Commercial Break

Monday, October 29, 2012

Day 41 (3 Disember 2011) - Bukit Magnet menarik kami (Wadi El Baida), part 1.

Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

Surah Al Mulk Ayat 3





Sabtu di bumi Madinah yang mulia.

Kami merancang untuk ke Masjid Quba sekali lagi pada hari ini. Perancangannya kami akan pergi pada pukul 8 pagi, dan caranya InsyaAllah sama iaitu dengan menaiki van di tempat yang diceritakan semalam. Segalanya berlaku seperti perancangan dan Masjid Quba sudah terbayang di ruangan mata. Tetapi benarlah.. manusia hanya merancang.. hanya Allah yang menentukan.

Selepas bersarapan di luar, saya dan suami berjalan pulang ke hotel. Sesampainya kami di hadapan lif hotel untuk naik ke atas menuju ke bilik masing-masing, tiba-tiba suami bertukar fikiran. Tidak jadi untuk naik ke atas, dia mengajak saya turun ke lobi semula.

"Mari kita call ke Malaysia. Sambil itu boleh kita tengok jadual sembahyang. Kita target sembahyang Dhuha di Quba'." Itu katanya. Itu rancangannya.

Saya menurut sahaja.

Kami melalui eskalator turun ke bawah. Berjalan santai menuju ke arah kaunter telefon i Talk.

Tiba-tiba seorang wanita jangka kami jemaah haji Malaysia, berusia lebih kurang 40-an, menyapa kami. Dari mana datangnya saya tidak pasti. Dia tiba-tiba sahaja sudah berdiri tegak di hadapan kami.

"Kami nak ke Bukit Magnet, kawan2 akak dua orang demam, tak dapat datang, akak sorang je perempuan dalam kumpulan tersebut, segan pula rasanya, adik nak ikut?" Dia memulakan bicara.

Erk. Saya merenung wanita tersebut, dari atas sehingga ke bawah. Dalam hati sudah berkira-kira. Adakah ini benar? Sindiket apakah ini? Buruk sangka mengacau fikiran yang polos. Segala persangkaan yang negatif mulai bermain di pentas minda.

Kenapa tiba-tiba akak ni ajak kami?
Kenapa pula tiba-tiba kami menjadi pilihan?
Macammana kalau dia bawa kami ke satu kumpulan penculik yang lain? Lepas tu dia jual kami?

Diri yang satu lagi yang yang bersangka baik segera mengusir fikiran yang kacau dan berbelah bahagi.
Mungkin tidak di bumi Madinah yang mulia..dan merenung juga suami di sebelah yang jauh lebih gagah dari wanita ini. Ermm tidak mungkin sindiket. Kalau ya pun, mereka tidak akan pilih suami saya.

"Bukit Magnet tu apa kak?" kami bertanya lebih lanjut. Kami tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini.

"Entah akak pun tak pasti. Tapi katanya kalau kita pergi tempat tu di dalam kereta, bila matikan enjin, bukit tu akan menarik kita ke arahnya, macam magnet gitu." Dia pun kelihatan tidak pasti dalam penerangannya.

Kami mula menyelidik. Menyiasat bak detektif. Hati masih ragu-ragu.

"Macam mana akak boleh nak pergi situ? Siapa yang bawa?" Itu soalan kami.

"Orang UTM yang sedang bekerja di Madinah secara secondment di Universiti Tayyibah, dia nak bawakan kami, dia kawan kami masa di Malaysia."

Melihat kami masih ragu-ragu dia menambah," Kami bukan nak pergi situ je, dia nak bawa kami ke banyak tempat lagi, nak lawat2 Madinah. Jomlah, akak segan pergi sorang-sorang. Yang lain tu lelaki."

Saya mula tergoda dengan ajakan itu. Mana nak dapat peluang ini? Kami bukannya ada kenal sesiapa di Madinah. Lebih-lebih lagi tabung haji memang tidak ada buat lawatan ke tempat ini, Bukit Magnet. Kami tidak pernah mendengar perkara ini sebelum ini. Ini pertama kali. Dan seperti namanya, ia menarik saya ibarat magnet untuk menerima ajakan tersebut.

"Takpelah kak, kami ada hal lain ni. Terima kasih kak." Tiba-tiba suami seperti  sudah memutuskan.

Keterujaan sudah mulai menguasai diri saya. Saya merenung ke arah pakaian saya. Jubah yang berwarna biru muda. Stokin yang berwarna kuning. Stokin yang di capai begitu sahaja tanpa berfikir panjang pagi tadi kerana agak terlewat untuk ke Masjid Nabawi. Ok, ini tidak macthing. Terkenang persamaannya dengan jemaah-jemaah benua Afrika dan Asia Selatan yang gemar berpakaian segala warna. Dan saya siap lengkap bertelekung. Cadangnya tadi sebelum ke Masjid Quba ingin menukar segala.

Stokin warna kuning..jubah warna biru muda


Kedua-dua jubah dan stokin di beli di Mekah.

Tetapi godaan dan keterujaan mengatasi segala. Hati sudah 9O peratus percaya.Takkan saya mahu lepaskan peluang keemasan ini semata-mata kerana pakaian?

Saya menarik baju suami. "Jomlah kita pergi ikut kakak ni kejap..kita tanya lebih lanjut,"

Wanita itu segera menyokong, "Ya, jomlah tanya suami akak,". 

Dan tiba-tiba segalanya seakan-akan berlaku begitu pantas.

Kami mengikut langkah wanita tersebut. Sambil itu saya berbisik kepada suami, "Lepas ni baru kita pergi Quba'"

Kami tiba di hadapan sebuah van. Ada dua orang lelaki dalam umur 40 an sedang menanti.  Mereka tersenyum ramah. Lelaki melayu. Jemaah Haji Malaysia.

Dalam hati sudah berbunga lega. Betul keputusan ini.

Alhamdulillah, setelah jelas akan segalanya, kami berdua mengikut mereka mencipta pengalaman yang abadi.

Sejuta keterujaan. Selautan kegembiraan. Ia rezeki yang Allah beri. Ia rahmat dariNya. Ia pengalaman yang sukar dan tak mungkin di lupakan.

Ia membuatkan saya tersenyum apabila terkenang kembali. Ia membuatkan saya mahu kembali ke masa silam untuk mengalaminya semula.

(Nantikan sambungan kisah bukit magnet part 2 di entri yang akan datang... )

No comments:

Post a Comment