Commercial Break

Tuesday, August 25, 2015

Pengalaman mendaki Jabal Musa / Mount Sinai

Pukul 11.30 malam, suasana di Bedouin Camp and Guest House sunyi sepi. Tatkala sebahagian penghuni lain sedang lena di ulit mimpi, kami bergerak meninggalkan guest house untuk ke kaki Gunung Sinai. Untunglah, kedudukannya hanya 5 minit dengan menaiki kereta menuju ke kaki Gunung. Tatkala kami tiba di destinasi, masih tidak terlalu ramai pendaki. Juga ada beberapa orang polis dan penunjuk arah (dalil).

Antara rombongan pendaki yang baru tiba dengan menaiki bas di kaki gunung.

Sebelum memulakan pendakian, polis memeriksa beg-beg kami. Ia prosedur biasa di kebanyakan tempat pelancongan di Egypt. Setelah itu, kami di berikan dengan seorang penujuk arah dari kalangan penduduk tempatan badwi atau lebih dikenali sebagai dalil. Bayaran bagi seorang dalil ialah 110 EP.

Tepat pukul 12.30 kami bertiga bersama dalil memulakan pendakian. 

Malam itu tiada bulan, kelam dan amat gelap. Pendakian menyusuri Mount Sinai (Jabal Musa) sangat unik dan amat berlainan daripada bukit dan gunung-gunung di Malaysia kerana di sini tiada tumbuhan hijau. Sepanjang laluan hanya di penuhi dengan batu-batu, pasir dan tanah. 

Dalil begitu cekap, tampaknya sudah hafal akan kedudukan setiap batu dan arah dalam gelap malam yang tiada bintang, manakala kami yang terlupa membawa torchlight, mengikut di belakang dengan hanya berpandukan fungsi torchlight daripada handphone Nazihah. Keadaan yang amat gelap tanpa cahaya agak menyukarkan pergerakan bagi yang tidak biasa. Kadang-kala jua kami berdua di tinggalkan oleh Nazihah yang asyik berborak dengan Dalil berbangsa Badwi yang hensem. Ohh kemain lagi. Nasib baik ada abang dan kakak ipar yang sporting.

Sepanjang awal perjalanan, beberapa ammu Badwi penjaga unta sibuk menggoda menawarkan pendakian dengan menunggang unta ke puncak Sinai dengan bayaran 700 EP (RM350) seorang. Kalau ikutkan kemampuan badan yang tidak lagi berapa nak remaja, pasti memang sudah lama tergoda, namun semangat jitu mahu mengabadikan tapak-tapak kaki sendiri di setiap lorong menuju ke puncak Jabal Musa membuatkan kami tekad mendaki sendiri. 

Sepanjang perjalanan ada 8 pitstop yang merupakan sebuah perhentian/warung yang membolehkan para pendaki berehat, minum, makan, atau ke tandas namun harga barangnya pastilah agak mahal berbanding di bawah. Tandasnya juga agak ‘specel’. 

Kadang-kadang terasa tergoda juga dengan aroma ‘shai’ (teh pekat Arab) dan hot chocolate panas-panas. Lebih-lebih lagi semakin tinggi pendakian, semakin sejuk suhu dirasakan. Namun, puncak Jabal Musa sedang memanggil-manggil, membuatkan kami tidak gemar berlama-lamaan dalam satu-satu perhentian. Kami melepaskan lelah sekejap cuma, dan semangat yang berkobar-kobar lebih kuat mengatakan TIDAK kepada jeritan kaki yang lenguh dan nafas yang mengah-mengah semput.

Alhamdulillah, tepat pukul 3.50 pagi, tidak dapat nak elak daripada rasa bangga sebab kami kumpulan pertama yang menjejakkan kaki di puncak Jabal Musa yang berketinggian 7,000 ft. Masa itu selain kami, hanya ada seorang lagi mamat Pakistan daripada London, dia pun sampai awal. 

Namun, pagi masih sangat gelap, tiada apa yang dapat di lihat. Suhu yang sejuk sudah sampai kemuncak agaknya. Pada ketika itu, terketar-ketar menahan kesejukan, saya dan Nazihah berpelukan di dalam selimut tebal yang terdapat di situ. Baju sejuk winter dan long john yang saya pakai tidak mampu meredakan kesejukan yang amat. Kami berlindung seketika di dalam sebuah masjid kecil di puncak Jabal Musa. 

Uniknya, selain masjid, ada juga terdapat sebuah gereja Greek Orthodox betul-betul kedudukannya bersebelahan masjid tersebut.

Saya dan Nazihah keluar daripada masjid setelah Subuh dan matahari mulai menampakkan sinarnya. Punyala terkejut tengok sekelip mata dah ramai orang. Surprisingly, 90% adalah mat dan minah salleh. Kebanyakannya adalah beragama Kristian, dilihat dari cara mereka berdoa. Mereka seperti bertakafur dan berdoa terutama apabila sunrise.

Benarlah, Jabal Musa /Mount Sinai merupakan tempat yang di anggap suci bukan sahaja oleh orang-orang Islam, malahan Kristian dan juga Jewish.



Ini gereja, terletak betul-betul bersebelahan masjid.
Masjid dan gereja bersebelahan
Subhanallah, hilang segala rasa penat dan sejuk apabila melihat keindahan sekitar puncak gunung Jabal Musa. Seriously, saya tidak pernah panjat gunung. Bukit paling tinggi yang saya panjat dengan kaki beberapa kali setahun hanyalah Bukit Broga (Broga Hills). Jadi saya tidak pernah tahu perasaan orang yang panjat gunung tinggi-tinggi sebelum ini.



Tapi di atas Jabal Musa ini, perasaan saya menangis menyaksikan keindahan ciptaan Illahi. Kekaguman dan keasyikan meyaksikan keagungan ciptaan Tuhan membuatkan segala penat lelah pendakian hilang begitu sahaja. Detik-detik Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah s.w.t yang di katakan lokasinya di ‘Gua Musa’ di sini juga terbayang-bayang di ruangan mata.
Lorong ke Gua Musa / 'Mousa Cave'
Gua Musa /Mousa Cave

Pastilah tidak sah jika tidak mengambil gambar sendiri sebanyak-banyaknya di atas puncak gunung ini. Entah tahun bilalah pulak saya nak panjat gunung tinggi-tinggi macam ni lagi.










Lebih kurang pukul 7 pagi, trekkers mulai turun kerana suhu di puncak bukit mulai panas. Sememangnya, suhu semakin panas sepanjang kami turun ke bawah.



Ini antara perhentian/pitsop yang terdapat di sepanjang jalan mendaki. Gambar ni di ambil semasa turun sebab tadi masa naik gelap keadaan di sekelling. Hujung sebelah kanan tu toilet. Daripada tepi toilet tu kalau pandang ke bawah memang seram.
Di kaki gunung terdapat sebuah gereja yang besar, St Catherine Monastry. Di dalamnya ada sebuah pokok besar tergantung. Ramai pendaki beragama Kristian terus ke gereja, menunggu untuk masuk.

Kami tidak tunggu untuk masuk, kerana harus bersiap-siap untuk meninggalkan St Catherine untuk ke Dahab pula sebentar lagi. 

Berikut saya share tips-tips mendaki Mout Sinai / Jabal Musa :

1) Pendakian bermula pada waktu malam kerana waktu siang tidak sesuai untuk memanjat Jabal Musa. Pakai pakaian yang sesuai. Cuaca di puncak gunung teramat sejuk pada waktu malam dan awal pagi. Cadangan pakaian- Winter jacket, long john, gloves, penutup kepala. Pakai juga kasut yang sesuai kerana laluan adalah berbatu-batu dan berpasir.

2) Perjalanan mendaki ke puncak Jabal Musa adalah lebih kurang 3 sehingga 5 jam bergantung kepada kemampuan. Pastikan tubuh badan fit sebelum memulakan pendakian. Boleh juga guna khidmat unta dengan bayaran lebih kurang 700 EP (RM 350) jika tidak mampu.

3) Tidak digalakkan mendaki bagi yang takutkan ketinggian atau menghidapi penyakit seperti jantung/asthma dan sebagainya.

4) Bawa air masak untuk di minum sepanjang perjalanan. Untuk tenaga, bawa coklat ataupun biskut. Boleh juga bawa roti atau sebagainya.

5) Bawa sunblock kerana sewaku mulai turun daripada puncak gunung, hari akan mulai panas dan cuaca kadang-kadang teramat panas.

6)Bawa torchlight.

Sesungguhnya, berada di puncak Jabal Musa merupakan antara memori paling manis di Mesir.



6 comments:

  1. Tak pernah terfikir nk pjt gunung ni, apparently its a tourist destination, tq for sharing 😊

    ReplyDelete
  2. Many thanks for reading :-)

    ReplyDelete
  3. Wish us luck for our climbing next week. InsyaAllah.. amiin3x..

    ReplyDelete
  4. Salam.. boley sy dapatkan email awak? Sy bercadang utk ke egypt.. boley email sy di nurez_zully@yahoo.com

    ReplyDelete