi di situ.
Teksi di Alexandria. 

Saya perasan ada seorang “Ammu” asyik memandang kearah kami dan beg-beg kami. “Ammu” yang bermaksud “pakcik” ialah panggilan popular oleh pelajar-pelajar Al Azhar kepada lelaki Mesir tidak kira lelaki itu tua/muda, hensem/tidak, kaya/miskin walaupun sebenarnya Ammu ialah panggilan untuk lelaki Mesir yang jauh lebih tua dari si pemanggil. Oleh kerana terbiasa mendengar Nazihah yang muda remaja menggelar Ammu hatta kepada lelaki hensem muda belia Mesir sekalipun, maka kami yang remaja purba ini pun terikut-ikut menggelar mereka sedemikian.

Ammu tersebut berkata sesuatu kepada saya tetapi saya hanya tersengih mengangguk-angguk malas untuk melayan, yang sebenarnya saya tidak faham sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya. Saya pura-pura memandang kearah lain, dan pura-pura sibuk membelek kasut yang agak berdebu walau baru hari kedua berada di bumi Mesir.

Akhirnya Nazihah berjaya menahan sebuah teksi yang agak besar. Tapi agak hampa kerana harga yang pemandu tersebut caj kepada kami terlalu mahal. Jadi kami terpaksa melepaskan teksi tersebut pergi dan berura-ura mahu menahan teksi lain pula. Belum sempat teksi mahal tersebut pergi,  Ammu yang tadi sibuk-sibuk memandang kami pergi kearah teksi tersebut dan berkata sesuatu kepada Nazihah. Mendengar caj yang mahal itu, dia beralih pula kearah pemandu teksi dan berkata sesuatu kepada pemandu tersebut. Nampaknya dia cuba bersungguh-sungguh  mempertahankan harga yang murah untuk kami. Kami pula besungguh-sungguh mengatakan tidak mengapa, bahawa kami akan cuba mendapatkan teksi lain. Namun Ammu tersebut lansung tidak mempedulikan kami, malah sungguh-sungguh dia berdebat dan mempertahankan harga yang sepatutnya, walaupun kami ketika itu kami juga sedang bersungguh-sungguh cuba untuk menahan teksi yang lain pula. Jika di lihat sepintas lalu, mereka seakan bergaduh pula. Namun demikian, entah apa yang di perkatakannya kepada pemandu teksi tersebut, akhirnya ketekadan dan semangat si Ammu mempertahankan harga untuk kami, membuatkan si pemandu teksi mengalah, dan akhirnya kami di benarkan menaiki teksi tersebut dengan caj yang berpatutan.

Peristiwa ini benar-benar membuatkan saya lebih memahami sikap Arab Mesir. Sikap mereka amat berani dan berterus terang serta tidak takut-takut untuk mempertahankan hak mereka dan kebenaran atau apa yang di rasakannya benar, tetapi kadang kala ianya terlalu berani sehingga mungkin boleh mampu membawa kepada perbalahan.

Dan sesungguhnya, hari kedua di Mesir dan jejak pertama di Alexandria telah menemukan saya dengan 3 orang Mesir yang baik-baik. Angka yang boleh tahan untuk syak wasangka tebal berasas.


Monday, June 22, 2015

Tahrir Square



Muzium sudah di tutup. Agak hampa.

Namun masih awal sebenarnya. Baru pukul 4 petang, bagi muzium yang seharusnya pukul 5.30 petang baru ditutup. Adakah buka dan tutup muzium juga mereka buat peraturan sesuka hati? Begituah yang bermain di kepala.

Sebentar tadi kami terperangkap di dalam lalu lintas yang yang agak teruk. Kereta tidak bergerak. Jadi ustaz tour guide mencadangkan kami berdua turun berjalan kaki ke Muzium daripada tengah kesesakan, kerana risau jika lama-lama akibat lalu lintas yang kelihatan seakan tidak mahu bergerak, tidak sempat kami berdua ke muzium. 

Oleh kerana tadi masih awal, kami berdua singgah makan di Hardees dahulu. Restoran fast food ala-ala McDonald an KFC. Makanan di sini, bagi saya biasa-biasa sahaja. Sedap lagi KFC dan Mcdonald di Malaysia.


Selepas itu baru kami meredah jalanraya ke seberang sana muzium. Oleh kerana kenderaan masih tidak bergerak terlalu cepat akibat lalu lintas yang masih lagi sesak, kami berdua berjaya melintas jalan dengan selamat menyeberang jalan raya Cairo yang bagi saya agak menyeramkan.

Memandangkan masih ada masa lagi, Muzium yang ditutup tidak mematahkan semangat kami. Kami menuju ke Tahrir Square. Ianya terletak bersebelahan sahaja dengan Muzium. Cadangnya mahu duduk lepak-lepak dan melihat-lihat sekitar.

Tidak sampai 3 minit kami berjalan, seorang lelaki Mesir menegur kami.

“Where are you going?”

“Tahrir Square,” kami menunjuk kearah dataran yang amat terkenal yang menjadi tumpuan dunia satu ketika dahulu, semasa Egyption Revolution pada tahun 2011 yang menyaksikan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak. Malah, demonstrasi-demonstrasi sebelum dan selepas itu juga di adakan di sini. Sehingga sekarang pun ia terkenal di seantero dunia kerana demonstrasi dan rusuhan yang pernah mencecah sehingga ke ratusan ribu dalam satu masa.

Nama lainnya ialah Martyr Square, terletak di Downtown Cairo.


Lelaki Mesir itu melarang kami ke Tahrir Square. Katanya, ada golongan tertentu yang mahu buat kacau di Tahrir Square untuk membantah hukuman yang baru sahaja di jatuhkan ke atas Morsi, dan pihak polis dan tentera sudah bersiap sedia di situ untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Malah, pejabat sekitar dan kedai-kedai mulai di tutup, kesemua pekerjanya bergegas bersiap sedia untuk pulang.

Ohh. Baru paham. Ia menjelaskan keadaan trafik yang sesak teruk sebentar tadi, dan juga muzium yang ditutup awal.  

Lelaki itu menerangkan lagi, dia seorang pensyarah di salah sebuah kolej berdekatan. Dia bertanyakan arah tujuan kami. Kami menceritakan segala-galanya. Lantas dia mengajak kami mengikutnya..Mahu di tunjukkan kedai souvenir yang murah katanya. Suami saya mulai mengikut jejak langkah lelaki itu.

Rasa sangsi mulai menyelebungi. Terbayang entah ke mana-mana akan di bawanya kami. Rompakan setelah di bawa ke tempat sunyi? Di culik? Ohh tidak sanggup membayangkan keadaan itu. Lantas saya menarik lengan suami. Saya mendesaknya agar berhati-hati, jangan terlalu percayakan lelaki yang baru sahaja di temui. Syak wasangka saya berasas. Berdasarkan ekonomi Mesir yang belum terlalu kukuh kerana keadaan politik yang masih bergolak, maka kerana itu saya tidak mudah terlalu percayakan orang asing, lebih-lebih lagi ini baru hari pertama kami di bumi Cairo ini.

Namun suami saya seakan di pukau. Dia hanya mengangguk mendengar kata-kata saya, tetapi langkahnya di teruskan mengikut lelaki asing itu. Mereka berbual-bual. Kata-kata saya seakan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Ohh, akhirnya tidak sampai 7 minit, kami sampai di hadapan sebuah kedai souvenir. Rupa-rupanya lelaki itu benar mahu berbudi. Setelah kami ucapkan terima kasih, dia terus berlalu pergi. Lega, tiada rompakan. Namun, hanya 50% lega. Dalam hati saya masih bersarang wasangka. Melihat kedai tertutup rapat ini, ramalan lain pula yang datang menjengah.


“Entah-entah ini geng-geng laki tadi tu? Manala tahu tiba-tiba mereka yang berada di dalam kedai sudah merancang dengan lelaki tadi untuk merompak kami?”

Ya. Teruk betol perasaan wasangka perempuan ini.

Suami saya menerangkan, dia dapat merasakan keikhlasan lelaki tadi yang benar-benar melarang kami ke Tahrir Square kerana takut bahaya di situ.

Dan akhirnya  masuk juga kami ke dalam kedai berhawa dingin itu, yang sebenarnya tuan kedai juga sudah hampir mahu pulang barangkali. Namun tetap di tunggunya kami melihat barang-barang di dalam kedai.

Alhamdulillah, kami selamat. Di pertemukan dengan orang baik Mesir, menipiskan perasaan wasangka yang di bawa sebagai bekal untuk berhati-hati sejak dari Malaysia. 

Hari pertama kami di Mesir baik-baik sekali.