Commercial Break

Friday, April 20, 2012

Day 33 (24 November 2011)- Pahala 1000 kali ganda berpuasa di tanah suci

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Surah Al-Araf Ayat 180




Pagi ini, secara zahirnya sama sahaja seperti hari-hari sebelumnya. Buka mata, dan bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesihatan dan kekuatan. Seterusnya segera bersiap sedia untuk ke Masjidil Haram pada pukul 2.30 pagi, tiada banyak perbezaan dengan pagi-pagi yang lain.
Tetapi sebenarnya tidak sama pagi ini dengan pagi-pagi yang lain di sini. Pagi ini agak istimewa. Hari ini saya akan berpuasa untuk pertama kalinya di bumi Haram! Sebelum ini semasa di sini, saya tidak terlintas pun untuk berpuasa, kerana kehidupan kami yang agak aktif di sini agak merisaukan saya, ragu-ragu akan tenaga yang ada tidak cukup untuk menampung kudrat melaksanakan aktiviti yang akan dijayakan. Namun begitu, saya ingatkan diri sendiri berulangkali bahawa doa orang berpuasa itu dimakbulkan oleh Allah. Hari ini saya bangun dengan azam dan doa yang saya mesti habiskan puasa dengan jayanya..
Semasa berjumpa suami di luar pintu bilik untuk ke Masjidil Haram, tiba-tiba dia menyatakan hasratnya untuk turut sama berpuasa. Semalam apabila di tanya dia hanya mendiamkan diri. Alhamdulillah sekali lagi kami akan bersama-sama dalam perjuangan kami di sini.

Kami bersahur dengan kurma dan air zam zam selepas tawaf sunat. Tawaf hari ini adalah sesak seperti biasa berbanding tawaf yang sangat tenang semalam. Orang sangat ramai hari ini, dan tolak menolak berlaku dengan kerap. Kami dapat berdoa di Maqam Ibrahim tetapi tidak selama semalam. Selepas tawaf kami dapat masuk ke dalam Hijir Ismail tetapi tolakannya MasyaAllah! Walaupun di kepung oleh suami untuk melindungi saya tetap terasa tolakan-tolakan yang maha hebat. Kebetulan di pintu masuk Hijir Ismail itu, tolak menolak yang berlaku ialah oleh mereka yang berbadan besar dan tegap. Terasa tersepit. Pada masa itu hanya bertawakal dan berserah kepada Allah. Uhh..memang terasa seperti berperang.

Seterusnya kami bersahur sejurus sebelum Azan pertama solat Subuh. Azan pertama? Subuh yang mempunyai dua azan? Pasti ramai yang tertanya-tanya.



Ya, sangat uniknya di Masjidil Haram ini sahaja, azan di laungkan dua kali sejurus Subuh. Kali pertama adalah lebih kurang satu jam sebelum masuk waktu Subuh. Mungkin tujuannya untuk jemaah menyiapkan diri sebelum waktu sebenar Subuh masuk? Saya kurang pasti. Jadi sekiranya mendengar azan pertama ini, jangan tersilap sangka bahawa Subuh sudah masuk. Tunggu dahulu. Jangan Solat Sunat sebelum Subuh dahulu. Azan yang kedua, adalah azan sebenar untuk menandakan masuknya waktu Subuh. Ha..masa ini barulah boleh sembahyang solat sunat sebelum Subuh.


Puasa di sini adalah satu pengalaman yang amat unik. Satu hari berlalu, kami rasa tenang, tidak terasa lansung dahaga atau lapar. Begitu juga dengan suami cuma tekaknya yang perit kerana batuk, kerana jika tidak berpuasa boleh minum air untuk menghilangkan keperitan di tekak. Selain dari itu, puasa yang sangan mengesankan, malah sangat bersyukur kerana amalan berpuasa di lipatgandakan dengan pahala amal ibadat yang lain.


Teringat mereka yang gemar pergi ke Mekah dan menunaikan umrah di kala bulan puasa selama sebulan. Sebelum ini saya berasa hairan mengapa mereka sanggup meninggalkan suasana dan keenakan menikmati juadah enak di Malaysia tatkala berbuka puasa tetapi sanggup menghabiskan masa dan menyambut Ramadhan selama sebulan di Mekah. Saat ini saya mengerti, kerana saya pun seakan terdetik untuk menyambut Ramadhan di sini. Sedangkan berpuasa di bulan selain Ramadhan seperti hari ini pun terasa seakan istimewa, apatah lagi sekiranya berpuasa pada bulan Ramadan di sini, di bulan yang Allah lipatgandakan lagi pahala amalan berpuasa. Seakan terbayang berqiyamullail dan berpuasa di sini, merebut Lailatul Qadar bersama berjuta lagi umat Muhammad di kota Mekah ini.



Mereka ini mungkin tertidur kerana letih berpuasa

Hari ini kami tidak bertawaf selepas Asar. Kami meluangkan masa menghabiskan Bacaan Al Quran. Alhamdulillah, hari ini dalam sejarah, selepas sebulan di sini, akhirnya saya mengkhatamkan bacaan Al Quran yang bermula di sini sejak hari pertama lagi, selepas waktu Asar. Suami? Dia sudah khatam beberapa hari sebelum ini.

Menyentuh mengenai Khatam Al Quran, sekiranya mampu cubalah niatkan untuk khatam Al Quran di sini semenjak di Malaysia lagi. Fahami sekali tafsir Al Quran berbahasa Melayu, kerana pada masa inilah peluangnya untuk kita mengkaji dan memahami Al Quran. Percayalah..sekiranya di gunakan dengan sebaik-sebaiknya, kita mampu khatam Al Quran dan memahami tafsirnya sekali. Lain pengalamannya jika kita tahu apa isi kandungan yang dibaca.


 
 Al Quran di Masjidil Haram


Akhirnya kami berbuka di Masjidil Haram, dengan perasaan yang amat bersyukur. Kami berbuka ringkas-ringkas sahaja, dengan kurma, air zam-zam dan roti ringan. Kami menyambung semula berbuka puasa kami dengan makanan yang di sediakan muassasah selepas kembali ke hotel selepas Isya'.

Di lobi hotel, terlihat Madu Yaman dari habbatus sauda amat terkenal yang telah lama di jual di sini meski sejak hari pertama di sini. Wahh harga asal RM 80 sudah turun ke RM 30. Telah saya katakan sebelum ini, harga barang-barang di sini berubah mengikut musim. Sangat jauh bezanya.

Di lobi hotel, juga terjumpa dengan Kak Ida dan Abang Bujang. Menceritakan rancangan mereka untuk ke Tanaim bermiqat umrah pada malam ini. Mereka mengajak kami bersama.

Kami berpandangan sesama sendiri. "Mahu ikut?" suami bertanya pendapat saya.

Ya, walaupun sebelum ini sudah memutuskan bahawa cukup-cukuplah umrah kami sebelum ini, tetapi mungkin kerana mandapat tenaga yang berlebihan kerana 'berpuasa' tadi, maka fikiran kami berubah. Saya bersetuju untuk menunaikan umrah pada malam ini. Lagipun kami tidak pernah pergi ke Tanaim pada waktu malam untuk bermiqat umrah, jadi pastinya ia adalah satu pengalaman yang berbeza, sangat menarik untuk kami cuba.



Kami berjanji untuk berkumpul semula selepas Isya'.




No comments:

Post a Comment