Commercial Break

Wednesday, December 12, 2012

Cita-cita

1. Pengarang
2. Peniaga
3. Pengurus

Itulah tiga cita-cita yang saya coretkan di atas Buku Kerja Rampaian Bahasa Melayu apabila di minta oleh cikgu untuk berkongsi cita-cita kami. Terang, jelas dan nyata. Tidak teragak-agak. Ia adalah cita-cita jujur seorang kanak-kanak yang baru berusia 9 tahun. 

Cita-cita ini tersemat di sanubari kerana pengalaman dan pengaruh semasa kecil. Itu 3 'Pe' yang sentiasa bermain di minda dan hati sepanjang menyusuri alam rendah persekolahan.  Ia tidak berubah. Tidak pernah berniat nak bercita-cita setinggi doktor, arkitek, engineer atau pun apa-apa yang sewaktu dengannya. Saya setia dengan 3 'Pe'. 

Cita-cita No 3 telah di capai beberapa tahun yang lepas. Setelah beberapa tahun menjawat jawatan eksekutif di syarikat GLC di ibu kota, akhirnya saya berjaya menjawat jawatan Pengurus. 

Kenapa pengurus? Masa kecil-kecil dulu teringin nak jadi pengurus sebab tengok kat tv pengurus dapat pakai baju cantik-cantik pergi ofis, dapat bilik sorang-sorang kat ofis. Dapat bekerja di bangunan besar yang berhawa dingin. Gaji yang di terima pula mencecah ribuan ringgit.  Gaya pengurus yang di paparkan di kaca tv sangat   sophisticated,  ianya mempengaruhi minda dan jiwa walhal realiti sebenar tidaklah begitu. Ada yang buruk di sebalik sesuatu yang di sangka baik belaka.  Tekanan kerja kadangkala agak tinggi, lebih-lebih lagi di dunia moden yang memerlukan kepantasan dalam merebut persaingan. Bukan itu sahaja, politik di ofis juga amat memeningkan kepala, tidak sesuai dengan jiwa dan raga. Bukan saya tidak suka kerja ini, tetapi faktor-faktor sampingan menjejaskan kepuasan bekerja. Tambahan pula lahir dalam hidup satu persatu nya penghibur lara. Mereka adalah segalanya. Tidak melihat mereka membesar di hadapan mata sepanjang hari, ianya agak menyeksa jiwa.

Cita-cita kedua pula, telah dicapai. Ia bukan sepenuhnya. Ia bukan dalam kategori peniaga berjaya atau sepenuh masa. Semasa di tingkatan 4 lagi, saya sudah mulai mengaktifkan diri dalam Persatuan Usahawan Muda sekolah. Ianya bukan paksaan. Ianya adalah datang dari minat dalam diri. Setelah bekerja, saya selalu 'menjual' sesuatu sambil-sambilan. Kadangkala tolong ibu, kadangkala tolong orang, kadangkala suka-suka. Dan sehinggalah kini wujudnya online shop kami. Semuanya berpunca dari minat dan kepuasan melakukan sesuatu yang di sukai.

Saya suka berniaga kerana terpengaruh dengan proffesion ayah sendiri. Ayah seorang peniaga. Walau bukanlah seorang peniaga yang kaya raya atau gah tapi dengan hasil perniagaannya yang tak seberapa itulah dia membesarkan kami adik beradik. Dengan titik peluhnya berniaga, dia berjaya membawa ibu menunaikan Haji di hampir penghujung usianya. Nampak macam berniaga yang tak seberapa, tapi pengorbanannya banyak.

CIta-cita pertama. Saya suka mengarang. Rasa saya minat mengarang wujud kerana saya suka sangat membaca. Sejak kecil lagi saya sudah 'gila' membaca. Semasa di sekolah menengah saya akan bawa buku ke kelas dan membaca apabila tiada guru di dalam kelas. Semasa di MRSM, demi menghabiskan satu buku kerana tidak sabar mengetahui 'ending' nya, saya sanggup membaca di koridor di bawah lampu oren di saat rakan-rakan lain lena di ulit mimpi. Namun begitu apabila meningkat dewasa, ia adalah cita-cita yang semakin hari semakin dilupakan, lebih-lebih lagi jurusan yang di ambil semasa Tingkatan 4 ialah Sains, bukannya sastera.

Perjalanan ke Tanah suci, ianya sangat indah untuk di tuturkan, membuatkan saya tiba-tiba membuat keputusan untuk menulis. Ianya datang secara tiba-tiba. Tidak di rancang. Saya mahu mereka yang tidak tahu agar tahu, perjalanan ke tanah suci walaupun ianya menuntut pengorbanan, tetapi ia adalah perjalanan yang hebat. Tidak sama dengan yang lain. Bukan itu sahaja, melalui apa yang saya coretkan, saya harap dengannya saya akan tidak pernah lupa memori yang indah ini. Saya tidak akan lupa ilmu-ilmu yang saya pelajari dan agar saya dapat berkongsi dengan semua walaupun ia secebis cuma.

"Rindunya dengan perjalanan Haji & Umrah...terubat membaca tulisan puan. Harap-harap bersambung ke Madinah bertemu kekasih ALLAH"

"Terima kasih atas catatan perjalanan ke Tanah Suci Mekah. Saya sgt tertarik segalanya dlm penulisan tersebut"


"Awak telah mengembalikan kenangan saya semasa berada di tanah suci, terima kasih"


"Apa yang awak tulis membuatkan saya rasa diri saya berada di tempat itu, sangat berkesan."


"Teruslah menulis selepas ini, jangan putus asa. Saya suka apa yang ditulis."


Ia adalah mesej-mesej jujur ikhlas oleh mereka yang di kenali dan juga yang tidak pernah di kenali. Tanpa di sedari ia membangkitkan satu kepuasan kerana dapat memberikan perasaan yang sama kepada mereka yang menghargai. Bukan untuk berbangga malah untuk bermegah, namun mesej jujur mereka mendorong saya untuk terus menulis.


Saya sangka penulisan saya akan terhenti selepas habis semuanya saya curahkan mengenai haji. Tetapi tidak. Saya tidak boleh berhenti. Menulis seolah-olah sudah menjadi satu hobi. Sebab itulah saya akan terus menulis selepas ini, walaupun episod haji sudah terhenti. Mungkin saya tidak akan menulis tentang haji semuanya, tetapi saya akan menulis apa sahaja yang saya suka.  Saya akan berkongsi apa yang saya rasa bermanfaat.

Saya akan menulis walaupun tiada siapa yang sudi membaca...

1 comment:

  1. tulislah selagi termampu...semua ni kenangan untuk hari depan...
    wah....besh kan ada cita2 ni
    cheqna dulu2 nak jadi cikgu...tapi tak kesampaian =)

    ReplyDelete