Commercial Break

Thursday, July 4, 2013

Sekembali dari Haji (part 2)


Subuh yang pertama di Malaysia selepas pulang dari Tanah suci..

Suasana hening dan udara terasa dingin. Yang tedengar hanya bunyi deruan nafas sendiri. 

Sejadah di renung. Sejadah yang di beli di Mekah, dan terus sengaja di jadikan sejadah harian kepunyaan sendiri. Niat di hati agar apabila solat, diri akan mengingati solat di hadapan Kaabah. Membayangkan seoalah-olah tubuh sedang berada di Masjidil Haram dan Nabawi, kerana di sana Allah sangat dekat di hati. Memujuk diri, di sini Allah jua sangat dekat di hati. Berada di mana-mana. Istiqamah yang di cari.  

Ianya memang berjaya. Hati jadi sebak walaupun dengan hanya merenung sejadah. Sehelai sejadah sahaja sudah mampu menggamit banyak nostalgia. 

Solat memang terasa manis. Terasa sangat dekat pada Ya Rabbi. Terasa sangat cinta pada Ya Rahman. Terasa hati sangat ikhlas dan dekat padaNya. Cuma..

Cuma kerinduan yang menjerat perasaan. Mencarik-carik rantai hati. Mencelarukan fikiran.

Masih terdengar lagi suara merdu kepunyaan Imam Masjidil Haram, mengalunkan ayat-ayat bacaan sembahyang yang menusuk jiwa. Suara Sheikh Ghazzawi yng terasa sangat dekat di hati. Assudaisy yang menggetarkan jiwa. AlMuaiqly yang mendayu merdu.

Masih terdengar lagi suara pengawas yang memanggil-manggil, “Ya ibu, sini ibu. Sini Ibu”. Ia suara nyaring unik kepunyaan wanita arab, barangkali. Tekaan kerana mereka memakai purdah sepenuhnya, hanya menampakkan mata coklat bersinar cantik, segelintirnya. Ada juga yang berwarna hitam bulat. Arab juga? Tidak pasti.

Malah tiba-tiba rindukan kata-kata ‘Malaysia baguss’., tatkala di umpan oleh peniaga-peniaga di kedai-kedai di lorongan semasa melalui jalan debu pasir yang kering.

Masih terasa lagi betapa dinginnya air zam zam yang tak pernah kering malah mampu menghilangkan rasa dahaga di tekak juga menjadi penawar segala penyakit.

Masih terasa betapa enaknya Nasi Arab berlaukkan kambing. Baunya yang pasti membuka selera. Roti Arab unik Kafe Madeina yang pasti tidak pernah di temui di sini. Makan sangat berselera kerana banyak tenaga yang di gunakan terutama selepas bertawaf dan bersaie.

Masih terasa betapa nikmatnya duduk-duduk bersantai di hadapan Menara Jam sambil memegang aiskrim di tangan kanan dan jus mangga di tangan kiri. Tatkala itu dan setiap kali pun, pasti memuji keunikan aiskrim Arab dan jus buah-buahan yang pekat lazat. Tidak kira walau musim sejuk di Mekah hatta di Madinah sekali pun, aiskrim dan jus mangga di nikmati sambil berdoa agar YaAllah jauhkan aku dari sakit tekak!

Masih terbau lagi keharuman yang datang secara tiba-tiba semasa menunggu di Raudhah. Keharuman unik yang tidak pernah di hidu sebelum ini.

Masih terbau lagi wangian Arab di Surrati Perfume dan keramahan tuan kedai yang tak jemu-jemu mengusik kami.

Masih terbayang betapa bersyukurnya di beri peluang tak terduga oleh Allah melalui insan yang baik hati, membawa kami menikmati keajaiban di tarik di Bukit Magnet dan pertama kali merasai nikmatnya susu segar unta, malah unta itu sendiri amat mengkagumkan. 

Masih terbayang debu semasa mabit di Mudzalifah dan betapa heningnya saat-saat matahari mulai terbenam di Arafah serta betapa berdebarnya melalui terowong untuk melontar Jamrah juga betapa kerdilnya insan yang sedang bertawaf mengellingi Kaabah.

Masih terasa himpitan semasa bersesak bertawaf di hadapan Kaabah, yang serta merta mengingatkan diri akan nasib di Padang Masyhar kelak.

Masih terasa betapa tiba-tiba hati sangat rindu kepada Rasululah s.a.w walaupun tidak pernah menatap wajah baginda s.a.w.

Semua itu bukan nostalgia yang sia-sia. Ia menjadi memori yang menunjuk hala kehidupan yang seterusnya, malah kehidupan yang bakal di tempuhi ini adalah yang paling getir dan penting, pastinya!

Dan apa yang pasti kami akan menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini, InsyaAllah moga-moga Allah kekalkan begitu.




1 comment:

  1. Bab jus mangga itu memang betul. Anak saya dengan jus mangga dan saya dengan teh panas sambil kebab yang sangat sedap ( hati kambing gamaknya)sambil leka melihat jam besar dan kerenah tetamu Allah yang mencuit hati. Ya Allah , rindunya pada kota Makkah dan Kaabah.

    ReplyDelete